04 Februari 2017

Dr. Burhanuddin Al-Helmy Bawa Usul “Perluaskan Konsep Melayu Raya” Di Parlimen

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Rancangan penubuhan Malaysia atau “Melayu Raya” telah dilontarkan oleh Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra di Singapura pada 27 Mei 1961 sebagai langkah menyegerakan kemerdekaan wilayah British, menangani pengaruh komunis dan mengimbangi kaum. Cadangan Perdana Menteri itu supaya Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura yang merupakan wilayah jajahan British bergabung dengan Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan sebagai negara baru iaitu Melayu Raya. Rancangan ini telah mendapat reaksi yang berbeza-beza dari pelbagai pihak termasuk PAS. Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy yang mendukung gagasan Melayu Raya sejak 1945 telah mendesak supaya konsep Melayu Raya ini diperluaskan supaya seluruh bangsa Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan untuk “berdiri sama tinggi dan duduk sana rendah” dengan bangsa lain.

Setelah cadangan Tunku Abdul Rahman Putra itu menjadi polemik politik, PAS pada 15 Oktober 1961 telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas untuk menentukan sikap dalam soal ini. PAS kemudiannya mengambil pendirian untuk menolak percantuman antara Tanah Melayu dengan Singapura sahaja, dan bersetuju dengan pembentukan “Melayu Raya” yang bukan sahaja melibatkan Borneo Utara, Brunei, Sarawak dan Singapura, tetapi turut melibatkan Republik Indonesia dan gugusan Pulau-pulau Melayu lain, termasuk Filipina. PAS juga menetapkan syarat percantuman Melayu Raya ini, di mana negara Melayu Raya hendaklah mengawal semua hak orang Melayu, terutama hak kedaulatan dan ketuanan agar dijamin mengikut undang-undang. Berasaskan pendirian ini, seluruh sikap PAS digerakkan dalam proses penubuhan Malaysia.

Pada 16 Oktober 1961, Perdana Menteri telah mengemukakan satu usul di Dewan Rakyat untuk mencadangkan penubuhan Malaysia yang melibat sebelas buah negeri Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak, bagi mendapatkan persetujuan Parlimen, dan menuntut Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengambil tindakan merealisasikannya. Oleh kerana cadangan yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra adalah bertentangan dengan pendirian PAS yang menolak penyertaan Singapura sahaja, tetapi mahukan Republik Indonesia dan Filipina juga dilibatkan, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy (PAS -Besut) telah mencadangkan pindaan terhadap usul Perdana Menteri tersebut. Tujuan usul ini adalah untuk membolehkan pembentukan sebuah negara Melayu Raya yang melibatkan seluruh kepulauan Melayu, bukannya wilayah British sahaja. Mengikut perhitungan PAS, percantuman wilayah British sahaja akan merugikan bangsa Melayu kerana populasi rakyat British yang bukan Melayu sangat tinggi sehingga boleh meminggirkan bangsa Melayu.

Dr Burhanuddin al-Helmy telah mencadangkan pindaan terhadap usul Perdana Menteri dengan pindaan yang berbunyi, “Bahawa Majlis (Dewan Rakyat) ini, dengan bersetuju pada dasarnya dengan cadangan hendak menubuhkan Melayu Raya (Malaysia) yang mengandungi sebelas buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Brunei, Borneo Utara dan Sarawak, dan Negara Republik Indonesia dan Filipina serta gugusan Pulau-pulau Melayu yang lain, menuntut supaya kerajaan berusaha pada menjalankan langkah-langkah untuk mencapai tujuan ini, dan sebanyak mana telah dijalankan langkah itu akan dimaklumkan kepada Majlis ini oleh Yang Berhormat Perdana Menteri dari satu masa ke satu masa.” Cadangan pindaan terhadap usul Perdana Menteri ini walau bagaimanapun telah ditolak yang Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Haji Mohamad Noah Omar, yang menyebabkan usul asal yang hanya mencadangkan Melayu Raya melibatkan wilayah British sahaja kekal.

Dalam proses membahaskan usul Perdana Menteri ini, beberapa wakil rakyat PAS termasuk Prof Zulkifli Mohamad (Bachok), Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh), Khadijah Mohd Sidik (Dungun), Ahmad Abdullah (Kota Bharu Hilir), Dato’ Raja Mohamad Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) dan Ustaz Othman Abdullah (Tanah Merah) telah berucap membangkang cadangan Perdana Menteri kerana melihat Malaysia akan tunduk kepada British, bangsa Melayu akan tersisih di tanah air sendiri dan mendesak supaya Alam Melayu bercantum semula seperti sebelum penjajahan. Prof Zulkifli Mohamad dalam ucapannya menyebutkan, “Saya tidak bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri…. (kerana) ia bertentangan dengan kepentingan negeri ini sendiri dan juga bertentangan dengan kepentingan rakyat Melayu yang menjadi tonggak negeri ini.” Walau bagaimanapun, usul yang dikemukakan oleh Perdana Menteri ini telah diluluskan dengan suara majoriti di Dewan Rakyat pada 18 November 1961.

Ekoran kelulusan usul ini, walaupun dibangkang kuat oleh PAS melalui cadangan supaya Indonesia, Filipina dan Pulau-pulau Melayu lain dilibatkan sama, akhirnya Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk meninjau pandangan rakyat di wilayah-wilayah terbabit. PAS sendiri sepanjang tahun 1962 hingga 1963, sentiasa menyuarakan sikapnya terhadap penubuhan Malaysia di Parlimen supaya Melayu Raya dalam kerangka yang luas dilaksanakan. PAS juga mengambil sikap kemudiannya untuk menentang penubuhan Malaysia dan membawa isu ini ke mahkamah bagi menghalang percantuman wilayah British tanpa melibatkan seluruh Alam Melayu. Akhirnya pada 16 September 1963, perisytiharan penubuhan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah dibuat.

Tiada ulasan: