06 Februari 2017

Dewan Ulamak PAS Anjurkan Himpunan Perkasakan Sekolah Agama Rakyat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

PAS yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dengan didukung oleh para ulamak telah memberikan perhatian besar kepada institusi pendidikan agama sebagai nadi pembangun kecerdikan ummah. Bagi menyatukan para ulamak ini, pada 3 April 1952, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulamak PAS dengan diketuai oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim yang juga pengasas Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah. Dewan Ulamak PAS telah mengatur langkah bagi memperkasakan pendidikan Islam termasuk menyusun derma pelajaran, menyokong penubuhan kolej Islam, menyusun sukatan pelajaran sekolah-sekolah agama dan mewujudkan dana pendidikan agama. Tumpuan Dewan Ulamak PAS terhadap pendidikan agama ini mempunyai kaitan dengan kegagalan Jawatankuasa Fenn-Wu yang membentangkan laporannya di Majlis Undangan Persekutuan pada September 1951 untuk memberikan kedudukan kepada pendidikan agama dalam Ordinan Pelajaran 1952.

PAS sendiri setelah Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Ulamak Se-Malaya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan gagal mempengaruhi Majlis Undangan Persekutuan untuk memasukkan pendidikan agama dalam sukatan pelajaran kebangsaan melalui Jawatankuasa Fenn-Wu 1951, pada 9 Mac 1952, PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang telah memutuskan untuk mewujudkan derma pelajaran kepada anak-anak orang Islam. PAS turut mengadakan kutipan derma dan jualan amal di Bandar Pulau Pinang untuk mengumpulkan dana pelajaran sekolah agama pada 14 Jun 1952. Para pemimpin PAS seperti Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (Yang Dipertua Agung PAS), Sheikh Abdullah Fahim (Ketua Dewan Ulamak PAS), Haji Sulaiman Palestin dan Mohamad Hanif (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) turut sama terlibat mengadakan jualan amal dan kutipan derma untuk membantu dana pendidikan Islam.

Salah satu langkah terbesar yang diambil oleh Dewan Ulamak PAS ialah mengadakan satu himpunan yang dinamakan Perjumpaan Sekolah-sekolah Agama Rakyat. Perjumpaan ini diadakan pada 22 Mei 1952 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas yang melibatkan alim ulamak, guru-guru agama dan pentadbir sekolah-sekolah agama dari sekitar Kedah Selatan, Seberang Perai, Pulau Pinang dan Perak Utara. Seramai 150 orang alim ulamak hadir mewakili 38 buah madrasah, sekolah agama dan pondok dari kawasan Utara Semenanjung. Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk menyatukan sekolah-sekolah agama rakyat di seluruh Tanah Melayu dan mewujudkan satu kumpulan wang kerana sekolah agama rakyat. Persidangan ini dipengerusikan sendiri oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Sheikh Abdullah Fahim.

Dalam perjumpaan yang diadakan pada 22 Mei 1952 ini, seorang tokoh agama terkenal di Pulau Pinang, Sheikh Ali Balderam telah mencadangkan supaya Dewan Ulamak PAS mengusahakan bantuan kewangan daripada Raja-raja Melayu, tetapi cadangan ini telah ditolak oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang menganggap usaha ini sia-sia kerana Raja-raja Melayu selalu mengecewa dan menghampakan umat Islam dalam soal bantuan pendidikan. Namun begitu, PAS akan mengambil langkah-langkah untuk mengumpulkan dana, termasuk bersetuju membuat jualan amal tulisan-tulisan khat pada 14 Jun 1952 di Bandar Pulau Pinang bagi mengisi dana pendidikan itu. Mereka juga merancang untuk mengadakan perjumpaan serupa dengan sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu pada masa akan datang ekoran sambutan positif yang diberikan. Perjumpaan ini turut bersepakat untuk menyatukan sekolah-sekolah agama dari aspek sukatan pelajaran dan sistem pentadbiran untuk memudahkan pengiktirafan bagi pelajar melanjutkan pelajaran. Antara persetujuan penting yang dicapai ialah untuk menubuhkan “kelas pengajian tinggi agama (universiti)” di sekolah agama rakyat dengan dana sebanyak RM40,000.00 yang akan dikutip.

Kejayaan perjumpaan anjuran Dewan Ulamak PAS ini hampir menyamai kegemilangan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) yang digerakkan oleh Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947. Lantas, kejayaan perjumpaan ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dari umat Islam. Bakhtiar Djamily, seorang wartawan telah menulis dalam Warta Negara memuji usaha PAS yang membuktikan PAS berjuangan bukan untuk kepentingan para ulamaknya, tetapi untuk kepentingan ummah. Beliau menyifatkan penyatuan sekolah-sekolah agama rakyat sebagai langkah yang penting dalam melahirkan pejuang Islam pada masa akan datang. Seorang pembaca Warta Negara, Aha Johor menyifatkan PAS telah mengambil langkah terbaik dan mencadangkan supaya rancangan menubuhkan kolej Islam diserahkan kepada PAS berdasarkan kesungguhan para ulamaknya. Seorang lagi pembaca Warta Negara, Abu Hanifah telah mendesak Jawatankuasa Penaja Kolej Islam di bawah Jam’iyah ad-Dakwah al-Islamiyah Singapura supaya menggiat usaha menubuhkan kolej Islam atau menyerahkan sahaja perlaksanaannya kepada PAS.

Perjumpaan Sekolah-sekolah Agama Rakyat yang diadakan untuk peringkat Utara Semenanjung ini telah menarik perhatian banyak pihak kerana ia berjaya menggerakkan usaha mengukuhkan institusi pendidikan umat Islam. Yang Dipertua Jam’iyah ad-Dakwah al-Islamiyah Singapura, Dato’ Syed Omar as-Saqqaf yang menyedari kegagalan mereka melaksanakan keputusan yang dibuat sejak 1948 untuk menubuhkan kolej Islam dan juga keputusan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950 tentang perkara yang sama, telah mencadangkan supaya projek ini diambil alih oleh Umno, tetapi ditolak oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Dipertua Agung Umno. Sebaliknya, PAS menganjurkan pula Minggu Kolej Islam untuk mengutip dana sehingga akhirnya Kolej Islam Malaya (KIM) berdiri pada 8 April 1955. Penubuhan KIM ini adalah kesan segera daripada kejayaan Perjumpaan Sekolah-sekolah Agama Rakyat anjuran Dewan Ulamak PAS.

Tiada ulasan: