09 Disember 2016

09 Disember 1982 : PAS Pusat Ke Perlis Terangkan Isu Perletakan Jawatan Dato' Asri Muda

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengadakan lawatan kerja ke Perlis kerana menerangkan isu perletakan jawatan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Siri-siri lawatan kerja Jawatankuasa Kerja Agung PAS ke negeri-negeri dalam isu ini diaturkan ke semua negeri dalam dua peringkat iaitu antara 4-12 Disember 1982 dan 8-23 Januari 1983. Tujuan utamanya adalah untuk menjelaskan secara lisan tentang krisis kepemimpinan yang timbul selepas muktamar tersebut.

Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah meletakkan jawatannya secara mengejut dalam Muktamar Tahunan PAS tersebut pada 23 Oktober 1982 setelah mendapati para perwakilan tidak lagi mendukung kepemimpinan beliau, bahkan keesokkannya telah meluluskan usul kepemimpinan ulamak dalam PAS. Ekoran itu, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa telah dilantik untuk memangku jawatan utama itu, sebelum beberapa pemimpin PAS yang pro Dato' Mohd Asri Haji Muda turut meletakkan jawatan. Antara yang turut meletakkan jawatan ialah Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (Setiausaha Agung PAS), Haji Hassan Mohamad (Bendahari Agung PAS), Ustazah Datin Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) dan Haji Wan Ismail Ibrahim (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS).

Bagi menangani krisis ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 November 1982 telah menyusun semula kepemimpinan PAS dengan melantik Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Haji Abbas Alias sebagai Pemangku Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Setiausaha Agung PAS, Syed Ibrahim Abdul Rahman sebagai Bendahari Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat dan Ustaz Tahir Daeng Mengati sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, sedangkan Ustazah Salmah Mohsein telah diangkat oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat sebagai Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Selain itu, PAS Pusat pada hari yang sama juga telah mengeluarkan makluman secara bertulis kepada pimpinan PAS peringkat Dewan-dewan, Negeri dan Kawasan tentang perubahan kepemimpinan PAS ekoran pengunduran Yang Dipertua Agung PAS itu. Yang lebih penting dipertegaskan ialah perubahan kepemimpinan ini langsung tidak mengubah dasar, tujuan, matlamat, hukum dan kekuasaan PAS, bahkan diperkukuhkan lagi di bawah pimpinan ulamak. Ahli-ahli PAS juga diperingatkan supaya menetapkan pendirian dengan istiqamah dan mengambil sikap bahawa jihad mereka dalam PAS adalah kerana Allah, bukan kerana tokoh-tokoh tertentu.

Menyusul setelah penjelasan bertulis yang dikeluarkan pada 4 November 1982 ini ialah lawatan kerja secara berperingkat oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS ke negeri-negeri untuk memberikan penjelasan terhadap perkara yang sama kepada ahli-ahli PAS, termasuk lawatan ke negeri Perlis yang diadakan pada 9 Disember 1982. Negeri-negeri lain turut diadakan majlis penerangan iaitu Pahang dan Kelantan (4 Disember 1982), Terengganu (5 Disember 1982), Kedah (10 Disember 1982), Pulau Pinang (11 Disember 1982) dan Perak (12 Disember 1982). Dalam siri yang kedua lawatan ini telah melibatkan negeri Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan yang masing-masing diadakan antara 8 hingga 23 Januari 1983.

Tiada ulasan: