12 Disember 2016

12 Disember 1970 : Samad Idris Mencadang Penubuhan Kerajaan Campuran PAS dan Perikatan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1970, Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Datuk Abdul Samad Idris telah mencadangkan supaya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan di Kelantan dan Terengganu demi kepentingan politik orang Melayu. Cadangan yang diutarakan ini adalah bagi menyelesaikan krisis politik dan perkauman yang berlaku pasca tragedi 13 Mei 1969. Melalui kerajaan campuran yang diwujudkan antara PAS dan Perikatan akan dapat mengukuhkan perpaduan orang Melayu Islam, selain mereda kekecohan politik yang timbul sebelumnya.

Politik Malaysia telah digegarkan oleh isu perkauman terburuk selepas Pilihan Raya Umum 1969 ekoran kegagalan Umno memahami mesej PAS ketika rundingan kemerdekaan pada 1957 supaya tidak menerima konsep kerakyatan jus soli. Tindakan pemimpin politik Cina, terutamanya DAP dan Gerakan yang menghina orang Melayu selepas kekalahan Perikatan di Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah merebak menjadi rusuhan perkauman. Umno sendiri sejak 1964 telah membesar-besar isu perkauman sehingga berlaku rusuhan kaum di Perak dan Singapura. Kemuncak kepada pergolakan kaum ini telah mencetuskan tragedi 13 Mei 1969, yang memaksa negara ini didaruratkan.

Perisytiharan darurat pada 15 Mei 1969 telah membawa kepada penggantungan seluruh aktiviti politik dan negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) mulai 17 Mei 1969. Ketika kegiatan politik digantung di Semenanjung, Perikatan telah berjaya mendapatkan semula majoriti dua pertiganya ekoran kemenangan Usno dan Sabah Chinese Association (SCA) dalam Pilihan Raya Umum di Sabah pada 27 Jun 1970 serta kemenangan Parti Bumiputera Sarawak (PBS), Sarawak Chinese Association (SCA), Pesaka dan SUPP di Sarawak pada 4 Julai 1970. Perikatan juga berjaya 'membeli' wakil rakyat pembangkang di Perak dan Selangor untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan di negeri-negeri tersebut. Akhirnya pada 30 Ogos 1970, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah menarik balik penggantungan politik.

Perikatan sendiri dalam usahanya mengekalkan kuasa mereka telah mula berunding dengan Gerakan dan PPP untuk membentuk kerajaan campuran masing-masing di Pulau Pinang dan Perak. Menyambut saranan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Ali pada 5 Ogos 1970 supaya orang Melayu bersatu padu untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, pada 12 Disember 1970, Datuk Abdul Samad Idris telah menyarankan supaya PAS berunding dengan Perikatan untuk membentuk kerajaan campuran di Kelantan dan Terengganu. Walaupun pada awalnya ada bangkangan dari beberapa pemimpin Perikatan, tetapi tindakan Dato' Mohd Asri Haji Muda menyatakan keterbukaan PAS untuk berunding, telah mendapat respon positif daripada Naib Presiden Umno, Abdul Ghafar Baba pada 29 April 1972, hasil kejayaan pembentukan Kerajaan Campuran Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang pada 13 Februari 1972 dan Kerajaan Campuran Perikatan-PPP di Perak pada 15 April 1972. Setelah melalui pelbagai proses dan rundingan, akhirnya Kerajaan Campuran PAS-Perikatan berjaya ditubuhkan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain peringkat Pusat pada 1 Januari 1973.

Tiada ulasan: