04 Disember 2016

04 Disember 1976 : PAS Sertai Rundingan Akhir Dengan Perikatan Bagi Membentuk Kerajaan Campuran

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, PAS telah menyertai rundingan peringkat terakhir dengan Perikatan dalam rangka membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pasca Tragedi 13 Mei 1969. Rundingan yang bermula sejak 16 Ogos 1972 ini telah menetapkan enam garis dasar yang dijadikan asas bagi pembentukan kerajaan campuran, enam tuntutan jawatan di peringkat Pusat dan Negeri, empat perjanjian mengenai pilihan raya dan dua perjanjian am. Hasil rundingan ini kemudiannya diterima dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 Disember 1972.

Rancangan membentuk kerajaan campuran di antara PAS dan Perikatan ini telah dilontarkan oleh Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Datuk Abdul Samad Idris pada 12 Disember 1970 dan disokong oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang juga Naib Presiden Umno, Abdul Ghafar Baba pada 29 April 1972. Pada 24 Jun 1972, dalam ucapan dasar Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-23, Umno dan Perikatan telah menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, termasuk PAS untuk membentuk kerajaan campuran “demi kepentingan negara dan kemajuan rakyat.”

Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda dalam ucapan dasar Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28 Julai 1972 pula telah memberikan reaksi positif di mana ia menjadi peluang kepada PAS untuk “membentuk bangsa Malaysia yang berteraskan suatu bangsa yang mempunyai pandangan hidup Islam.” Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 kemudiannya telah memberi mandat untuk PAS merundingan pembentukan kerajaan campuran dengan syarat ia tidak mengorbankan prinsip-prinsip PAS yang berteraskan Islam. Hasilnya, pada 16 Ogos 1972, tiga wakil PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dan Ustaz Abu Bakar Hamzah telah bertemu dengan Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail untuk membincangkan tujuan pembentukan kerajaan campuran.

Setelah melalui rundingan pada 5 September 1972, Tun Abdul Razak Hussein telah mengumumkan tentang persetujuan pembentukan kerajaan campuran antara PAS dan Perikatan di semua peringkat. PAS yang terkejut dengan pengumuman sebelah pihak ini, pada 24 November 1972 telah menubuhkan jawatankuasa kecil bagi menyusun dan merumuskan platform untuk dibawa ke dalam rundingan terakhir pada 4 Disember 1972. Dalam rundingan terakhir ini, telah dipersetujui tentang garis-garis dasar pembentukan kerajaan campuran serta pengagihan jawatan, perjanjian pilihan raya dan juga perjanjian am kedua-dua pihak di mana PAS telah menekankan soal “memberikan nilai-nilai Islam kepada perundangan dan perlembagaan negara.”

Setelah seluruh butir persetujuan ini dicapai dan diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 Disember 1972, pada 14 Disember 1972, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengeluarkan hukum tentang keharusan pembentukan kerajaan campuran ini dengan syarat yang ketat. Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah menolak pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan jika hanya bergantung kepada syarat-syarat yang ada dan dianggap masih lemah itu. Walau bagaimanapun, pada 21 Disember 1972, Mesyuarat Agung Khas PAS telah memutuskan bersetuju dengan pembentukan kerajaan campuran ini.

Tiada ulasan: