30 Disember 2016

30 Disember 1972 : Rombakan Kerajaan Kelantan Bentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah melakukan satu rombakan besar-besaran terhadap pimpinan Kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan sebuah Kerajaan Campuran PAS-Perikatan ditubuhkan di Kelantan. Rombakan ini melibatan jawatan Menteri Besar Kelantan ekoran perlantikan Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas mulai 1 Januari 1973. Ia turut melibatkan pengosongan dua kerusi Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Kelantan, di mana ia akan diisi oleh wakil Perikatan dari Umno dan satu kerusi Exco untuk Setiausaha PAS Kelantan, Ustaz Salahuddin Abdullah yang menjadi ADUN Kota Bharu Tengah menggantikan Dato’ Mohd Asri Haji Muda.

Pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan adalah hasil dari keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 21 Disember 1972 yang bersetuju untuk PAS membentuk kerajaan campuran tersebut. Setelah berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang memberi kesan besar terhadap landskap politik negara, pada 12 Disember 1970, Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Datuk Abdul Samad Idris telah mencadangkan supaya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan untuk perpaduan politik Melayu, dan Dato’ Mohd Asri Haji Muda turut menekankan kepentingan perpaduan politik Melayu bagi mengelakkan negara ini jatuh ke tangan bangsa asing. Setelah melalui beberapa siri rundingan sepanjang tahun 1972, dan Dewan Ulamak PAS Pusat memutuskan keharusan kerjasama ini, akhirnya Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein dan Yang Dipertua Agung PAS telah membuat perisytiharan bersama pada 28 Disember 1972 untuk menubuhkan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan termasuk di Kelantan.

Dato’ Mohd Asri Haji Muda yang melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan yang dipegang sejak 1964, telah digantikan semula oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan mulai 1 Januari 1973, sedangkan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohamad Nasir terpilih semula ke jawatan yang sama, manakala bekas Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Abdullah Arshad pula terpilih sebagai Speaker DUN Kelantan. Tiga orang anggota Exco yang mengangkat sumpah pada 15 Mei 1969, telah digugurkan, manakala bakinya dikekalkan. Mereka dikekalkan ialah Dato’ Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, Mohd Amin Yaakob, Ustaz Salahuddin Abdullah, Wan Hashim Wan Ahmad dan Mohd Noor Yusoff, sedangkan yang digugurkan ialah Ustaz Abdullah Ahmad, Cikgu Omar Awang dan Wah Hassan Wan Daud.

Pemilihan semula pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang diputuskan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 30 Disember 1972 ini telah menerima dua orang anggota Exco dari Perikatan iaitu Hussein Ahmad dan Mohamad Idris. Dengan rombakan ini, Kerajaan Kelantan kembali dipimpin oleh Ustaz Dato’ Ishak Lotfi Omar sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1974. Ketika majlis meraikan perlantikan bekas Menteri Besar Kelantan ke jawatan Menteri Kerajaan Pusat, Dato’ Mohd Asri Haji Muda menjelaskan bahawa penghijrahan meninggalkan Kelantan bukan kerana mengejar pangkat, tetapi mencari ruang yang lebih luas dalam mencapai cita-cita politik dan dakwah PAS. Penyertaan wakil Umno-Perikatan dalam Kerajaan PAS Kelantan tidak menjejaskan kedudukan PAS sehingga mereka campur tangan selepas Pilihan Raya Umum 1974.

Tiada ulasan: