18 Januari 2017

Pembentukan Kerajaan PAS Terengganu 1959

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kejayaan PAS memenangi Pilihan Raya Negeri Terengganu pada 20 Jun 1959 telah membolehkan PAS membentuk Kerajaan Negeri Terengganu yang pertama selepas merdeka. Dalam Pilihan Raya Negeri ini, PAS telah menguasai 13 kerusi DUN, sedangkan Perikatan mendapat tujuh kerusi dan Parti Negara (PN) mendapat empat kerusi. Terengganu adalah negeri yang pertama dikuasai PAS sejak Pilihan Raya Negeri diadakan kali pertama selepas merdeka secara berperingkat bermula di Perlis dan Kedah pada 20 Mei 1959, sedangkan Terengganu adalah negeri yang kelapan selepas Perlis dan Kedah, Melaka, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor, manakala Kelantan dan Pahang mengadakan Pilihan Raya Negeri selepas Terengganu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu yang diadakan pada 10 Oktober 1955, iaitu pilihan raya sebelum merdeka, Perikatan telah menyapu bersih semua kerusi Majlis Undangan Negeri yang dipertandingkan, sedangkan ketika itu PAS belum ditubuhkan di Terengganu. Dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959, PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi menerusi Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut), Mohd Sanari Yunus (Kg. Raja), Ustaz Husin Jusoh (Hulu Besut), Mohamad Ismail (Besut Tengah), Mohd Daud Abdul Samad (Setiu), Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah (Jeram), Tuan Guru Haji Abdul Kadir Muhammad (Kuala Terengganu Tengah), Tuan Guru Haji Shafie Sulong (Binjai), Ismail Yusof (Hulu Terengganu Timur), Omar Abdul Rahman (Hulu Terengganu Barat), Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang), Abu Bakar Mohd Salleh (Sura) dan Ustaz Omar Shukri Embong (Hulu Dungun).

Ekoran kemenangan ini, pada 24 Jun 1959, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah membincangkan perlantikan Menteri Besar Terengganu tetapi menghadapi isu berkaitan makna ‘Bumiputera’ dalam perjawatan kerana Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah adalah seorang berketurunan Banjar yang berasal dari Perak. PAS Terengganu telah bersetuju menyerahkan dua nama kepada Sultan Terengganu iaitu Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram) dan Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) sebagai calon Menteri Besar, dengan syarat calon yang tidak terpilih akan menjadi anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Setelah itu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Sultan Zainal Abidin III telah berkenan memilih Mohd Daud Abdul Samad sebagai Menteri Besar Terengganu. Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah yang mendapat 19 undi berbanding Mohd Daud Abdul Samad (tiga) dan Abu Bakar Salleh (dua) dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Terengganu itu, berkeyakinan beliau akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Terengganu selepas kerajaan dibentuk.

Dengan perkenan Sultan Terengganu ini, pada 29 Jun 1959, Mohd Daud Abdul Samad telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang pertama selepas merdeka. Mohd Daud Abdul Samad, 35 tahun yang berasal dari Jerteh, Besut dan mendapat pendidikan tertinggi di Sultan Ismail College (SIC), Kota Bharu selain belajar agama di Madrasah al-Balaghul Mubin, Pasir Puteh. Sebelum menyertai PAS, beliau yang menjadi aktivis Kesatuan Melayu Muda (KMM), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Rakyat (PR), selain berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Kerja Raya Terengganu sehingga 1952. Pada 1956, beliau menyertai PAS dan dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu sebelum dipilih sebagai ADUN Setiu. Dengan latar belakang pendidikan Melayu, agama dan Inggeris, pengalaman berkhidmat dengan kerajaan serta penglibatan politik sejak akhir 1930-an, beliau dianggap layak mengetuai Kerajaan PAS Terengganu.

Setelah Menteri Besar Terengganu mengangkat sumpah pada 29 Jun 1959, dengan persetujuan parti, Mohd Daud Abdul Samad telah membentuk kabinetnya dengan satu barisan anggota enam orang Exco Kerajaan dan dibantu oleh seorang Speaker DUN. Enam orang yang mengangkat sumpah sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada 29 Jun 1959 ialah Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah, Mohd Sanari Yunus, Abu Bakar Salleh, Ustaz Omar Shukri Embong, Ismail Yusof dan Omar Abdul Rahman. Manakala Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar, ADUN Marang dinamakan sebagai Speaker DUN Terengganu yang pertama. DUN Terengganu telah bersidang untuk kali yang pertama bagi meluluskan dasar-dasar Kerajaan PAS Terengganu ini pada 29 Julai 1959, setelah cadangan asal yang dirancang pada 4 Julai 1959 ditangguhkan akibat bertembung dengan kempen Pilihan Raya Umum Persekutuan yang berlangsung antara 15 Julai hingga 19 Ogos 1959.

Tiada ulasan: