03 Februari 2017

Barisan Bebas Bersatu (BBB) - Kumpulan Serpihan PAS Di Kelantan Kerana Isu Kerajaan Campuran

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Penyertaan PAS dalam Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1 Januari 1973 telah memberi kesan negatif terhadap PAS Kelantan apabila ia menimbulkan krisis organisasi dan kepemimpinan. Isu asal yang timbul dalam krisis ini ialah ketidakpuasan hati sesetengah pemimpin PAS terhadap perlantikan semula bekas Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar untuk memimpin Kerajaan Kelantan kali kedua. Ustaz Dato’ Ishak Lotfi Omar ketika menjadi Menteri Besar Kelantan kali yang pertama antara 1959 hingga 1964 telah digantikan oleh Mohd Asri Haji Muda kerana ketidakpuasan hati pimpinan PAS Kelantan terhadap prestasi kepemimpinannya. Walau bagaimanapun, perletakan jawatan Dato’ Mohd Asri Haji Muda pada 28 Disember 1972 kerana dilantik sebagai Menteri Pusat telah menyebabkan Ustaz Dato’ Ishak Lotfi Omar terlantik semula ke jawatan tersebut.

Semenjak perlantikan semula Ustaz Dato’ Ishak Lotfi Omar sebagai ketua kerajaan ini, mula timbul ketidakpuasan hati para pemimpin veteran PAS Kelantan dan beberapa isu telah dibangkitkan seperti penyelewengan dalam pengurusan balak, lemah dalam mentadbir kerajaan, korup, gagal meningkatkan syiar Islam dan beberapa penyelewengan lain yang tidak dibuktikan di mahkamah. PAS Kelantan telah membuat beberapa siri penjelasan kepada mereka tetapi ia tetap tidak dapat merungkai masalah. Beberapa kumpulan pemimpin veteran PAS telah mula membuat gerakan dengan mengkritik kelemahan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan, sebelum ia beralih menjadi serangan peribadi terhadap Menteri Besar Kelantan. Antara tokoh utama yang terlibat ialah Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah, Haji Mohd Nor Yusof, Daud Yatimee Ahmad, Hussein Yaakub dan lain-lain. Selain PAS Kawasan Pasir Mas, PAS Kawasan Machang dan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan turut melahirkan ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar Kelantan.

Setelah setahun ketidakpuasan hati ini menjadi barah dalam organisasi PAS Kelantan, pada 14 Mac 1974, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang juga Yang Dipertua PAS Pasir Mas telah melancarkan Gerakan Revolusi 14 Mac di Pasir Mas, diikuti oleh tindakan serupa oleh Haji Mohd Nor Yusof, bekas Pesuruhjaya PAS Kelantan juga Yang Dipertua PAS Machang yang melancarkan Gerakan Revolusi 20 Mac di Machang. Dewan Pemuda PAS Kelantan turut melakukan tindakan yang sama pada 16 Mac 1974, di mana tindakan-tindakan ini adalah bertujuan untuk mendesak Ustaz Dato’ Ishak Lotfi Omar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan. PAS Pasir Mas Hilir turut berbuat demikian pada 29 Mac 1974, sehingga keadaan dalaman politik PAS Kelantan menjadi tidak stabil, termasuk untuk memimpin kerajaan campuran. Pentadbiran Kerajaan Kelantan antara 1 Januari 1973 hingga 31 Mei 1974 adalah di bawah Kerajaan Campuran PAS-Perikatan yang dipimpin oleh PAS.

Ekoran tindakan terbuka mereka terhadap parti, PAS Kelantan pada 30 Mac 1974 telah mengeluarkan siaran khas bagi menjawab fitnah tersebut, diikuti oleh tindakan tatatertib ke atas Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Daud Yatimee Ahmad, Hussein Yaakub dan Yusof Isa dengan memecat keahlian mereka pada 9 Jun 1974, selain menggantung PAS Pasir Mas Hilir. Kumpulan Revolusi 14 Mac ini kemudiannya telah bergabung dengan bekas-bekas pemimpin PAS yang berkrisis dengan Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS untuk mengukuhkan penentangan mereka terhadap PAS. Dua tokoh yang terkenal bersama mereka ialah Ustaz Amaluddin Darus, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ustaz Abu Bakar Hamzah, bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS. Mereka bergerak atas dasar menentang tindakan PAS menyertai Barisan Nasional pada 1 Jun 1974.

Menjelang Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974, Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir telah melancarkan manifesto Barisan Bebas Bersatu (BBB) yang mengumpulkan bekas ahli-ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan tema “Untuk Kerajaan Negeri Yang Jujur, Bersih dan Cekap.” Mereka telah meletakkan lapan calon dari 12 kerusi Parlimen di Kelantan, manakala daripada 36 kerusi DUN, mereka meletakkan 33 calon dengan menggunakan lambang Bas, kecuali di empat DUN masing-masing menggunakan lambang Pelita, Buku, Wau Bulan dan Anak Kunci. Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1974, semua calon BBB telah tewas dengan teruk. Pergerakan BBB juga telah malap selepas pilihan raya ini, sebelum mereka menyertai kumpulan Ustaz Amaluddin Darus, Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) pada 1975, dan akhirnya mereka muncul semula dalam krisis pada 1978 untuk bersatu dengan kumpulan Dato’ Mohamad Nasir, Parti Progresif Islam (PPI). Gabungan kedua-dua kumpulan ini membentuk Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (BARJASA) pada 1978.

Tiada ulasan: