23 Disember 2016

23 Disember 1988 : Ustaz Fadzil Noor Bertemu Tengku Razaliegh Hamzah Di Majlis Makan Malam Pemikir Ummah

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, satu majlis makan malam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat telah diadakan di Kelana Jaya, Selangor untuk mempertemukan tokoh-tokoh politik dan pimpinan masyarakat dengan pemimpin PAS dalam merangka agenda perubahan politik negara pasca perpecahan Umno. Majlis yang dinamakan sebagai majlis Makan Malam Pemikir Ummah ini telah disertai oleh Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor dan bekas Naib Presiden Umno yang juga pemimpin Team B Umno, Tengku Razaliegh Hamzah. Pertemuan antara dua pemimpin utama ini telah merintis kerjasama politik di antara PAS dengan serpihan Umno yang menubuhkan parti Semangat 46 (S46) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan yang dijangka berlaku pada 1989 atau 1990.

Perpecahan dalaman Umno yang berlaku akibat pertembungan Team A pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Team B Umno telah membawa kepada pengharaman parti perkauman itu pada 4 Februari 1988. Parti Berjasa telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) yang turut disertai oleh S46. Sedangkan PAS menganjurkan Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam pada 21 Ogos 1988 dan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 9-10 September 1988 ke arah menyatukan gerakan politik umat Islam. Pada 9 Oktober 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya diwujudkan kerjasama dengan serpihan Umno itu bagi mengubah landskap politik orang Melayu, diikuti oleh keputusan Majlis Syura Ulamak PAS pada 30 Oktober 1988 supaya disusun kerjasama antara parti-parti politik orang Islam yang mahu menegakkan Islam sebagai ad-diin.

Sementara para pemimpin Team B Umno giat mengusahakan penubuhan S46, PAS telah menyusun langkah-langkah strategik bagi memanfaatkan krisis politik Umno ini, terutama dalam konteks Kelantan, dan untuk menghadapi Pilihan Raya 1990 umumnya. Selain mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Kerajaan BN Kelantan pada 12 Mac 1988, Muktamar Tahunan PAS Ke-34 pada 9-10 April 1988 memutuskan supaya PAS menerajui usaha untuk menyatukan semua wadah perjuangan umat Islam dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 2 Mei 1988 memulakan usaha untuk mengadakan pertemuan dengan badan-badan Islam bagi merintis pelbagai kerjasama. Pada 4 Julai 1988, Majlis Syura Ulamak PAS mempertegaskan keperluan PAS untuk bersiap sedia bagi mewujudkan perpaduan setelah Team A dan Team B dilihat sukar untuk bersatu.

Salah satu langkah terpenting dalam rangka mewujudkan perpaduan politik Islam ini ialah penganjuran majlis Makan Malam Pemikir Ummah yang diadakan pada 23 Disember 1988, di mana ia turut dihadiri oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ahmad Nordin Zakaria selain para pemimpin politik dan ahli akademik. Pertemuan antara Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tengku Razaliegh Hamzah pada majlis ini telah menjalinkan hubungan antara PAS dengan Team B Umno (kemudiannya S46) sekali gus membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Ampang Jaya pada 28 Januari 1989 dan Pilihan Raya Kecil DUN Teluk Pasu, Terengganu pada 25 Jun 1989. Setelah melalui pelbagai rintangan, akhirnya PAS telah mewujudkan kerjasama dengan Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, S46 dan Hamim bagi menghadapi Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990.

Tiada ulasan: