11 Januari 2017

Jawatankuasa Harian PAS - Metadbir Urusan Harian PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Urusan pentadbiran dan kepejabatan adalah urusan harian terpenting bagi sebuah parti politik. Perjalanan organisasi secara harian perlu ditadbir dengan cekap oleh Pejabat Agung PAS kerana ia melibatkan kelancaran pengurusan parti dan gerak kerjanya. Sejak Pejabat Agung PAS ditubuhkan di Kepala Batas, Seberang Perai pada akhir 1951 hinggalah ia berpindah ke Kuala Lumpur pada akhir 1955 dan kini berpusat di 319-A, Jalan Raja Laut, urusan-urusan pentadbiran harian PAS ditadbir oleh Setiausaha Agung PAS dengan dibantu oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah Fasal 27 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.

Sejarah pentadbiran harian Pejabat Agung PAS telah bermula selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, di mana Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 6 April 1953 telah mengusulkan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai “Jawatankuasa Tadbir PAS.” Fungsi Jawatankuasa Tadbir PAS ialah untuk menyelaraskan pentadbiran Pejabat Agung PAS dan membantu Setiausaha Agung PAS dalam urusan pentadbiran harian PAS.

Pembentukan Jawatankuasa Tadbir PAS pada 6 April 1953 ini melibatkan pimpinan tertinggi PAS yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran parti termasuk Yang Dipertua Agung PAS, Setiausaha Agung PAS dan Bendahari Agung PAS. Pimpinan yang membentuk Jawatankuasa Tadbir PAS sesi yang pertama ini terdiri dari Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (Yang Dipertua Agung PAS), Tuan Guru Haji Mansur Hassan (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS), Cikgu Ahmad Awang (Setiausaha Agung PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Bendahari Agung PAS) dan Ustaz Haji AhMaliki (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Mereka bertanggungjawab mengendalikan Pejabat Agung PAS yang ketika itu terletak di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam. Antara fokus utama Jawatankuasa Tadbir PAS ialah membantu Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menjalankan tindakan-tindakan politik PAS dalam tuntutan kemerdekaan dan juga penubuhan Dewan Pemuda PAS.

Oleh kerana Jawatankuasa Tadbir PAS ini menjalankan tanggungjawab pentadbiran harian parti, Jawatankuasa Kerja Agung PAS sejak 1965 telah menamakan jawatankuasa ini sebagai sebuah “dewan (jabatan)” seperti mana Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS, tetapi ia dikenali sebagai Dewan Harian PAS. Anggota Dewan Harian PAS ini terdiri daripada Yang Dipertua Agung PAS, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS, Setiausaha Agung PAS dan Bendahari Agung PAS. Apabila jawatan Ketua Penerangan PAS secara rasmi diwujudkan pada 1987 ia juga dijadikan anggota Dewan Harian PAS, diikuti oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS mulai 2007.

Semenjak kewujudan Majlis Syura Ulamak PAS pada 1987, telah wujud usaha untuk menyelaraskan nama-nama institusi dalam PAS di mana “Majlis” ditetapkan untuk Majlis Syura Ulamak PAS sahaja, sedangkan “Dewan” sebagai nama untuk sayap-sayap PAS, manakala unit-unit pelaksana dikenali sebagai “Jawatankuasa.” Perlembagaan PAS (Pindaan) 1993 telah memperuntukkan penubuhan dan tugas-tugas Dewan Harian PAS dengan nama baru, “Jawatankuasa Harian PAS.” Jawatankuasa Harian PAS ini bukanlah sebuah jawatankuasa eksekutif, sebaliknya bertindak sebagai sebuah jawatankuasa pentadbiran yang mengendalikan urusan-urusan harian PAS, selain tugas-tugas yang diperuntukan oleh Fasal 27 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.

Fasal 25(14) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011 telah menetapkan keanggotaan Jawatankuasa Harian PAS Pusat, di mana tugas-tugasnya diperjelaskan oleh Fasal 27 perlembagaan yang sama. Kewujudan Jawatankuasa Harian PAS hari ini adalah evolusi terhadap kewujudan Jawatankuasa Tadbir PAS sejak 6 April 1953, sebelum ia dikenali sebagai Dewan Harian PAS. Kini, tugas-tugas Jawatankuasa Harian PAS Pusat telah diperkembang dan diperkukuhkan dengan fungsi untuk menimbangkan permohonan keahlian PAS dan perpindahan kawasan, menguruskan perjalanan pentadbiran Pejabat Agung PAS, mengadakan diplomasi dan hubungan luar PAS, menimbangkan perkara-perkara mustahak yang memerlukan kesegeraan dan melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Tiada ulasan: