31 Januari 2017

Buku “Pegangan Hidup Umat Islam” - Karya Falsafah Prof. Zulkifli Mohamad

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Profesor Zulkifli Mohamad adalah seorang tokoh pemikir Islam yang terkenal pada dekad 1950-an dan 1960-an. Selain menjadi ahli politik yang mempunyai ucapan-ucapan yang menusuk jiwa dan sumbangan besar beliau dalam bidang akademik di Kolej Islam Malaya (KIM), beliau juga telah menghasilkan beberapa karya yang penting dalam bidang falsafah dan pemikiran Islam. Kebanyakkan tulisan beliau sama ada dalam bentuk buku, artikel atau kertas kerja adalah menyentuh perkara dasar yang menjadi punca kerosakan masyarakat, berbanding dengan isu-isu kecil yang berlegar dalam masyarakat. Salah satu karya falsafah beliau yang terkenal ialah “Pegangan Hidup Umat Islam” yang dihasilkan pada tahun 1952, sebelum karya pertamanya, “Masyarakat dan Syariat” diterbitkan pada 1953.

Perubahan masyarakat yang berlaku selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 1924 telah membarahkan lagi kesan penjahahan oleh kuasa-kuasa Barat sejak 1511. Pemikiran dan budaya hidup umat Islam di Tanah Melayu telah dipengaruhi ideologi-ideologi moden yang memisahkan agama dari kehidupan. Rata-rata orang Melayu telah terjerat dalam arus sekularisme, semangat kebangsaan sempit dan konflik antara kapitalis-sosialis. Umat Islam juga telah melihat agama dalam konteks yang sempit dan tertumpu kepada ibadat semata-mata, sehingga isu-isu kemasyarakatan, politik dan ekonomi tidak lagi diberikan pertimbangan mengikut sudut pandang agama. Asas-asas inilah yang mendasari tulisan-tulisan Prof Zulkifli Mohamad dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya kembali kepada Islam.

Buku “Pegangan Hidup Umat Islam” yang diterbitkan pertama kali pada 1952 ini mengandungi sembilan bab, bermula dengan penjelasan tentang tujuan kejadian manusia pada bab “Tugas Hidup dan Bentuknya.” Dalam bab kedua, beliau membahaskan tanggungjawab terbesar manusia untuk melaksanakan syariat yang diturunkan oleh Allah, diikuti oleh perbahasan tentang semangat Islam yang ada dalam jiwa manusia yang diterjemahkan melalui amalannya, iaitu mentaati Allah. Khusus pada bab keempat, Prof Zulkifli Mohamad membahaskan kepentingan kuasa politik sebagai alat tertinggi untuk melaksanakan perintah Allah, diikuti oleh perbahasan yang menjawab tentang “kezaliman syariat Islam.” Pada bab yang bertajuk “Persaudaraan dan Keadilan Islam,” anggapan-anggapan negatif terhadap Islam telah ditolak. Bab-bab yang menjelaskan perihal “ketegasan pendirian,” “kekuatan iman dan amal,” “jalan kelepasan” dan “tujuan kita,” pembaca dibawa memahami mengapa manusia perlu mentaati perintah syariat dan memahami hala tuju hidupnya.

Prof Zulkifli Mohamad yang dilahirkan di Kota Lama Kiri, Perak pada 22 Mac 1927 telah mendapat pendidikan agama di Perak, sebelum ke Mesir selepas Perang Dunia Kedua. Selain belajar di Universiti al-Azhar dan American University of Cairo, beliau turut menerima sentuhan tarbiyah secara langsung dengan Ustaz Hassan al-Banna antara 1948-1949. Setelah pulang ke Tanah Melayu pada 1950 kerana mengidap sejenis penyakit, beliau terlibat dengan pergerakan sastera di Perak dan menjadi Naib Yang Dipertua GPMS pada 1952, sebelum dilantik menjadi Setiausaha KIM pada 1955 dan mula terlibat dengan gerakan politik Islam melalui PAS. Pada akhir 1956, beliau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, berganding dengan Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau menjadi Ahli Parlimen Bachok pada 1959 hingga beliau terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kuantan pada 6 Mei 1964. Isteri beliau, Ustazah Asiah Kamaruddin adalah Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Sepanjang aktif berkarya, selain puisi-puisi yang membawa semangat perjuangan kemerdekaan, beliau telah menghasilkan buku “Masyarakat dan Syariat” pada 1953, “Analisa Beberapa Masalah Hidup Manusia” pada 1963 dan “Islam dan Sosialism” pada 1964. Selain itu, beliau turut menulis “Falsafah Akhlak Dalam Islam,” “Umat Islam Sekarang Makin Mundur,” “Peranan Filem Dalam Masyarakat,” “Economic Justice,” “Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam” dan lain-lain. Kebanyakkan tulisan beliau tersiar dalam majalah-majalah yang progresif dalam mengubah pemikiran orang Melayu seperti Medan Masyarakat, Qalam, Mastika, Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan.

Buku “Pegangan Hidup Umat Islam” diterbitkan pertama kali pada 1952, dan diulang cetak pada 1956 dalam tulisan Jawi yang diterbitkan oleh Pustaka Semenanjung, Bukit Mertajam. Pada 1963, ia diterbitkan sekali lagi oleh Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur juga dalam tulisan Jawi. Edisi Rumi diterbitkan pada 2008 oleh Pustaka Muda, Ipoh. Buku ini telah dihasilkan ketika beliau terlantar sakit di Ipoh selepas pulang dari Mesir antara 1951-1952, selain turut mengarang buku “Masyarakat dan Syariat”.

Tiada ulasan: