09 Januari 2017

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama Tahun 1951

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Setelah membentuk Jawatankuasa Kerja Agung sesi yang pertama dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama pada 3 Januari 1951 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyyah, Kepala Batas, Seberang Perai. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini telah dihadiri oleh 19 orang perwakilan mewakili 13 buah Cawangan PAS bersama 13 orang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Tiga Cawangan PAS tidak menghantar perwakilan, manakala beberapa tokoh seperti Mufti Melaka, Haji Khalil Hassan dan Mufti Pulau Pinang, Sheikh Abdullah Fahim turut hadir.

Cawangan-cawangan PAS yang hadir ialah Bandar Pulau Pinang, Bayan Lepas, Pokok Sena dan Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Bukit Besar (Kedah), Perlis (Perlis), Perak (kemudiannya Kuala Kangsar), Kerian, Titi Serong dan Hilir Perak (Perak) serta Sentul, Kuala Lumpur dan Sungai Penchala (Selangor). Tiga cawangan yang tidak hadir ialah Rembau dan Johol dari Negeri Sembilan dan Singapura yang tidak diluluskan pendaftarannya. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini telah dipengerusikan oleh Haji Mokhtar Ahmad dari PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang dan memutuskan 19 resolusi.

Antara resolusi utama yang diputuskan ialah “Program Politik PAS” yang menunjukkan PAS adalah sebuah parti politik Islam, bukannya badan kebajikan semata-mata. Program Politik PAS ini mengandungi tujuh perkara utama melibatkan usaha-usaha PAS memperjuangkan kemerdekaan, mendukung demokrasi tulen, menggerakkan jentera Pemuda dan Ulamak untuk menegakkan Islam, memperkenalkan PAS di arena politik antarabangsa dan mengembangkan syiar Islam. PAS juga mahu kemerdekaan yang didirikan oleh rakyat dari rakyat kepada rakyat dan berada dalam lingkungan Komanwel British.

Resolusi lain yang diputuskan ialah persetujuan untuk menubuhkan Dewan Ulamak PAS, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS sebagai sayap-sayap perjuangan PAS; menubuhkan ‘Biasiswa Pelajaran PAS’; menerbitkan majalah bulanan PAS; mendesak kerajaan untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan pentadbiran agama; dan menuntut kerajaan mengurangkan cukai tanah. Dalam memperkasakan organisasi PAS, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama ini telah bersetuju melantik Setiausaha Khas Mesyuarat Agung Tahunan PAS dan meminda Undang-undang Tubuh PAS 1951 melibatkan cara perlantikan Setiausaha Agung PAS, memperkasakan organisasi PAS Cawangan, penubuhan Ranting PAS, yuran keahlian, bendera PAS berasaskan Sang Saka Merah Putih betulis “Allah Muhammad” dalam bulatan hijau dan menjadikan “Merdeka” sebagai cogan kata PAS.

Pada akhir mesyuarat agung ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS bagi sesi 1953 telah dibentuk dengan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dari Seberang Perai dipilih semula sebagai Yang Dipertua Agung PAS, manakala Tuan Guru Haji Mansur Hassan dari Pulau Pinang dipilih sebagai Timbalannya. Bagi jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS, tiga tokoh yang dipilih ialah Tuan Guru Haji Hussein Che Dol dari Kedah (Utara), Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin dari Segambut (Tengah) dan Ustaz Haji Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli dari Singapura (Selatan), manakala Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Seberang Perai) dipilih sebagai Bendahari Agung PAS.

Tokoh-tokoh lain yang turut terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah Ustaz Haji Ahmad Maliki (Seberang Perai), Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah (Seberang Perai), Tuan Guru Haji Yahya Junid (Kedah), Ustaz Haji Zabidi Ali (Seberang Perai), Ustaz Haji Ahmad Long (Perlis), Tuan Guru Haji Zabidi Aman (Perak), Mohamad Hanif (Pulau Pinang) dan Ustaz Haji Abdul Halim al-Hadi (Seberang Perai). Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama ini, Yang Dipertua Agung PAS telah melantik Cikgu Ahmad Awang (Seberang Perai) sebagai Setiausaha Agung PAS, manakala Ustaz Ahmad Hashimi (Seberang Perai), Ustaz Haji Ghazali Abdullah (Perak) dan Haji Tahir (Negeri Sembilan) sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama ini berakhir pada 3 Januari 1953, keesokkannya (4 Januari 1953), PAS telah menganjurkan Muzakarah Ulamak Se-Malaya di tempat yang sama bagi mempertemukan dua aliran ulamak – Kaum Tua dan Kaum Muda – yang telah berselisih dalam 16 perkara khilafiyah terutama di antara Ketua Dewan Ulamak PAS, Sheikh Haji Abdullah Fahim mewakili Kaum Tua dengan Yang Dipertua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang, Ustaz Haji Ibrahim Aqibi. Walau bagaimanapun, muzakarah ini gagal mencapai sasarannya kerana ulamak Kaum Muda tidak hadir.

Tiada ulasan: