22 Disember 2016

22 Disember 2002 : PAS Anggap Sekatan Ke Atas Sekolah Agama Rakyat Sebagai Agenda Barat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2002, Pemangku Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyifatkan tindakan Kerajaan BN mengenakan sekatan ke atas Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai satu tindakan yang dipengaruhi oleh agenda Barat yang mahu melemahkan kebangkitan Islam. Pada pandangan PAS pendirian yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Oktober 2002 untuk menghentikan bantuan kepada SAR adalah perbuatan yang mencabul hak asasi manusia. Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataannya pada 15 Disember 2002 menegaskan soal pencabulan hak asasi ini, sebelum Pemangku Presiden PAS mengaitkan tindakan ini dengan agenda Barat yang turut melakukan tindakan serupa ke atas sekolah agama di Pakistan dan Mesir.

Pada 25 Oktober 2002, Peradana Menteri telah membuat pengumuman untuk menghentikan bantuan perkapita kepada 268 buah SAR di seluruh negara, termasuk 71 buah SAR di Kelantan. Antara tuduhan yang dilontarkan kepada SAR bahawa ia telah disalahgunakan untuk kepentingan politik PAS, di mana para pelajar didakwa telah disemaikan dengan bibit kebencian kepada kerajaan. Dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Kali Ke-88 pada 2 Disember 2002, SAR dituduh gagal memberikan pendidikan berkualiti untuk pelajarnya dan mereka mengarahkan supaya pelajar SAR diserap ke sekolah-sekolah kebangsaan.

Tindakan keras Kerajaan BN ini adalah berlanjutan daripada keputusan Pilihan Raya Umum 1999 di mana Umno telah mengalami kemerosotan pengaruh yang sangat mendadak. Mereka telah mengambil beberapa tindakan politik yang keras antaranya menyekat kontraktor PAS dari mendapat projek kerajaan, mengugut untuk mengambil tindakan di bawah OSA terhadap penjawat awam yang memberi maklumat kepada PAS, cuba mengharamkan perkataan “Islam” pada nama PAS, menyekat permit Harakah, menuduh PAS terlibat dengan gerakan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), mengaitkan PAS dengan Kumpulan al-Ma’unah, dan menuduh Pemangku Presiden PAS terlibat dengan kumpulan pengganas kerana kehadiran beliau di Makasar. Tindakan PAS menentang penutupan sebuah sekolah Cina di Petaling Jaya serta menyokong Dong Zhong dan Dong Jiao Zhong dalam menentang perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris sejak Ogos 2002, telah mengalihkan isu bahawa PAS menyalahgunakan sekolah untuk menimbulkan kebencian kepada kerajaan.

Ekoran dari itu, Kerajaan BN telah bertindak ke atas SAR yang didakwa melahirkan penyokong-penyokong PAS, sedangkan sekolah-sekolah tersebut dibiayai oleh kerajaan. Di sebalik desakan Menteri Besar Kelantan pada 26 Oktober 2002 supaya kerajaan mengkaji semula tindakannya yang dikatakan bukan sahaja merugikan anak-anak ahli PAS, tetapi anak-anak ahli Umno juga. Pada 22 Disember 2002, Pemangku Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu telah mengaitkan usaha Amerika Syarikat untuk membendung kebangkitan jihad dengan menghalang Universiti al-Azhar mengajar tentang jihad kepada pelajar, selain usaha menutup sekolah-sekolah agama di Pakistan, sebagai agenda terancang Barat terhadap pendidikan Islam. Untuk mengatasi isu ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Januari 2003 telah mengarahkan supaya PAS menangani isu ini dengan serius kerana ia memberi kesan terhadap masa depan Islam.

Tiada ulasan: