22 Januari 2017

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir - Pencetus Kebangkitan PAS Di Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bin Ahmad adalah ulamak Kelantan yang paling berpengaruh selepas era Tok Kenali (m. 1933). Beliau bukan sahaja murid kanan Tok Kenali, tetapi pondoknya, Madrasah Ahmadiyah atau Pondok Bunut Payung adalah pondok yang terbesar di Kelantan pada dekad 1940-an hingga 1960-an. Bahkan, kebanyakkan guru-guru pondok yang terkenal di seluruh Malaysia selepas merdeka adalah murid-murid beliau. Dengan pengaruh beliau yang sangat luas ini, penyertaan beliau bersama perjuangan PAS pada 1954 telah mengubah politik Kelantan kepada wajah baru yang lebih Islamik apabila PAS berjaya menguasai Kelantan pada 1959.

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dilahirkan di Pengkalan Leser, Kampung Sireh, Kota Bharu pada 20 Jun 1897. Ayahnya, Haji Ahmad Awang Ludin, seorang Imam Tua di Masjid Langgar yang berasal dari Kampung Chepa, Sering dan pernah bermukim di Mekah selama empat tahun sehingga 1903. Selain belajar dengan ayahnya, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali dan Masjid Muhammadi sejak 1910. Beliau turut berguru dengan Tuan Guru Haji Nik Man Tua (Nik Abdul Rahman Wan Sulaiman) dan Mufti Haji Idris Che Hassan. Pada 1926, beliau berangkat ke Mekah dan berguru dengan Sheikh Ali Maliki, Sheikh Said Yamani, Sheikh Mokhtar Atarid dan Sheikh Muhammad al-Fathani. Beliau telah kembali ke Kelantan pada 1931 untuk menabur bakti.

Pada awalnya, beliau menjadi tenaga pengajar di Masjid Muhammadi beberapa tahun bersama Tok Kenali, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Tuan Guru Haji Saad Kangkung, Tuan Guru Haji Ahmad Manan dan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang. Pada akhir 1931, beliau mengasaskan Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung yang mempunyai pelajar yang ramai dari seluruh pelusuk tanah air. Dalam tahun 1936, beliau telah mengasaskan Jabhat ad-Diiniah al-Islamiyah Kelantan, iaitu pertubuhan ulamak yang pertama di Tanah Melayu di mana beliau sendiri pernah menjadi Yang Dipertuanya. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir juga dilantik sebagai Ahli Jemaah Ulamak MAIK dan anggota Jawatankuasa Pengadil Mahkamah Kelantan.

Selain kegiatan dakwah dan pengajaran agama, sumbang besar Tuan Guru Haji Abdullah Tahir ialah apabila muzakarah antara beliau dengan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol pada 8 September 1952 tentang dasar dan tujuan PAS telah membawa kepada penerangan tentang PAS di Pasir Puteh dan Pasir Mas pada 9 hingga11 September 1952 sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953. Pada 14 April 1954, PAS telah mengadakan gerakan mengembangkan PAS di Kelantan dengan menghantar Ustaz Othman Abdullah dan Mohd Asri Haji Muda, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah menyertai PAS, sekali gus membolehkan PAS Cawangan Kota Bharu ditubuhkan pada 18 November 1954.

Pada 26-28 Disember 1955, Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat. Dengan berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PAS di pondok ini, maka tahulah seluruh alim ulamak dan rakyat Kelantan bahawa Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah menyertai PAS yang menyebabkan ulamak-ulamak terkenal seperti Tuan Guru Haji Ghani Kubang Bemban, Tuan Guru Haji Mustafa Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Mat Zain Kemudi, Tuan Guru Haji Mat Tubuh Beris, Tuan Guru Haji Mat Bakok Kenali, Tuan Guru Haji Harun Sulong, Tuan Guru Haji Daud Meranti, Tuan Guru Haji Awang Padang, Tuan Guru Haji Aziz Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Yakub Berangan dan lain-lain telah menyertai PAS. Di luar Kelantan juga, murid-murid beliau turut menyertai PAS. Ekoran ramainya ulamak yang mengikuti jejak langkah beliau bersama PAS, rakyat turut memberi sokongan kepada PAS sehingga dapat menguasai Kelantan pada 1959.

Walaupun Tuan Guru Haji Abdullah Tahir tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam PAS, tetapi penyertaan beliau ke dalam PAS telah memberi kesan besar terhadap sikap politik alim ulamak di Kelantan, sekali gus sikap rakyat Kelantan. Selain murid-muridnya seperti Tuan Guru Haji Yahya Junid, Tuan Guru Haja Othman al-Yunusi, Muallim Haji Wahid Osman Melaka dan lain-lain yang muncul sebagai pemimpin PAS, ahli keluarga beliau sendiri seperti Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman iaitu menantu beliau adalah bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, sedangkan cucu menantu beliau, Ustaz Yahya Othman adalah Murabbi PAS yang sangat terkenal. Dua tahun selepas PAS berjaya menguasai Kelantan, pada 15 Ogos 1961, beliau telah kembali ke rahmatullah.

Tiada ulasan: