08 Februari 2017

Dr. Haji Pandak Ahmad - Profesional Pendokong Ulamak

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Peranan para ulamak dalam menubuh dan menggerakkan PAS telah diperkukuhkan oleh penyertaan golongan profesional dalam perjuangan Islam. Sebaris nama golongan profesional dari kalangan pegawai tadbir kerajaan, jurutera, peguam, pensyarah, doktor perubatan dan lain-lain telah mewarnai perjuangan PAS sejak awal sehingga tidak boleh dikatakan PAS sebagai “parti tok lebai” semata-mata. Di antara kelompok profesional yang menonjol ini adalah dari kalangan doktor perubatan seperti Dr Haji Abbas Alias (bekas Yang Dipertua Agung PAS), Dr Amamullah al-Khuldi (Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Perak), Prof Dr Ungku Omar Ungku Ahmad (ahli PAS dari Johor), Dr Haji Pandak Ahmad Alang Sidin (bekas Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat) dan lain-lain.

Antara doktor perubatan yang terawal menyertai PAS dan begitu komited terhadap perjuangan Islam ialah Dr Haji Pandak Ahmad Alang Sidin. Beliau yang berasal dari Kampung Kledang, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar adalah cucu kepada Orangbesar Enam Belas Perak. Beliau dilahirkan pada 22 April 1892 dalam keluarga bangsawan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Lama Kanan (1901-1903) dan Sekolah Melayu Kuala Kangsar (1904), sebelum memasuki Malay Residential School (kini MCKK), Kuala Kangsar pada 1905 selama tujuh tahun. Pada 1912, beliau memasuki The Straits and Federated Malay States Government Medical School Drive (kemudian King Edward VII Medical College) di Singapura dan lulus ijazah perubatan, Licentiate of Medical Surgery (LMS) pada 1916 sebagai antara anak Melayu terawal lulus sebagai doktor perubatan.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan selama 16 tahun sebelum bersara pada 1932. Beliau mula berkhidmat di Hospital Daerah Taiping (1916-1917), Hospital Daerah Kuala Kangsar (1918-1919), Hospital Besar Taiping (1919), Hospital Besar Batu Gajah (1919-1921), Hospital Besar Seremban (1921-1922), Hospital Tanjung Rambutan (1922), Hospital Daerah Kuala Kangsar (1922-1929), Hospital Daerah Temerloh (1929-1931) dan akhirnya di Hospital Daerah Pekan (1932-1932). Mulai 1 Januari 1933, beliau telah membuka kliniknya sendiri di Kuala Kangsar dan di Kota Lama Kanan, selain menyertai jemaah haji untuk berkhidmat sebagai “doktor haji” pada 1936 dan 1952-1954. Beliau terkenal di kalangan penduduk Pahang sebagai ‘Doktor Sungai’ kerana kesanggupan beliau menyusur sungai-sungai untuk merawat pesakit-pesakit yang tinggal di perkampungan sepanjang Sungai Pahang.

Penglibatan beliau dalam dunia politik tidak menonjol pada peringkat awal, tetapi mula cenderung kepada kegiatan politik Islam kerana terlibat dengan Kelab Saadat Kuala Kangsar dan Sunlight Club Taiping selepas bersara. Selepas Perang Dunia Kedua, kerana semangat nasionalismenya, beliau menyertai Umno untuk menentang Malayan Union seperti mana kaum bangsawan yang lain. Namun begitu, pada 1952, beliau yang mengikuti pengajian agama dengan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh di Padang Rengas, telah mengikuti ulamak tersebut terlibat dalam penubuhan PAS Cawangan Perak pada 26 April 1952. Sejak itu, beliau meninggalkan Umno dan bersama perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Pada tahun yang sama, beliau menyertai seorang lagi doktor PAS, Dr Haji Abbas Alias sebagai doktor haji ke Mekah. Di sana, mereka mendapat sentuhan dari Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, ulamak Melayu terkenal, pengarang kitab Penawar Bagi Hati. Mereka didorong supaya berjuangan bersama PAS bagi menentang penjajah dan menegakkan negara Islam. Beliau berkhidmat sebagai doktor haji selama tiga musim bersama Dr Haji Abbas Alias, Timblan Yang Dipertua Agung PAS sehingga 1954.

Di Perak, PAS Cawangan Perak yang kemudiannya dikenali sebagai PAS Cawangan Kuala Kangsar mulai 1954 telah dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh sebagai yang dipertua sejak ia ditubuhkan. Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh melantik Dr Haji Pandak Ahmad Alang Sidin sebagai Setiausaha PAS Kuala Kangsar. Pada 23 Disember 1956, Dewan Ulamak PAS Pusat telah ditubuhkan dengan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh sebagai ketuanya. Dr Haji Pandak Ahmad Alang Sidin sekali lagi diberikan kepercayaan dengan dilantik sebagai Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat pada 1956 hingga 1965. Doktor yang mempunyai empat isteri dan sembilan anak ini telah meninggal dunia pada 4 Mei 1965 pada usia 73 tahun, selepas 49 tahun berkhidmat sebagai doktor dan memimpin perjuangan politik Islam bersama PAS.

Tiada ulasan: