09 Februari 2017

Kongres Pemuda Islam Se-Malaya Tubuhkan Dewan Pemuda PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Hasrat PAS untuk mewujudkan sayap pemudanya telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kali Pertama pada 3 April 1952 hasil dari cadangan yang diangkat oleh Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah pada 23 Mac 1952, di mana sebuah jawatankuasa kecil yang dikenali sebagai Dewan Pemuda Islam ditubuhkan. Dewan Pemuda Islam yang dipimpin oleh Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah ini telah bergerak untuk menyatukan pemuda-pemuda ahli PAS, sehinggalah Mesyuarat Agung Tahun PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 memutuskan supaya sebuah Dewan Pemuda PAS ditubuhkan melalui sebuah kongres pemuda untuk dijadikan sayap PAS. PAS turut menetapkan di bawah ‘Program Politik PAS’ supaya Dewan Pemuda PAS dijadikan tenaga utama untuk memacu perjuangan kemerdekaan tanah air.

Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini, pada 17 Mac 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah membincangkan rancangan untuk menganjurkan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya dan menggubalkan ‘Peraturan Dewan Pemuda PAS’ sebagai undang-undang sayap pemuda PAS ini. Mereka juga memutuskan supaya satu perjumpaan pemuda-pemuda Islam diadakan di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena pada 2 Julai 1953 untuk membincangkan persiapan penganjuran kongres tersebut. Perjumpaan pemuda ini telah mengambil ketetapan supaya Kongres Pemuda Islam diadakan pada 29 Ogos 1953. Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pula memutuskan supaya kongres ini diadakan sehari lebih awal daripada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua yang dirancang diadakan pada 26-27 Ogos 1953. Hasil dari keputusan ini, Kongres Pemuda Islam Se-Malaya telah ditetapkan untuk diadakan pada 25 Ogos 1953 di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah, Bagan Datuk, Perak.

Ekoran itu, pada 13 Julai 1953, Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang telah mengeluarkan notis kepada semua cawangan PAS dengan arahan untuk menghantar “pemuda-pemuda yang berjiwa Islam” ke Kongres Pemuda Islam Se-Malaya. Pada 26 Julai 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang membincangkan persiapan penganjuran kongres ini telah turut meluluskan draf Peraturan Dewan Pemuda PAS untuk dibawa ke kongres tersebut. Sebuah panitia sambutan kongres diwujudkan dengan diketuai oleh Mudir Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah, Ustaz Mohd Hassan Adli Mohd Arshad dengan pemuda-pemuda PAS Cawangan Hilir Perak dan Dewan Penuntut al-Ulum sebagai jenteranya.

Kongres Pemuda Islam Se-Malaya ini berlangsung seperti mana yang diaturkan dengan kehadiran sekitar 300 orang perwakilan dan pemerhati, bermula dengan acara sukaneka untuk mengeratkan silaturrahim para pemuda yang hadir. Dalam majlis pembukaannya, setelah bacaan ayat-ayat al-Quran, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah menyampaikan ucapan pembukaan, sebelum majlis melantik pengerusi kongres serta membincangkan dua agenda utama iaitu meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS dan melantikan pegawai-pegawai Dewan Pemuda PAS bagi sesi 1953-1954. Kongres Pemuda Islam ini kemudiannya membahas dan meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS, yang sekali gus menandakan kesepakatan para pemuda Islam untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS.

Peraturan Dewan Pemuda PAS ini telah menetapkan empat tujuan penubuhan sayap pemuda PAS iaitu pertama, mengelola dan menjalankan di Tanah Melayu ini sebuah badan pemuda Islam bagi melaksanakan segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi; kedua, menggalakkan perhubungan serta mengeratkan persaudaraan dalam Islam dan menghapuskan perbalahan dan perasaan berpuak dan menjauhkan perkara-perkara yang memecahkan perpaduan umat Islam dan menjatuhkan mutu kemuliaan Islam; ketiga, menanam dan menghidupkan jiwa ke-Islaman serta mengamalkan ajaran-ajaran Islam dalam erti kata yang sebenar dalam penghidupan sehari-hari; dan keempat, amnya, menghasilkan, melaksanakan dan menjalankankan segala tuntutan dan kehendak PAS.

Setelah selesai perbincangan untuk meluluskan peraturan tersebut, kongres ini telah membuat perlantikan pegawai-pegawainya. Kongres ini kemudiannya bersetuju melantik Ustaz Othman Abdullah, seorang guru agama lulusan Universitas Muhammadiyah Padang sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS. Adapun pegawai-pegawai yang lain, telah diserahkan mandat kepada Ketua Dewan Pemuda PAS itu untuk membuat perlantikan. Setelah berakhir Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 27 Ogos 1953, Ustaz Othman Abdullah mengumumkan pegawai-pegawai Dewan Pemuda PAS yang terdiri dari Ustaz Othman Abdullah (Ketua), Cikgu Ahmad Awang (Wakil Ketua), Ustaz Abdul Kadir Kamal (Setiausaha), Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Haji Jaafar Ali, Haji Ahmad Ali, Ustaz Mohamad Noh, Encik Ismail, Ustaz Ishak Baharom dan Encik Tarmizi sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja. Dengan kejayaan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya ini, maka tertubuhlah Dewan Pemuda PAS secara rasmi sebagai sayap PAS yang pertama pada 25 Ogos 1953.

Tiada ulasan: