24 Disember 2016

24 Disember 1999 : Kerajaan BN Ugut Pengharaman Harakah Kerana Tonjolkan Kezaliman BN

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1999, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuat satu ancaman untuk mengambil tindakan tegas terhadap lidah rasmi PAS, Harakah, yang dikatakan telah melanggar syarat penerbitannya, iaitu hanya dijual kepada ahli-ahli PAS sahaja. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri ini adalah berkaitan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas sejumlah 2,630 naskah Harakah pada 23 Disember 1999 atas alasan ia dijual secara terbuka. Para pemimpin BN dalam kenyataan-kenyataan mereka sejak 26 Disember 1999 cenderung mendesak Kerajaan BN supaya mengharamkan Harakah.

Kemarahan para pemimpin BN terhadap Harakah adalah kesan daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999 yang menyaksikan Umno mengalami kemerosotan populariti yang sangat teruk di kalangan pengundi Melayu. Isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kezaliman yang berlaku ke atas beliau, serta gerakan Reformasi yang dibuat oleh bekas Timbalan Presiden Umno itu telah berjaya mengubah pendirian politik orang Melayu. Apabila PAS berjaya menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 yang menggabungkan parti pembangkang dan NGO, diikuti oleh penubuhan Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan parti-parti pembangkang iaitu PAS, PKN, PRM dan DAP, populariti BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 telah tergugat sehingga undi popular mereka hanya sekitar 52 peratus sahaja.

Salah satu faktor yang sangat mempengaruhi perubahan pemikiran rakyat ialah peranan Harakah sebagai media alternatif kepada akhbar arus perdana. Harakah telah berjaya menggerakan isu kezaliman BN ekoran pemecatan, penahanan, pendakwaan, pemenjaraan dan kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam penjara kerana dipukul oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Nor. Jualan Harakah bagi setiap keluaran antara September 1998 hingga Disember 1999 telah meningkat dengan mendadak dari 70,000 naskah kepada 300,000 naskah bagi setiap edisi. KDN mendakwa PAS telah menjual Harakah kepada orang awam, sedangkan permit Harakah hanya untuk ahli PAS sahaja. Ekoran itu, tidak sampai sebulan selepas Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999, KDN telah merampas naskah-naskah Harakah yang didakwa dijual secara terbuka.

Kerana desakan berterusan pemimpin BN, Harakah yang dilihat sebagai ancaman kepada mereka telah diugut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 24 Disember 1999 untuk diambil tindakan keras. Harakah yang dituduh menjadi punca perpecahan orang Melayu mula didesak supaya diharamkan atau diambil tindakan tegas. Di sebalik janji PAS kepada KDN untuk mematuhi syarat-syarat permit, pada 30 Disember 1999, Harakah telah menerima surat tunjuk sebab dari KDN, diikuti oleh arahan pengurangan keluaran Harakah dari lapan keluaran kepada dua keluaran sebulan mulai Mac 2000. Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong dan pencetak Harakah, Chea Lim Thye pula didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik sistem kehakiman negara. Namun begitu, sehingga kini Harakah masih diterbitkan.

Tiada ulasan: