25 Disember 2016

25 Disember 1977 : PAS Adakan Muktamar Khas Selepas Dipecat Dari Barisan Nasional (BN)

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, PAS telah mengadakan satu Muktamar Khas PAS kerana membincangkan kedudukan PAS dalam meghadapi pergolakan politik semasa setelah PAS dipecat dari BN. Pergolakan politik yang bermula dengan krisis politik Kelantan ini, telah berkemuncak dengan pemecatan keahlian Dato’ Mohamad Nasir sebagai ahli PAS pada 10 Oktober 1977, diikuti oleh usul undi tidak percaya ke atas beliau sebagai Menteri Besar pada 15 Oktober 1977, di mana ia membawa kepada rusuhan politik di Kota Bharu. Ekoran itu, Kerajaan Pusat telah mengemukakan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 pada 8 November 1977, tetapi ditentang oleh PAS. PAS kemudiannya enggan mengambil tindakan tatatertib terhadap Ahli Parlimennya, sehingga menyebabkan PAS dipecat dari BN pada 13 Disember 1977.

Ekoran tindakan Majlis Tertinggi BN yang memecatkan PAS sebagai komponen BN, pada 15 Disember 1977 Pejabat Agung PAS telah meminta supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat mengalihkan semula kerusi Ahli Parlimen PAS, termasuk Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda ke barisan pembangkang, selain mengesahkan kedudukan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Datuk Hassan Adli Mohd Arshad yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan telah terpecat sebagai ahli PAS kerana menyokong Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977. Dalam masa yang sama, Umno sendiri menghadapi krisis politik kerana adanya usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kedah.

Pada asalnya, Jawatankuasa Keraja Agung PAS pada 4 Disember 1977 telah memutuskan supaya diadakan satu Muktamar Khas PAS untuk membincangkan krisis politik Kelantan dan mendapatkan mandat baru kepada pimpinan untuk terus memimpin PAS selepas krisis tersebut, dan notis muktamar khas itu telah dikeluarkan pada 7 Disember 1977 sebelum PAS dipecat dari BN. Berlanjutan dari pemecatan PAS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Disember 1977 telah menukarnya menjadi Muktamar Khas PAS untuk membincangkan kedudukan politik PAS pasca pemecatan tersebut. PAS memutuskan supaya Muktamar Khas PAS 1977 ini diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Disember 1977.

Pada 25 Disember 1977, ketika menyampaikan ucapan dasar yang bertajuk “Cubaan dan Cabaran,” Yang Dipertua Agung PAS telah menjelaskan punca sebenar krisis politik ini adalah akibat permainan politik pemimpin Umno Kelantan, termasuk memperalatkan Dato’ Mohamad Nasir untuk menghancurkan PAS Kelantan. Dato’ Mohd Asri turut mempertegaskan kedudukan perjuangan PAS yang berasaskan aqidah tidak pernah tewas dengan isu-isu seperti ini, selain mengemukakan enam langkah susulan untuk mengembalikan semula kekuatan PAS dalam rangka kebangkitan semula Islam. Pada akhir Muktamar Khas PAS ini, satu usul dari Dewan Pemuda PAS Pusat untuk memberikan kepercayaan kepada Dato’ Mohd Asri Haji Muda bagi terus memimpin PAS telah diluluskan.

Tiada ulasan: