18 Disember 2016

18 Disember 1971 : PAS Arahkan Rangka Semula Perlembagaan Parti Mengikut Kehendak Pendaftar (RoS)

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1971, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya pindaan Perlembagaan PAS dirangka semula bagi menepati arahan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) Malaysia selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Arahan yang dikeluarkan ini berkait secara khusus tentang perubahan nama dan dasar PAS yang dikatakan mengandungi elemen sensitif mengikut Akta Hasutan (Pindaan) 1970. RoS telah mengeluarkan arahan supaya beberapa aspek dalam Perlembagaan PAS dipinda terutama melibatkan perjuangan ketuanan Melayu dan agama Islam, yang didakwa oleh Peguam Negara di Dewan Negara pada 9 Mac 1971 sebagai mengandungi unsur sensitif yang bercanggah dengan Akta Hasutan.

Ekoran dari itu, PAS telah mengemukakan satu cadangan pindaan Perlembagaan PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-17 pada 18-20 Jun 1971. Pada 14 Mei 1971, Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PAS 1971 yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad telah mengemukakan cadangan pindaan ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS 1971. Pindaan Perlembagaan ini adalah melibatkan perubahan nama PAS dari "Persatuan Islam Se-Tanah Melayu" kepada "Parti Islam," penghapusan kalimah "Allah Muhammad" pada bendera PAS, mempertegaskan Islam sebagai dasar PAS dan menyatakan dengan jelas tujuan perjuangan PAS untuk mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang melaksanakan nilai dan hukum Islam. Walau bagaimanapun, Pemangku Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Kassim Mohd Amin pada 4 Ogos 1971 telah menolak beberapa aspek pindaan yang dikemukakan dan meminta ia dirangka semula berdasarkan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh RoS.

Bagi mengatasi masalah kelulusan pindaan ini, PAS telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia untuk membuat rayuan, tetapi ia ditolak. Lanjutan dari itu, pada 18 Disember 1971, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya cadangan pindaan Perlembagaan PAS dirangka semula selaras dengan kehendak RoS, dan ia hendaklah dibawa semula ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada tahun berikutnya. Setelah kajian semula dibuat, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya nama PAS ditukar dari "Parti Islam" kepada "Parti Islam Se-Malaysia," selain menetapkan bahawa dasar PAS ialah Islam. PAS turut mengekalkan cadangan asal tujuan perjuangannya iaitu "memperjuangkan wujudnya di negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup dan hukum-hukumnya yang menuju keredhaan Allah" dan "mendukung dan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara." Unsur-unsur yang bersifat ke-Melayuan telah dihapuskan dari Perlembagaan PAS dan diganti oleh unsur-unsur ke-Islaman yang lebih ketara. Rangka baru Perlembagaan PAS ini telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam dengan lebih jelas.

Cadangan baru yang dirangka berdasarkan keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 18 Disember 1971 ini kemudiannya telah dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 dan ia diluluskan untuk dikemukakan kepada RoS. Faktor perundingan yang berlaku antara PAS dengan Perikatan untuk membentuk Kerajaan Campuran pada akhir 1972 telah mempermudahkan proses penggubalan pindaan Perlembagaan PAS ini di mana ia akhirnya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 24 Februari 1973, ketika PAS sudah berada dalam kerajaan. Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 ini kemudiannya telah menjadi panduan perjuangan PAS sehingga ia dipinda semula pada 1977, tetapi pada asasnya tidak ada sebarang perubahan struktural yang berlaku, sehinggalah Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987 yang digubal pada 1983 mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS.

Tiada ulasan: