01 Februari 2017

Tuan Guru Haji Ahmad Fuad - Ulamak Pertama Membarisi Majlis Undangan Persekutuan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Majlis Undangan Persekutuan atau Federal Legislative Council adalah badan perundangan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Persekutuan ini menjadi kerajaan yang lebih besar kerana melibatkan semua negeri Melayu, sedangkan sebelumnya hanya melibatkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu sahaja. Pada peringkat ini, antara 1948 hingga 1955, ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan adalah terdiri dari Ahli-ahli Rasmi yang menduduki majlis kerana jawatan rasminya dan Ahli-ahli Tidak Rasmi yang dilantik oleh kerajaan dari pelbagai kelompok masyarakat. Walau bagaimanapun, sejak ditubuhkan, belum ada wakil ulamak dilantik menduduki Majlis Undangan Persekutuan yang mempunyai 75 anggota itu, sehinggalah terlantiknya Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno ke jawatan tersebut pada 1951.

Perlantikan yang dicadangkan oleh Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga Yang Dipertua Agung Umno, Dato’ Onn Jaafar ini adalah mewakili kuota Umno. Sesuai dengan kedudukan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah dicalonkan untuk mengisi kekosongan Ahli Tidak Rasmi dalam Majlis Undangan Persekutuan. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad yang terkenal sebagai ‘orang kuat’ Dato’ Onn Jaafar telah dipersetujui oleh Kerajaan British untuk dilantik ke jawatan tersebut dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan pada 25 April 1951, iaitu dalam Penggal Keempat Persidangan Majlis Undangan Persekutuan yang bersidang antara Februari 1951 hingga Februari 1952.

Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang juga Mudir Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam telah dilahirkan pada 1910 di Ulu Piol, Manong, Perak. Selepas mendapat pendidikan Inggeris di Anglo Chinese School, Setiawan, beliau memasuki Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudiannya lulus Qismu al-Ali di Maahad al-Ehya as-Syariff, Gunung Semanggol. Beliau selepas itu bermukim di Mekah selama dua tahun kerana mendalami ilmu agama dengan Sheikh Hassan Said Yamani. Pada 1939, beliau kembali ke Tanah Melayu dan menjadi guru di Madrasah Idrisiah, sebelum mengikuti gurunya yang berkhidmat sebagai Mufti Terengganu pada 1940. Selain menjadi pembantu mufti dan guru di beberapa sekolah agama di Terengganu, pada 1943, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Agama Terengganu. Beliau mula terlibat dengan politik dengan menjadi Setiausaha PASPAM Gunung Semanggol pada 1935, dan terlibat dengan dua persidangan ulamak pada zaman Jepun iaitu di Singapura (1943) dan Kuala Kangsar (1944).

Selepas Perang Dunia Kedua, ketika berada di Terengganu, beliau telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (PERKASA) pada 1945 dengan beliau sendiri menjadi setiausahanya. Kegagalan Umno berkembang di Terengganu hingga akhir 1949 telah mendorong Dato’ Onn Jaafar menjemput beliau menyertai Umno pada 1950 dan dilantik sebagai perwakilan Umno Kuala Terengganu ke Mesyuarat Agung Umno. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung Umno pada 1951 merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno. Dato’ Onn Jaafar kemudiannya mencadangkan nama beliau bersama Haji Rejab Darus dari Kedah sebagai dua daripada 46 orang Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan. Lantikan ini telah menerima kritikan keras dari majalah Qalam kerana menganggap ulamak akan terperangkap bila berada dalam badan legislatif itu. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan berada dalam majlis ini hinggalah diadakan Pilihan Raya Umum 1955.

Empat bulan selepas menjadi Ahli Majlis Undangan Persekutuan, pada 23 Ogos 1951, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Ulamak Se-Malaya sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua PAS pada 24 November 1951. Sepanjang tempoh beliau memimpin PAS sehingga 26 September 1953, beliau adalah Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan, dan merupakan ulamak yang pertama menduduki majlis tersebut sejak ia diwujudkan pada 1 Februari 1948. Sebagai Yang Dipertua PAS yang menduduki Majlis Undangan Persekutuan, beliau terkenal kerana tidak pernah ‘memonteng’ persidangan yang berlangsung kecuali pada 21-22 November 1951 kerana bertembung dengan Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951 dan beliau tidak sihat ketika itu. Beliau turut terlibat dalam perbahasan penting termasuk usul perlantikan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu pada 30 Januari 1952, Rang Undang-undang Kampung Baru pada 8 Mei 1952 dan Laporan Pelajaran Jawatankuasa Barnes pada 30 November 1952. Beliau juga menentang The Lotteries Bill 1952 dan The Common Gaming House Bill 1952 dengan meninggalkan majlis masing-masing pada 22 November 1952 dan 7 Mei 1953.

Tiada ulasan: