13 Januari 2017

Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) - Permulaan Baru Kebangkitan Islam Di Tanah Melayu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perubahan politik pasca Perang Dunia Kedua telah turut memberi kesan terhadap gerakan politik Islam di Tanah Melayu. Sejak kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 1924, telah muncul gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia yang berjuang untuk menegakkan semula negara Islam, termasuk di Alam Melayu. Penubuhan Sarekat Islam pada 16 Oktober 1905 telah menjadi gerakan politik Islam yang penting di Asia Tenggara sebelum kemunculan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi) pada 24 Oktober 1943. Masyumi sendiri terbentuk hasil penyatuan pelbagai pertubuhan Islam menerusi Majlis Islam A’la Indonesia (MIAI) pada 18-31 September 1937.

Usaha menyatukan pergerakan umat Islam di Tanah Melayu telah bermula sejak 1931 apabila Sheikh Abbas Taha, Qadhi Besar Singapura mencadangkan penubuhan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Namun penyatuan ulamak hanya dapat dirasai pada zaman Jepun di mana dua persidangan ulamak telah diadakan di Singapura pada 5-6 April 1943 dan di Kuala Kangsar pada 12-15 Disember 1944. Selepas Perang Dunia Kedua, dengan mengambil semangat dari kejayaan MIAI membentuk Masyumi, para ulamak Malaya di bawah pengaruh Dr Burhanuddin al-Helmy dan Maulana Abdullah Noh telah mengaturkan Persidangan Ekonomi-Agama di Gunung Semanggol, Perak pada 23-34 Mac 1947. Dalam sesi Persidangan Agama pada 24 Mac 1947, sebuah Lembaga Agama Se-Malaya telah berjaya ditubuhkan dan dikenali sebagai Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) dengan diketuai oleh Sheikh Abu Bakar Rafik.

Persidangan Agama yang dihadiri oleh 41 orang perwakilan dan 500 pemerhati ini telah menetapkan tujuan-tujuan penubuhan MATA. Tujuan utama penubuhan MATA adalah untuk menyatukan pentadbiran agama di Malaya melalui sebuah badan yang mempunyai kuasa agama dengan anggotanya dipilih oleh rakyat serta menuntut untuk mempunyai wakil dalam majlis mesyuarat negeri. Lembaga yang terbuka kepada semua umat Islam ini mempunyai sebuah Majlis Penasihat yang dianggotai oleh Sheikh Abdullah Fahim (Seberang Perai), Sheikh Fadhlullah Suhaimi (Singapura), Ustaz Haji Abdul Jalil Hassan (Johor) dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir (Perak).

Pergerakan awal MATA bermula apabila MATA Cawangan Kelantan dan Pulau Pinang ditubuhkan dalam bulan Mei 1947, diikuti oleh Cawangan Johor, Kedah dan Perlis dalam bulan Julai 1947. MATA juga telah mengadakan dua persidangan iaitu pada 29-30 Mei 1947 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyyah, Kepala Batas dan 12-13 Julai 1947 di Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Cempedak untuk membincangkan penyususan gerak kerja dan pembentukan organisasi dengan 14 lajnah. Selain menangani isu-isu umat Islam tempatan dan antarabangsa, MATA turut memberi perhatian kepada isu pendidikan di mana dalam Kongres Badan Kebajikan dan Pendidikan MATA di Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1-2 September 1947, mereka berjaya menubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) yang sangat cergas dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan umat Islam, termasuk mengatur penubuhan Universiti Hang Tuah yang diketuai oleh Dr Burhanuddin al-Helmy.

Kecergasan pergerakan MATA dalam tempoh setahun ini telah menjadi ancaman kepada Umno. Selain mendakwa MATA ditubuhkan dengan ilham pemimpin sosialis, Gerald de Cruz, pemimpin Umno, Dato’ Onn Jaafar turut mengeluarkan amaran “bahaya dari Gunung,” dan mendakwa jika MATA menguasai pentadbiran agama, masa depan agama Islam di Tanah Melayu akan hancur. Di sebalik kegagalan Bahagian Agama Umno berfungsi, penubuhan MATA juga mendesak British menubuhkan Majlis Penasihat Islam yang diketuai oleh Syed Ibrahim as-Saqqaf. Namun begitu pergerakan MATA terus berkembang dengan penubuhan Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat Malaya yang dipimpin oleh Sheikh Zubir Ahmad al-Filfilani dan Ustaz Abdul Rabb at-Tamimi.

Pada awal 1948, pergerakan MATA mula memberikan fokus untuk mewujudkan sebuah pergerakan politik Islam seperti mana MIAI menubuhkan Masyumi di Indonesia. Dalam Persidangan MATA yang diadakan pada 14 Mac 1948, mereka telah berjaya menubuhkan parti Islam yang pertama di Tanah Melayu iaitu Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Melalui Hizbul Musliminlah pergerakan politik umat Islam di Tanah Melayu mulai tersusun sehingga mereka dilumpuhkan oleh British melalui Ordinan Darurat 1948. Bertolak dari pergerakan MATA inilah, pada 23 Ogos 1951, ulamak-ulamak Hizbul Muslimin yang bergiat dalam Bahagian Agama Umno sejak 1949 menubuhkan PAS.

Tiada ulasan: