30 Januari 2017

Nahdatul Ulamak Malaya - Usaha Alihkan Sokongan Ulamak UMNO

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Setelah tertubuhnya PAS pada 23 Ogos 1951, muncul beberapa pertubuhan politik Islam di Tanah Melayu dan Singapura menjelang kemerdekaan negara. Antara parti-parti tersebut termasuklah al-Ansarul Islam, Muhammadiyah, Nahdatul Ulamak Malaya dan Ikhwanul Muslimin. Parti-parti ini muncul antara 1953 hingga 1962 tetapi tidak dapat berkembang kerana pengaruh PAS sudah membesar, bahkan pimpinan parti-parti tersebut telah menyertai PAS kemudiannya. Lebih menarik lagi apabila parti politik Islam yang baru ini dipengaruhi oleh pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia sehingga munculnya Muhammadiyah (Kaum Muda) dan Nahdatul Ulamak (Kaum Tua).

Pada asalnya, pergeseran isu 16 perkara khilafiyah telah membawa kepada dua muzakarah yang masing-masing dianjurkan oleh Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1953 di Pulau Pinang. Ekoran itu, pada 1953 itu juga wujudnya usaha menubuhkan Muhammadiyah di Pulau Pinang, sebelum ia berkembang di Singapura pada 1957. Pendukung utama Muhammadiyah ialah Ustaz Ibrahim Aqibi, bekas Yang Dipertua PAS Bandar Pulau Pinang, Ustaz Abu Bakar Hamzah, perintis Akademi Islam dan Haji Mohamed Hussein selaku Ketua Muhammadiyah. Ulamak Kaum Tua pula mengatur penubuhan organisasi mereka sehingga akhirnya berjaya mengadakan perjumpaan ulamak dalam bulan November 1956 untuk menubuhkan Nahdatul Ulamak Malaya.

Penubuhan Nahdatul Ulamak ini pada asalnya dirancang oleh seorang tokoh ulamak Umno, Ustaz Wan Hassan Wan Ahmad. Beliau berasal dari Hutan Melintang, Perak dan berkhidmat sebagai guru agama di Batu 16, Hutan Melintang. Setelah ulamak-ulamak berpecah dengan Umno pada akhir 1951 untuk menubuhkan PAS, beliau memilih kekal bersama Umno. Pada akhirnya 1956, beliau mulai tidak berpuas hati dengan Umno terutama melibatkan tuntutan kemerdekaan yang dianggap merugikan orang Islam. Beliau menggunakan isu tuntutan kemerdekaan untuk memanggil alim ulamak bagi menggubal cadangan kepada Suruhanjaya Reid. Pada 5 Oktober 1956, beliau telah membuat kenyataan kepada media untuk menjemput alim ulamak menghadiri perjumpaan yang ditajanya.

Perjumpaan Alim Ulamak tajaan Ustaz Wan Hassan Wan Ahmad ini diadakan pada 18 November 1956 di Sungai Sumun, Hilir Perak. Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk menggubal memorandum bagi pihak ulamak kepada Suruhanjaya Reid dan membincangkan penubuhan sebuah badan ulamak Kaum Tua, Nahdatul Ulamak Malaya. Isu memorandum ini telah berjaya menarik perhatian ulamak ke perjumpaan tersebut, tetapi penubuhan Nahdatul Ulamak menjadi tujuan utama. Akhirnya Nahdatul Ulamak Malaya berjaya ditubuhkan, tetapi sasaran mereka gagal apabila Ketua Pemuda Umno Perlis, Ustaz Abu Bakar Hamzah terpilih sebagai Yang Dipertua Nahdatul Ulamak Malaya, sedangkan beliau beraliran Kaum Muda. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang tewas dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua Nahdatul Ulamak Malaya, terpilih pula sebagai Timbalan Yang Dipertuanya.

Di pihak PAS, Nahdatul Ulamak Malaya ini menjadi batu loncatan untuk mengumpulkan para ulamak Umno yang tidak berpuas hati dengan Umno dalam satu badan yang lain, tujuannya untuk melemahkan Umno. Seorang pengkaji mendakwa Perjumpaan Alim Ulamak ini ditaja oleh ahli-ahli PAS untuk mengacau Umno dan menarik ulamak Umno menyertai PAS dengan memperalatkan ulamak Umno seperti Ustaz Haji Wan Hassan Ahmad yang tidak berpuas hati dengan sikap Umno terhadap Islam. Dr Burhanuddin al-Helmy sendiri, sebelum menyertai PAS melahirkan kebimbangan sekiranya Nahdatul Ulamak Malaya ini dapat menyaingi PAS.

Setelah Nahdatul Ulamak Malaya berhasil ditubuhkan, badan ini gagal berfungsi dan bergerak kerana ia adalah pertubuhan Kaum Tua yang dipimpin oleh ulamak Kaum Muda. Ada pandangan mengatakan tindakan Ustaz Abu Bakar Hamzah merebut jawatan tertinggi Nahdatul Ulamak adalah untuk menyekat pergerakan Kaum Tua. Pada akhir 1956, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menyertai PAS yang menyebabkan ulamak Kaum Tua dan Kaum Muda telah bersatu dalam PAS, sekali gus menjadikan Nahdatul Ulamak Malaya tidak relevan. Lebih menarik lagi pada 1957, apabila Ustaz Wan Hassan Wan Ahmad berpindah ke Cheras, beliau telah mengasas dan mengetuai PAS Cawangan Batu 9 Cheras, sedangkan Ustaz Abu Bakar Hamzah telah menyertai PAS dari Umno pada tahun yang sama, sekali gus melumpuhkan Nahdatul Ulamak Malaya.

Tiada ulasan: