15 Januari 2017

“Tata Negara Islam” - Karya Pertama Pemimpin PAS Tentang Negara Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Negara Islam telah menjadi cita-cita perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan, bahkan ia melanjutkan cita-cita Hizbul Muslimin sebelumnya. Setelah gagal mempengaruhi proses kemerdekaan untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh pada 25-27 Disember 1958 telah memutuskan bahawa perjuangan menegakkan negara Islam adalah wajib bagi setiap umat Islam, khususnya ahli PAS. Langkah-langkah politik PAS selepas 1958 adalah merupakan rangkaian usaha PAS untuk mendirikan sebuah negara Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Antara usaha PAS untuk menjelaskan konsep negara Islam ini adalah menerbitkan buku-buku tentang negara Islam sejak 1960 hingga terhasilnya Dokumen Negara Islam sebagai dokumen rasmi yang dilancarkan oleh PAS pada 12 November 2003.

Semenjak keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 1958, karya pertama yang dihasilkan oleh pemimpin PAS tentang negara Islam ialah buku yang bertajuk “Tata Negara Islam” yang diterbitkan pada 1963 hasil tulisan Ustaz Budiman Radhi, bekas Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Karya yang diterbitkan oleh Maktabah Haji Mohamad Ali ar-Rawi, Pulau Pinang ini telah menggariskan prinsip-prinsip asas kenegaraan Islam dan strukturnya. Buku yang diterbitkan dalam tulisan Jawi ini boleh dikatakan lanjutan daripada perbincangan tentang politik Islam yang lebih awal dikemukakan oleh beberapa ulamak PAS sebelumnya. Namun, buku ini agak berbeza kerana ia mengemukakan perkara-perkara berkait prinsip kenegaraan dan struktur kerajaan, berbanding karya-karya sebelumnya yang berkisar tentang pemikiran politik Islam.

Dalam konteks perjuangan politik PAS, beberapa tokoh PAS yang pernah menulis tentang pemikiran politik Islam seperti Ustaz Zulkifli Mohamad, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Sheikh Abdul Qadir al-Mandili. Ustaz Zulkifli Mohamad telah menghasilkan buku “Masyarakat dan Syariat” pada 1954 dan “Pegangan Hidup Umat Islam” (1956), manakala Dr Burhanuddin al-Helmy pula telah menuliskan buku “Agama dan Politik” (1954) dan “Ideologi Politik Islam” (1957). Dari Mekah, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili pada 1959 telah menghasilkan pula buku “Islam: Agama dan Kedaulatan” yang menjadikan perbincangan tentang konsep negara Islam menjadi semakin menarik dan mendapat perhatian rakyat awam.

Terdahulu, ulamak terkenal, Tuan Hussin Kedah pada 1935, telah menghasilkan “Tanbih al-Ikhwan fi Tadbir al-Ma’isyah wa Taslih al-Buldan” yang membicarakan beberapa aspek sosial, kaedah pemerintahan dan pembangunan negara menurut Islam. Karya Tuan Hussin Kedah ini boleh dikatakan yang pertama di Tanah Melayu membahaskan tentang pemikiran politik Islam selepas jatuhnya Khilafah Othmaniyah pada 1924. Setelah itu, Maulana Abdullah Noh, tokoh ulamak Kelantan telah menghasilkan pula buku “Semangat Perajurit-perajurit Muslimin” pada 1947 yang menekankan kepentingan berjuang menegakkan negara Islam dalam kerangka yang disebut sebagai “Siasat al-Madinah”. Pada 1962, di atas usaha Pustaka Islam, Kota Bharu yang dimiliki oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Amaluddin Darus, telah diterbitkan buku “Masyarakat dan Politik” karya Sheikh Muhammad al-Ghazali.

Melanjutkan perbincangan tentang politik dan kenegaraan Islam pasca kejatuhan Khilafah Othmaniyah, muncul Ustaz Budiman Radhi, seorang ulamak muda yang berasal dari Kedah. Beliau mendapat pendidikan tinggi Islam di Indonesia dan terdedah dengan perjuangan politik Islam di negara tersebut yang berkembang sejak tertubuhnya Sarekat Islam pada 16 Oktober 1905. Sebagai seorang penulis prolifik, beliau telah berjaya menghasilkan beberapa karya antaranya “Falsafah Akhlak”, “Falsafah Rukun Islam”, “Kelebihan Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan”, “Islam dan Kristian”, “Buruh Dalam Islam”, “Pengajaran Rukun Islam dan Iman” serta buku terpentingnya, “Tata Negara Islam.” Beliau yang juga guru di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol telah mula terlibat dalam PAS sejak awal 1950-an serta pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah dan Wakil (Naib) Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1957-1958).

“Tata Negara Islam” adalah buku beliau yang terpenting dalam membincangkan konsep negara Islam. Buku yang diterbitkan pada tahun 1963 ini menurut seorang mengkaji, Safie Ibrahim (1981), bahawa ia sangat dipengaruhi oleh karya-karya pemimpin Jamiat Islami Pakistan, Maulana Syed Abul A’la al-Maududi (m. 1979). Antara karya al-Maududi yang mempengaruhi tulisan Ustaz Budiman Radhi ialah “The Islamic Law and Constitution” (1955), “The First Principle of The Islamic State” (1960) dan “Political Theory of Islam” (1960). Karya lain yang turut memberi pengaruh ialah “The Principle of State and Government in Islam” (1961) tulisan Mohamad Asad. Karya Ustaz Budiman Radhi ini adalah satu-satu karya tentang kenegaraan Islam yang dihasilkan oleh pemimpin PAS sepanjang dekad 1960-an.

Tiada ulasan: