05 Februari 2017

Madrasah Taufiqiyah Khairiyah Al-Halimiyah Padang Lumat - Pusat Kebangkitan PAS Kedah

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Madrasah atau sekolah agama rakyat telah menjadi nadi kebangkitan Islam di seluruh negara. Seperti mana Maahad al-Ehya as-Syariff di Perak, Sekolah Majlis di Kelantan, Madrasah al-Mashoor di Pulau Pinang dan lain-lain merupakan institusi pendidikan Islam yang bukan sahaja melahirkan kader-kader dakwah, tetapi turut menjadi pusat pertumbuhan kesedaran Islam sehingga bangkitnya satu gerakan untuk menegakkan semula kedaulatan Islam. Salah satu dari pondok yang berperanan penting dalam sejarah gerakan Islam di Malaysia ialah Madrasah at-Taufiqiyah al-Khairiyah al-Halimiyah yang terletak di Padang Lumat, Kedah. Di pondok ini telah berkembangnya pengaruh Persatuan Ulamak Kedah (PUK) dan Umno dalam rangka perjuangan kemerdekaan, sebelum kemunculan PAS pada 1951.

Madrasah yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Yahya Junid ini mempunyai pertalian sejarah yang panjang dengan tokoh ulamak terkenal, Tuan Hussin Kedah yang berasal dari Titi Gajah. Tuan Hussin Kedah yang mendapat pendidikan di Kedah, Pattani dan Mekah telah pulang ke Kedah pada tahun 1896. Beliau membuka pondok di Alor Ganu (1896-1900), sebelum mengajar di Bohor selama 12 tahun. Selepas itu, beliau mengajar di Bagan Ulu (Pantai Merdeka) selama lapan tahun dan di Selengkoh, Sungai Limau selama empat tahun. Pada 1924, beliau membuka pula pondok di Padang Lumat selama lima tahun, sebelum beliau berkrisis dengan Sheikhul Islam Kedah, Pak Wan Sulaiman dalam satu isu fekah pada 1929 yang menyebabkan tauliah mengajar beliau ditarik balik. Kerana tidak dapat mengajar di Kedah, pada 1929, beliau berhijrah ke Pokok Sena, Seberang Perai untuk membuka pondok di sana dan berkhidmat berkhidmat di Pokok Sena sehingga akhir hayatnya pada 10 Februari 1936.

Tapak pondok tinggalan Tuan Hussin Kedah di Padang Lumat pada 1929 ini kemudiannya dibangunkan semula oleh muridnya, Tuan Guru Haji Yahya Junid atau lebih terkenal dengan panggilan Pak Ya Junid. Pak Ya Junid yang dilahirkan pada 1911 di Kampung Selengkoh dan mendapat pendidikan di Pondok Sungai Bakap, Seberang Perai pada 1920 sebelum belajar di Pondok Chegar, Pondok Tandop dan Pondok Titi Gajah sehingga 1929. Setelah itu, beliau belajar dengan Tuan Hussin Kedah di Pokok Sena sehingga 1931. Beliau kemudian ke Kelantan dan berguru dengan Tok Kenali di Masjid Muhammadi, di samping ulamak-ulamak terkenal Kelantan termasuk Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad dan lain-lain sehingga 1936. Selepas itu beliau ke Mekah, sebelum mengajar di Pondok Haji Majid, Guar Chempedak sejak 1939 hingga 1941.

Selepas dua tahun di Guar Chempedak, penduduk Padang Lumat telah mengambil keputusan untuk menghidupkan semula Pondok Tuan Hussin Kedah yang terbiar sejak 1929. Mereka meminta supaya Tuan Guru Haji Yahya Junid memimpin pondok ini mulai 1941 kerana beliau adalah murid Tuan Hussin Kedah di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena dan murid kepada menantu Tuan Hussin Kedah, Tuan Guru Haji Abdul Ghani Awang di Pondok Tandop. Pada 1942, setelah pondok ini mulai berkembang ketika Tanah Melayu dijajah oleh Jepun, Pak Ya Junid telah menamakan Pondok Padang Lumat sebagai Madrasah at-Taufiqiyah al-Khairiyah dan dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, anak kepada Tuan Hussin Kedah. Selepas Perang Dunia Kedua, pondok ini mula terkenal kerana penglibatan aktif Pak Ya Junid dalam gerakan menuntut kemerdekaan. Beliau menjadi pemimpin PUK dan Umno Kedah bersama Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbuk dan lain-lain. Pada 1948, pondok ini dikunjungi oleh Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra dan pemimpin Umno Kedah, Dato’ Syed Omar Shahabuddin.

Walau bagaimanapun, ekoran tindakan Umno menghalalkan judi loteri, Pak Ya Junid telah terlibat dalam penubuhan PAS dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951, selain turut menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah selama dua dekad. Selain beliau, tokoh-tokoh madrasah ini yang turut menjadi pimpinan PAS termasuklah menantu beliau, Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak (bekas Pesuruhjaya PAS Kedah), Haji Najib Fahmi Yahya (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah) dan Aris Awang (bekas Setiausaha PAS Kedah). Semenjak tertubuhnya PAS di Kedah pada 1952 hingga berdirinya Bangunan PAS Kedah di Alor Setar pada 1975, di pondok inilah berpusatnya gerakan PAS Kedah, selain Pondok an-Nahdah, Bukit Besar. DUN Sala (kini Sungai Limau) merupakan kubu kuat PAS yang sentiasa dimenangi sejak 1969, kecuali 1982 dan 1990 sahaja.

Pondok ini telah dipimpin oleh Pak Ya Junid sehingga 1964, sebelum diganti oleh Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak (1964-1983), Ustaz Haji Manan Yahya (1983-2007) dan Ustazah Hajah Azizah Yahya sejak 2007. Sepanjang sejarahnya, madrasah ini mencatat kenangan pahit manisnya apabila dikunjungi oleh Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada 1975 yang menyebabkan namanya ditukar kepada Madrasah at-Taufiqiyah al-Khairiyah al-Halimiyah. Sedangkan pada 1985, Pak Ya Junid dipecat dari Jawatankuasa Fatwa Kedah kerana isu syuhadak Memali, diikuti oleh kebakaran pada 1989 yang mengorbankan 27 nyawa. Di kalangan mudirnya, Pak Ya Junid menjadi ADUN Sala selama dua penggal antara 1974-1982 dan Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak menjadi ADUN pada 1986-1990, sebelum DUN Sala dikuasai oleh Tan Sri Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sejak 1995. Selepas kematian Pak Ya Junid pada 8 Ogos 2001, madrasah ini terus menjadi nadi PAS di Kedah.

Tiada ulasan: