27 Februari 2017

Perjuangan Dr. Burhanuddin Al-Helmy Dalam Isu Palestin

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Palestin adalah isu terbesar umat Islam abad ke-20 yang merupakan natijah terdekat daripada kejatuhan kekhalifahan Islam yang bermula dengan pemecatan Sultan Abdul Hamid II sebagai Khalifah Othmaniyah pada 27 April 1909. Bahkan punca utama pemecatan Sultan Abdul Hamid II adalah kesan dari usaha keras beliau mempertahankan Palestin sehingga dicatatkan oleh Fauzi Thughai dalam akhbar Buyuk Dhughu bertarikh 2 Mei 1947 sebagai “Sultan Abdul Hamid mencegah keinginan Yahudi untuk merealisasikan tujuan orang-orang Yahudi mendirikan negara Yahudi di Palestin. Tindakan ini harus menelan kos yang sangat mahal dengan akibat disingkirkannya dari singgahsana kekuasaan. Bahkan inilah yang kemudiannya mengakibatkan kehancuran Khilafah Othmaniyah keseluruhannya”.

Di sebalik perjuangan Sultan Abdul Hamid II mempertahankan Palestin, beberapa tokoh ulamak Melayu terlibat secara langsung dalam perjuangan ini semenjak Pan-Islamism (Wehdatul Islam) dilancarkan oleh Khilafah Othmaniyah selepas Persidang Berlin 1887. Antara mereka ialah Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, Raja Khalid Hitam Riau, Tuan Guru Haji Hassan Munas (Tok Janggut) dan Dr Burhanuddin al-Helmy. Sheikh Wan Ahmad al-Fathani selaku Pengarah Percetakan Othmaniyah diketahui mempengaruhi murid-muridnya yang ramai termasuk Raja Uthman al-Haitami atau lebih dikenali sebagai Raja Khalid Hitam dan Tok Janggut untuk mempertahankan Palestin daripada dikuasai Yahudi. Raja Khalid Hitam terlibat secara langsung merundingkan dengan Jepun untuk menghalau British sebelum 1913, sedangkan Tok Janggut terkenal dengan kebangkitannya di Kelantan pada 1915, saat Perang Dunia Pertama sedang meletus.

Perkembangan penjajahan Palestin sejak kejatuhan Sultan Abdul Hamid II pada 1909, telah diikuti oleh Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perjanjian Sykes-Picot (1916), Deklarasi Balfour (1917) dan Perjanjian Lausanne (1923), di mana tanah suci itu akhirnya jatuh secara berperingkat ke tangan Yahudi. Secara khusus Deklarasi Balfour pada 2 November 1917 telah merealisasikan rancangan Zionis Yahudi pimpinan Theodor Herzl sejak 1896 untuk menubuhkan “Der Judenstaat (The State of The Jews)”. Pengganti Herzl, Chaim Weizmann telah berunding dengan Perdana Menteri British, Arthur Balfour pada 1904 untuk menubuhkan negara Yahudi. Proses yang berlaku antara 1896 hingga 1908 inilah yang membuatkan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani menggerakkan kadernya menentang penubuhan negara Yahudi oleh British.

Pada generasi lain, pada 1911 lahir Dr Burhanuddin al-Helmy yang melanjutkan perjuangan orang Melayu dalam mempertahankan Palestin. Selepas mendapat pendidikan di Madrasah al-Mashoor al-Islamiyah, Pulau Pinang pada 1928, beliau bertolak ke India untuk belajar di Aligarh Muslim University. Setelah itu, beliau belajar homeopathy di Singapura sebelum kembali ke India pada 1933 dan terpengaruh dengam gerakan Mohamad Ali Jinnah dalam All Indian Muslim League (AIML) dan Mahatma Ghandi di India sehingga beliau mulai lantang terhadap British. Pada 1922, Nation League (sekarang PBB) telah mengiktiraf kedudukan Yahudi di Palestin yang menyebabkan kemasukkan besar-besar orang Yahudi. Isu penjajahan Palestin oleh British untuk membentuk negara Yahudi telah mendapat perhatian Dr Burhanuddin al-Helmy.

Kesan kemasukkan Yahudi ini, telah wujud gerakan Palestin untuk mempertahankan hak mereka, sedangkan Khilafah Othmaniyah telah runtuh pada 1924. Gerakan ini dipimpin oleh Sheikh Mohamad Amin al-Hussayni (Mufti Besar Baitul Maqdis) dan Sheikh Izzuddin al-Qasam (Imam Masjid Istiqlal). Pada 16 Mei 1930, Sheikh Mohamad Amin telah mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Palestin, sedang al-Qassam mula bergerak menentang Yahudi secara gerila yang membuatkan beliau terbunuh pada 1935. Al-Hussayni kemudiannya melancarkan pemberontakan Arab pada 19 April 1936 bermula di Nablus. Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya menyertai pemberontakan ini di Palestin yang berakhir dalam bulan Oktober 1936, di mana beliau telah ditahan oleh British selama empat bulan di sana.

Selepas pulang ke Tanah Melayu dan tinggal di Singapura pada 1937, beliau menjadi guru di Madrasah al-Junied, di samping menjadi Setiausaha Jamiyatul Dakwah Islamiyah Singapura yang dipimpin oleh Sheikh Abbas Taha. Pada tahun 1937 ini, beliau telah menghasil sebuah majalah, “Taman Bahagia” yang mendedahkan rancangan jahat British ke atas Palestin. Ini menyebabkan majalah tersebut diharamkan dan beliau ditangkap sekali lagi oleh British di Singapura dan dipenjarakan. Ketika Perang Dunia Kedua, Dr Burhanuddin al-Helmy menjadi Penasihat Adat Istiadat Melayu di Markaz Tentera Jepun di Singapura dan Taiping. Kedatangan Jepun mempunyai kaitan dengan peranan Raja Khalid Hitam sebelumnya.

Selepas Perang Dunia Kedua, Dr Burhanuddin al-Helmy yang memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah mempengaruhi Ustaz Abu Bakar al-Baqir untuk menubuhkan Hizbul Muslimin pada 24 Mac 1948. Antara isu penting yang dibincangkan dalam Persidangan MATA di Gunung Semanggol ini ialah tentang kedudukan Palestin sebelum penubuhan negara haram Israel diisytiharkan pada 14 Mei 1948. Sejak 15 Mei 1948 itu juga, perjuangan rakyat Palestin dikenali sebagai “Nakbah” yang kini sudah berusia 69 tahun. Sikap non-co (tidak bekerjasama) dengan British telah menjadi prinsip bagi Dr Burhanuddin al-Helmy juga difaktorkan oleh isu Palestin. Ketika menentang penubuhan Malaysia pada 1963-1965, Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai Yang Dipertua Agung PAS telah menggagaskan penubuhan negara Melayu Raya bagi melumpuhkan peranan Singapura sebagai “Israel” di Alam Melayu.

Tiada ulasan: