02 Januari 2017

PAS Negeri Sabah - Langkah Awal Penubuhan Parti Islam Di Borneo

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah) adalah sebuah cawangan autonomi PAS yang diwujudkan pada tahun 1964 untuk mengembangkan pengaruh PAS ke wilayah baru Malaysia, Sabah (sebelumnya Borneo Utara). Tenaga utama yang memainkan peranan menubuhkan PAS Sabah ialah seorang tokoh perniagaan berketurunan Arab, Habib Omar al-Saqqaf. Menurut maklumat Pendaftar Pertubuhan Sabah, Penaja PAS Sabah telah ditubuhkan dalam bulan Ogos 1964 dan satu permohonan menubuhkan PAS Sabah telah dikemukakan oleh Habib Omar as-Saqqaf pada September 1964, tetapi ia tidak dapat diproses kerana beliau tidak melampirkan salinan Undang-undang Tubuh PAS Sabah. Pada 17 November 1964, penubuhan PAS Sabah telah diumumkan di Sandakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah.

Gagasan awal

Idea menubuhkan Cawangan PAS di Sabah telahpun dibangkit dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan Rungkup dan Gunung Semanggol, Perak pada 1961 supaya PAS menyediakan pelan bertindak untuk berkembang ke Boneo setelah Tunku Abdul Rahman Putra mencadangkan penubuhan Malaysia pada 27 Mei 1961. Prof Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS membayangkan penubuhan PAS di Sabah dapat mengukuhkan rancangan Melayu Raya dan perkara akan dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 di Alor Setar pada 5-6 Januari 1962. Namun cadangan ini ditangguhkan oleh Jawatankuasa Agung PAS pada 3 Disember 1961 kerana PAS perlu mengkaji teknikal Undang-undang Tubuhnya.

Oleh kerana undang-undang Borneo Utara masih terpisah dengan Tanah Melayu ketika itu, seperti mana isu di Singapura, PAS melihat bahawa ia perlu dimulakan dengan menyelaraskan Undang-undang Tubuh PAS itu sendiri, yang akhirnya dipinda dengan membolehkan PAS mewujudkan dua jenis keahlian iaitu ‘ahli biasa’ dan ‘badan bergabung’ dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 pada 31 Disember 1962 – 2 Januari 1963. Setelah pindaan ini diluluskan pada 25 Jun 1963, PAS telah boleh membuka keahlian gabungan, satu konsep ini telah dipraktiskan oleh PAS Singapura sejak 1956 di mana ia diberikan autonomi sebagai badan gabungan kerana mempunyai dasar dan tujuan yang sama dengan PAS. Usaha menubuhkan PAS kemudiannya digiatkan semula di Sabah dengan usaha yang dibuat oleh Syed Omar as-Saqqaf al-Idid atau lebih terkenal sebagai Habib Omar as-Saqqaf.

Menubuhkan PAS Sabah

Habib Omar as-Saqqaf atau nama sebenarnya, Habib Ahmad Omar bin Habib Saqqaf al-Idid ialah seorang ahli perniagaan berketurunan Arab yang terkenal di Sandakan. Beliau dilahirkan pada 21 November 1912, di mana keluarga beliau berasal dari Singapura yang banyak terdedah dengan gerakan pembaharuan Islam di pulau jajahan British itu sebelum berhijrah ke Sabah. Salah seorang ahli keluarga beliau yang terkenal di Sabah ialah Datuk Habib Abdul Rahman Habib Mahmud, Menteri Kewangan Sabah dalam Kerajaan Usno pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun. Sebagai seorang hartawan, beliau mempunyai syarikat Habib Omar as-Saqqaf Enterprise dan Syarikat Bangsawan yang menjalankan perniagaannya di Sandakan. Di atas usaha beliau, PAS dapat mengumpulkan ahli-ahli dan penyokongnya untuk menubuhkan PAS Sabah sejak 1963 hingga 1964.

Pada peringkat awal, Habib Omar as-Saqqaf telah berjaya mendapatkan sokongan Panglima Ismail Panglima Siat dari Kinabatangan dan Haji Muda dari Lahad Datu yang akan membawa pengikut masing-masing mendukung PAS. Seorang lagi tokoh awal ialah Othman Sidek, seorang pegawai Jabatan Pelajaran yang lebih terkenal dengan panggilan Othman Haji Sidek Education. Walaupun usaha menubuhkan PAS Sabah begitu mencabar, termasuk usaha Perikatan Sabah menghalangnya, selain faktor pendirian PAS menentang Malaysia dan tuntutan Presiden Macapagal ke atas Sabah, namun akhirnya pada pertengahan 1964, Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah) berjaya ditubuhkan.

Kehadiran Ustaz Abu Bakar Hamzah dalam rombongan Ahli-ahli Parlimen ke Sabah pada November 1964 itu telah dimanfaatkan oleh PAS Sabah untuk mengumumkan penubuhan badan gabungan PAS yang diberi autonomi di Sabah itu. Pada 10 November 1964, satu cawangan PAS Sabah telah ditubuhkan di Sandakan dan dilancarkan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah, yang kemudiannya mendapat sokongan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah. Serentak dengan itu, PAS Sabah Cawangan Kinabatangan dan Lahad Datu juga sedang dalam proses penubuhan dengan PAS Sabah memberi fokus kepada Pantai Timur Sabah. Menurut Habib Omar as-Saqqaf, PAS Sabah merancang untuk menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah 1967 dan telahpun menyerahkan permohonan mendaftarkan PAS Sabah kepada Pendaftar Pertubuhan. Antara tujuan penubuhan PAS Sabah ialah:

I. Untuk memperjuangkan wujudnya di Malaysia sebuah kerajaan Islam yang melaksanakan undang-undang Allah, meluaskan penyebaran Islam dan membentuk masyarakat yang mengamalkan Islam;

II. Untuk mempertahankan hak anak-anak Bumiputera Sabah;

III. Untuk mencari jalan secara Perlembagaan bagi meningkatkan kebajikan masyarakat untuk kehidupan yang lebih baik dalam semua urusan hidup;

IV. Untuk memperjuangkan ekonomi yang progresif dengan memberikan keadilan ekonomi kepada rakyat berdasarkan hukum Islam;

V. Untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara secara dalaman dan luaran;

VI. Untuk menerapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan

VII. Untuk mewujudkan masyarakat yang adil.

PAS Sabah kemudiannya merancang untuk melancarkan penubuhan PAS Sabah oleh pimpinan tertinggi PAS dalam bulan Mac 1965. Pada Januari 1965, Habib Omar as-Saqqaf telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk mendalami struktur organisasi dan pergerakan PAS. Pada akhir Januari 1965 juga, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Asri Haji Muda. Hasilnya, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS itu mengumumkan bahawa PAS akan berkembang di Sabah dan Sarawak dengan status autonomi mulai 1965. Berselang hari dengan pertemuan ini, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah ditahan ISA kerana isu Konfrantasi Indonesia yang memberi kesan langsung terhadap organisasi PAS Sabah, kerana PAS dituduh mengkhianati Malaysia.

Kelumpuhan PAS Sabah

Bertolak dari isu Malaysia juga, telah berlaku konflik politik dalam Usno antara Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datu Mustapha dengan Ketua Menteri, Donald Stephen, sehingga membawa kepada kemenangan Tun Datu Mustapha dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1967. Dengan kedudukan sebagai Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha telah menubuhkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang menggabungkan Persatuan Islam Tawau (PIT), Persatuan Islam Putatan (PIP) dan Persatuan Islam Sabah (PIS) pada 10 Oktober 1969. Selain menggerakkan usaha dakwah melalui USIA, Tun Datu Mustapha juga telah memperkasakan Islam dalam kerajaan. Kedudukan ini telah menghilangkan fungsi sekali gus melumpuhkan PAS Sabah, terutama apabila PAS turut menyertai Kerajaan Campuran pasca 13 Mei 1969 dan Habib Omar as-Saqqaf sendiri menyertai Usno. Sejak itu, PAS Sabah telah lumpuh dan PAS Pusat sendiri menyokong usaha-usaha mengembangkan Islam oleh Usno dan USIA.

Tiada ulasan: