07 Disember 2016

07 Disember 1976 : PAS Memandang Serius Terhadap Pemimpin BN Yang Memburukkan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, Dewan Harian PAS Pusat telah mengambil pendirian bersetuju untuk memberikan perhatian berat terhadap tindakan sesetengah pemimpin BN yang cuba memburuk-burukkan pemimpin PAS sepanjang PAS bersama BN sejak 1 Jun 1974. Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda menyifatkan tindakan pihak tertentu yang memburuk-burukkan pemimpin dan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sebagai membahayakan perpaduan yang telah wujud, selain boleh menjejaskan aqidah kerana mengkritik perjuangan untuk menegakkan Islam. Dewan Harian PAS Pusat juga turut mengarahkan supaya Badan-badan Perhubungan PAS Negeri membuat laporan tentang rasa tidak puas hati mereka terhadap perjalanan BN di negeri masing-masing.

Pimpinan dan ahli-ahli PAS mulai meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap BN bermula dari masalah pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum 1974 di mana ahli-ahli PAS berpendapat ia tidak sepadan dengan pengorbanan PAS untuk menstabilkan politik negara dengan menyertai Kerajaan Campuran dan BN. Kemudian, timbul pula rasa tidak puas hati terhadap perlantikan untuk jawatan menteri dan timbalan menteri serta perlantikan exco kerajaan negeri di Kedah dan Terengganu. Turut berbangkit ialah isu kurangnya ahli-ahli PAS yang dilantik dalam badan-badan berkanun, sehingga perkara ini di bawa ke dalam mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung BN. Yang Dipertua Agung PAS sendiri dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Julai 1975 mengakui masalah ketidakpuasan hati ahli-ahli parti komponen terhadap perjalanan BN.

Dalam pada itu juga, antara hal yang sangat dipersoalkan oleh ahli-ahli PAS ialah kelembapan usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pemerintahan negara kerana kurangnya kerjasama daripada Umno, selain pembangunan rohani yang tidak seimbang dengan pembangunan jasmani. Di samping itu, telah berbangkit dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-21 pada 29-30 Julai 1975 bahawa para pemimpin Umno telah gagal menghormati PAS sebagai komponen BN, sehingga para perwakilan mula membayangkan keperluan PAS untuk keluar daripada BN. Dewan Pemuda PAS Pusat sendiri telah membangkitkan isu kegiatan sesetengah pemimpin BN yang sengaja mencari jalan untuk melemahkan PAS dalam BN. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-21 ini kemudiannya meluluskan usul untuk mendesak PAS bertindak segera, termasuk menentukan sikapnya sama ada kekal atau keluar dari BN.

Bertolak daripada isu-isu yang berbangkit dan berlarutan, termasuk krisis kepemimpinan di Kelantan yang disedari oleh PAS sebagai percaturan yang dibuat oleh Umno, Dewan Harian PAS Pusat pada 7 Disember 1976 telah mengambil pendirian untuk memberikan perhatian serius terhadap tindakan-tindakan pemimpin BN yang memburuk-buruk PAS dan berusaha melemahkan PAS. Dato’ Mohd Asri Haji Muda sendiri dalam ucapan dasarnya dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-23 pada 23 Julai 1977 telah mengingatkan para pemimpin Umno supaya tidak memandang rendah kepada PAS, termasuk memberikan tekanan dan menindas PAS, sedangkan PAS bersikap toleran dalam banyak hal untuk kelangsungan BN.

Tiada ulasan: