02 Februari 2017

Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri - Legasi Pengajian Tinggi Islam Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal kerana menjadi pusat pengajian Islam terpenting di rantau ini sehingga digelar Serambi Mekah. Semenjak selepas Perang Dunia Kedua, isu penubuhan sebuah kolej Islam di Malaya telah timbul hinggalah Kolej Islam Malaya (KIM) berjaya ditubuhkan di Kelang, Selangor pada 1955. Setelah PAS berjaya menguasai Kelantan pada 1959, salah satu projek besar Kerajaan PAS Kelantan ialah membangunkan pendidikan di mana kerajaan negeri telah melantik Pegawai Muballigh di setiap jajahan pada 1959, melantik guru-guru agama di sekolah kerajaan (1960), menubuhkan Jemaah Biasiswa Pelajaran Negeri (1960), membentuk Jemaah Biasiswa Pelajaran Agama (1961), mengadakan Jemaah Biasiswa Pelajaran Rendah Negeri (1961), selain Biasiswa Pelajaran PAS (Biasiswa Zulkifli Mohamad) sejak 1959.

Sejak 1959 juga, Kerajaan PAS Kelantan berusaha memajukan sekolah-sekolah agama sehingga akhirnya berjaya menubuhkan Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Islam Negeri yang diiktiraf oleh Universiti al-Azhar. Atas usaha kerajaan negeri juga, sekolah agama yang berjumlah 47 buah pada 1959, bertambah kepada 134 buah pada 1966. Antara langkah terpenting ialah rancangan menubuhkan universiti Islam di Kelantan. Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohamad Nasir telah memulakan usaha melalui sebuah badan bukan kerajaan untuk menubuhkan universiti Islam yang dinamakan “al-Balaghul Mubin College” pada 1963. Pada 2 Disember 1963, jawatankuasa di bawah Timbalan Menteri Besar ini bermesyuarat dan memutuskan lokasinya di Semerak, Pasir Puteh dalam kawasan seluas 300 ekar. Walau bagaimanapun, rancangan ini tergendala kerana Dato’ Mohamad Nasir tewas dalam Pilihan Raya Umum 1964.

Ekoran itu, pada 1965, Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Haji Muda telah mengarahkan kerajaan mengambil alih projek ini dan sebuah Jawatankuasa Pengelola ditubuhkan pada 27 Jun 1965 dengan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan. Universiti Islam ini dinamakan sebagai Markaz ad-Dirasat al-Islamiyah al-Aliyah Kelantan atau Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (PPTIK) yang beroperasi di Istana Lama Nilam Puri. Dengan tujuan untuk membangunkan pengajian tinggi Islam di Kelantan, pada 1 Oktober 1965 ia mula beroperasi dengan satu fakulti, Kuliah Syariah wal Qanun. Ustaz Wan Hussein Abdul Kadir dilantik sebagai Pemangku Pengetua, manakala Ustaz Mohamad Che Wok, Ustaz Ahmad Daud, Ustaz Abdullah Qari Haji Salleh dan Mohd Salleh Akib menjadi pensyarahnya, dengan 40 pelajar sesi pertama.

PPTIK mula dikenali sebagai Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) sejak 1969 setelah Enakmen Kelantan Bil. 9/1968 (YPTIK) diluluskan oleh DUN Kelantan. YPTIK yang lebih dikenali sebagai “Nilam Puri” ini telah berkembang dengan pesat apabila Maahad Dakwah wal Imamah ditubuhkan pada Oktober 1966 sebagai kelas pra sebelum memasuki fakulti, diikuti oleh penubuhan Qismu at-Taujihi iaitu kelas persediaan Nilam Puri. Qismu at-Tarbiyah pula ditubuhkan pada 1971 untuk melatih bakal guru yang mengajar di sekolah-sekolah agama. Bagi memperkukuhkan lagi YPTIK, pada 1974, Kuliyah Usuluddin wal Ijtimaiyyah telah ditubuhkan, sebelum Jabatan Sekolah-sekolah Agama (JASA) (sekarang YIK) ditubuhkan di bawah Enakmen YPTIK pada 1 Julai 1974.

Walau bagaimanapun, YPTIK yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan melahirkan ramai ulamak, ahli akademik, pendakwah dan ahli-ahli agama telah melalui zaman malapnya apabila PAS tewas dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 11 Mac 1978. Kerajaan BN Kelantan telah bertindak menyerahkan YPTIK kepada Universiti Malaya untuk membentuk Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM) pada 1 April 1981. Nilam Puri telah diturunkan taraf menjadi “Pra Akademi Islam,” sedangkan AIUM berpusat di Kuala Lumpur. Sejak itu, nama Nilam Puri tidak lagi dikenali melainkan kerana ramainya tokoh-tokoh ulamak lepasan Nilam Puri yang berjasa termasuklah Dato’ Hassan Ahmad (bekas Mufti Pulau Pinang), Dato Haji Salleh Ahmad (bekas Ahli Majlis Syura Ulamak PAS), Prof Emeritus Dato’ Mahmood Zuhdi Abdul Majid (pensyarah UIA) dan lain-lain. Dalam bidang politik, alumni terkenalnya ialah Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakub, Menteri Besar Kelantan.

Kerana besarnya peranan YPTIK ini, apabila PAS menguasai semula Kelantan pada 21 Oktober 1990, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan semula Maahad Dakwah wal Imamah di Nilam Puri mengikut Enakmen Bil. 8/1982 (YIK) pada 1 Jun 1994 dan dibuka dengan rasmi oleh Menteri Besar Kelantan itu pada 3 Julai 1994. Tujuannya adalah untuk menghidupkan semula YPTIK. Selepas Maahad Dakwah wal Imamah berjaya mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar, pada 1 Ogos 1999, maahad ini dinaikkan taraf menjadi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan setelah mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Kelantan, pada 24 Ogos 1999 KIAS telah dilancarkan secara rasmi sebagai “jelmaan semula” YPTIK Nilam Puri.

Tiada ulasan: