03 Januari 2017

PAS Cawangan Pasir Puteh - Titik Kebangkitan Penerimaan PAS Di Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kejayaan PAS menubuhkan cawangannya di Pasir Puteh, Kelantan pada 1 Oktober 1954 telah menjadi titik kebangkitan bagi PAS Kelantan kerana ia adalah cawangan PAS yang pertama ditubuh setelah Dr Haji Abbas Alias dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS, dan beliau merancang membentuk PAS Negeri / Daerah yang diketuai seorang Pesuruhjaya PAS. Penubuhan PAS Cawangan (kini Kawasan) Pasir Puteh telah mengembangkan lagi pengaruh PAS di Kelantan sejak ia mula diperkenal pada akhir 1952 dan tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas dan Machang pada 1953 sehingga PAS dapat berdiri sama tinggi dengan parti-parti yang ditubuhkan lebih awal di Kelantan seperti Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) dan Persatuan Melayu Kelantan (PMK), selain Umno yang wujud semenjak 1946. Salah satu kekuatan PAS di Kelantan, termasuk di Pasir Puteh ialah kerana ia dipelopori oleh golongan agama. Ustaz Haji Adam Kamil Mohd Salleh sendiri adalah guru agama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Sejarah pergerakan politik Islam di Pasir Puteh telah terkenal sejak awal 1900 apabila berlaku kebangkitan Tok Janggut pada 1915 dalam menghadapi British ketika tercetusnya Perang Dunia Pertama, di mana umat Islam di Kelantan menyokong Khilafah Othamiyah. Perisytiharan fatwa Jihad-i-Ekbar Fardu Ain oleh Sheikhul Islam Otmaniyyah, Sheikh Khairy Effendi pada 1914, menurut Prof Dato’ Dr Nik Anuar Mahmud, telah mempengaruhi umat Islam di Kelantan sehingga berlaku kebangkitan Tok Janggut pada 1915, selain kebangkitan yang berlaku di Singapura dipimpin oleh Haji Nur alam Shah, Imam Masjid Kampung Jawa. Bertindak terhadap jihad yang dilancarkan oleh Tok Janggut, British telah menangkap, membunuh dan membakar rumah pejuang-pejuang sehingga suara-suara politik Islam hampir reda di Kelantan selepas 1915.

Selepas Kejatuhan Othmaniyah pada 1924, kebangkitan politik Islam di Pasir Puteh dipelopori pula oleh Maulana Abdullah Noh, pengasas Madrasah al-Balaghul Mubin, Dalam Kemunting. Madrasah ini menjadi pusat kegiatan politik termasuk Kesatuan Melayu Muda (KMM), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan juga Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA), sebelum kemunculan Hizbul Muslimin pada 1948 dan juga Angkatan Suara Pemuda (ASP). Antara tokoh politik Islam yang terkenal di Pasir Puteh termasuklah Ustaz Abdul Rab Sulaiman at-Tamimi, Guru Besar Madrasah al-Balaghul Mubin yang menjadi pemimpin Hizbul Muslimin. Maulana Abdullah Noh yang menjadi tahanan British selepas Perang Dunia Kedua, kemudiannya turut hadir dalam Persidangan Agama Malaya di Gunung Semanggol pada 1947 yang menubuhkan MATA, terlibat merancang pengasasan Hizbul Muslimin dan menulis sebuah buku bertajuk “Semangat Perajurit-perajurit Muslimin” yang kemudiannya diharamkan oleh penjajah. Ordinan Darurat 1948, telah menghentikan pergerakan politik di Madrasah al-Balaghul Mubin.

Sejarah PAS Pasir Puteh pula telah menjadi permulaan bagi sejarah penubuhan PAS di Kelantan apabila Naib Yang Dipertua Agung PAS bagi Zon Utara (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu), Tuan Guru Haji Hussin Che Dol melawat Kelantan dan mengadakan majlis penerangan tentang PAS yang pertama di Kelantan di rumah Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh pada 9 September 1952, sebelum sesi penerangan dibuat di Pasir Mas dan Kota Bharu. Dengan usaha beberapa tokoh seperti Ustaz Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim, PAS telah dapat membuka cawangan yang pertama di Pasir Mas pada 23 Julai 1953 dengan diketuai oleh Omar Yusof, diikuti oleh penubuhan PAS Cawangan Machang pada 21 September 1953 dipimpin oleh Haji Noor Yusof. Kebangkitan PAS di Kelantan bermula apabila Pejabat Agung PAS telah mengirimkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Othman Abdullah bersama Setiausaha Kewangan PAS, Mohd Asri Haji Muda untuk mengadakan rapat umum besar-besaran bagi mengembangkan PAS di Kelantan pada bulan Jun 1954. Rapat umum ini bermula di Pasir Mas, sebelum ia diadakan secara berturut-turut di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Machang.

Selain Ustaz Othman Abdullah dan Mohd Asri Haji Muda, tokoh yang paling aktif bergerak dalam menyusun program-program penerangan PAS di Kelantan pada 1954 ini ialah Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh sendiri, selain Mohd Daud Salleh, Ustaz Abdul Rahman Awang Sulong (Ustaz Man Beta), Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar, Tuan Guru Haji Mokhtar (Qadhi Bachok), Ustaz Amaluddin Darus dan lain-lain. Mohd Asri Haji Muda yang dilantik oleh Pejabat Agung PAS sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) telah memulakan inisiatif untuk mengembangkan PAS di Pasir Puteh dan Kota Bharu dalam 1954, sesudah wujudnya Cawangan PAS di Pasir Mas dan Machang. Menurut Laporan Cawangan Pasir Puteh 1954 (Fail Bil. 3 dalam PAS P.P 14/54), pada 1 Oktober 1954, Mohd Asri Haji Muda (Pesuruhjaya PAS Pantai Timur) bersama Mohd Daud Salleh (Ayah Ud) iaitu ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Oma Yusof (Yang Dipertua PAS Pasir Mas) telah mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli PAS dalam jajahan Pasir Puteh di rumah Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh di Kampung Dalam Kemunting.

Hasil daripada perjumpaan ini, PAS Cawangan Pasir Puteh telah berjaya ditubuhkan pada 1 Oktober 1954 dengan Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan yang pertama. Antara tokoh-tokoh awal PAS Pasir Puteh adalah di kalangan guru-guru Madrasah al-Balaghul Mubin seperti Ustaz Abdul Rahman Salleh dari Semerak dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim dari Dalam Kemunting. Tokoh lain termasuklah Ustaz Abdul Kadir Mat Saad dari Selising, Pak Su Daud dan Wan Ibrahim dari Cherang Ruku. Kebanyakka pengikut Maulana Abdullah Noh telah mendukung perjuangan PAS di Pasir Puteh, terutama apabila keluarga Ustaz Adam Kamil memimpin perjuangan PAS. Sehingga Julai 1957, PAS Cawangan Pasir Puteh telah Berjaya menubuhkan tiga Ranting PAS iaitu Ranting Sungai Kelong, Telipot dan Cherang Ruku dengan keahlian berdaftar seramai 97 orang, sedangkan ahli sebenar mencecah 200 orang. Atas kekuatan ini, PAS Cawangan Pasir Puteh meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum 1955 bagi kerusi Majlis Undangan Persekutuan kawasan Kelantan Timur. Calon PAS, Mohd Asri Haji Muda walaupun tewas, telah berjaya mengutip 2,922 undi.

Selepas merdeka, PAS Pasir Puteh yang mula berpengaruh sehingga dapat memenangi kerusi Parlimen Pasir Puteh serta kerusi DUN Pasir Puteh Utara (sekarang Selising), Pasir Puteh Tenggara (sekarang Semerak) dan Pasir Puteh Tengah (sekarang Limbungan). Dari segi kepemimpinan, selepas Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh menjadi Yang Dipertua PAS Cawangan antara 1954 hingga 1957, beliau digantikan oleh iparnya, Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (1957-1983), Cikgu Musa Salleh (1983-1992), Ustaz Othman Abdul Wahab (1992-1995), Ustaz Alwi Jusoh (1995-2005), Ustaz Muhamad Husain (2005-2007) dan Dato’ Dr Nik Mazian Nik Mohamad (2007-sekarang). Lebih menarik lagi apabila bekas-bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh mempunyai rekod menubuhkan parti serpihan PAS seperti Usaz Wan Sulaiman mengasaskan HAMIM pada 1983, Cikgu Musa Salleh menubuhkan AKIM pada 1993 dan Ustaz Muhamad Husain pula menubuhkan PASMA sebelum mengasaskan PAN pada 2015.

Tiada ulasan: