27 Disember 2016

27 Disember 1958 : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Putuskan Kewajipan Menegakkan Negara Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1958, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah meluluskan satu usul yang mempertegaskan kewajipan untuk menegakkan Negara Islam. Usul yang asalnya diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat pada 25 Disember 1958 telah diterima sebagai pendirian rasmi PAS berkait dengan kewajipan umat Islam di negara ini untuk memperjuangkan tertegaknya sebuah Negara Islam di Tanah Melayu, kerana sesiapa yang tidak menegakkan Negara Islam adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik, zalim dan kafir. Pendirian PAS ini adalah bertolak dari ketidakpuasan hati PAS terhadap kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 yang dianggap oleh PAS sebagai “masih kosong” kerana Islam tidak ditegakkan di atas runtuhan penjajah.

Lidah rasmi PAS, Suara Islam dalam keluaran Mei 1957 telah menjelaskan bahawa kemerdekaan yang dicapai ini tidak memberikan apa-apa makna kepada PAS kerana ia hanya menghapuskan satu penjajah asing, kemudian digantikan oleh satu penjajah lain seperti itu juga, yakni yang tetap tidak melaksanakan syariat Allah. Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Ucapan Dasar sempena Mesyuarat Agung Tahun PAS Ketujuh pada 24-25 Ogos 1957 telah menjelaskan, “Belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya melainkan telah berjalan hukum-hukum Islam pada orang seorang, masyarakat dan negara.”

Lanjutan itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh itu memutuskan bahawa kemerdekaan yang hendak dicapai pada 31 Ogos 1957 mestilah dengan hasrat kebangsaan Melayu yang sesuai dengan cita-cita Islam, dan Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah mengambil tempat yang sesuai dengan ayat al-Quran “ummatan wasatan,” dengan menjalankan perintah menyeru kepada kabajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga berdirinya Negara Islam. Memandangkan cita-cita PAS ini tidak tercapai dengan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah mengusulkan kepada Mesyuarat Agung Dewan Ulamak PAS Pusat untuk dipertegaskan tentang kedudukan perjuangan menegakkan Negara Islam.

Pendirian Dewan Ulamak PAS Pusat ini kemudiannya diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelapan pada 27 Disember 1958 yang menggariskan beberapa dalil dan ketetapan. Perintah Allah dalam ayat 13 Surah as-Syura dan ayat 7 Surah al-Hasyr menunjukkan hukum menegakkan Negara Islam yang berjalan hukum-hukum Allah adalah wajib. Oleh kerana menegakkan Negara Islam adalah wajib, maka segala gerak kerja yang berkaitan dengan usaha menegakkan Negara Islam, termasuk memilih ulil amri serta menyertai pilihan raya dan semua wasilah ke arah tertegaknya Negara Islam menjadi wajib berdasarkan kaedah usul fiqh. Sejak dari keputusan ini, PAS menyertai semua pilihan raya sebagai langkah siasah, menjalankan kerja-kerja dakwah dan mengggerakkan tarbiyah sebagai kewajipan dalam menegakkan Negara Islam.

Tiada ulasan: