07 Januari 2017

Ketaatan - Komponen Utama Tatatertib Ahli PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Tatatertib atau disiplin merupakan isu terpenting dalam sesebuah organisasi kerana ia menjadi nadi keberkesanan kepemimpinannya. Demikian juga halnya dalam sebuah jemaah atau gerakan Islam termasuk PAS. Persoalan disiplin dan tatatertib organisasi telah menjadi keutamaan sejak dari hari penggubalan Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) PAS pada 24 November 1951. Salah satu komponen utama tatatertib PAS ialah “taat”.

Taat yang termasuk dalam salah satu rukun bai’ah yang digariskan oleh as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna adalah bersandarkan kepada satu hadis yang bermaksud, “Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah dan dengar serta taat sekali pun pemimpin yang dilantik dalam kalangan kamu hanyalah seorang hamba ‘abdi' (Matan al-Arba’in). Hadis ini mengarahkan umat Islam mentaati kepemimpinan selagi mana mereka taat kepada Allah dan rasul-Nya.

Taat memberi pengertian bahawa seseorang itu mematuhi segala pendirian, keputusan dan arahan jemaah dan kepemimpinannya serta melaksanakannya dalam apa jua keadaan sama ada dia suka atau tidak, susah atau senang. Ini memenuhi pengertian Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan “kami dengar dan kami taat.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung (an-Nur: 51).

Dalam hal ketaatan ini, ia terbahagi kepada dua iaitu taat yang wajib dan taat yang haram. Setiap ahli PAS wajib mentaati pendirian, keputusan dan arahan parti dan kepemimpinannya apabila ia selaras dan tidak bercanggah dengan Allah dan rasul-Nya (al-Quran dan Sunnah), sedangkan haram bagi mereka mentaati apa sahaja pendirian, keputusan dan arahan yang menyanggahi atau bertentangan dengan kedua-dua sumber hukum PAS itu. Bahkan, dalam apa sahaja pendirian, keputusan dan arahan PAS yang bercanggah dengan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias adalah terbatal dengan sendirinya. Kewujudan Majlis Syura Ulamak PAS sejak 1987 adalah bertujuan untuk mengawal seluruh dasar PAS supaya mematuhi dan tidak bertentangan dengan sumber hukum tersebut.

Kedudukan taat yang bersandarkan ketataan kepada Allah dan rasul-Nya adalah berdasar hadis yang bermaksud “Dengar dan taat adalah wajib bagi setiap muslim dalam perkara yang dia suka atau tidak, selagi dia tidak disuruh dengan kemaksiatan, maka tidak perlu lagi dia dengar dan taat” (Bukhari dan Muslim). Dalam surah an-Nisa’ ayat 59, Allah berfirman yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan para pemimpin (yang beriman) di kalangan kamu. Maka sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan rasul-Nya.”

Dalam konteks perjuangan PAS, elemen ketaatan ini telah diterapkan melalui proses pentarbiyahan yang panjang di setiap marhalah tarbiyah mereka, kemudian dipraktiskan dalam gerak kerja mereka. Menurut Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011, Fasal 82 tentang ketaatan dalam Tatatertib PAS menetapkan semua ahli-ahli PAS hendaklah:

(a) Taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS itu;
(b) Taat dan patuh kepada Perlembagaan Parti serta Aturan dan Peraturannya;
(c) Taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah Parti; dan
(d) Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh Parti sedaya upaya yang boleh.

Tiada ulasan: