25 Februari 2017

Kepentingan Islam - Asas Kerjasama Politik PAS Dalam Menuntut Pilihan Raya Disegerakan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Isu tuntutan pilihan raya segera menjadi tajuk utama perkembangan politik Tanah Melayu selepas 1950. Pilihan raya ini dianggap anak tangga yang penting ke arah berkerajaan sendiri, seterusnya mencapai kemerdekaan. Dalam memacu tuntutan pilihan segera ini, terdapat dua gerakan politik yang utama iaitu National Conference yang ditaja oleh 16 orang kenamaan termasuk tujuh orang Menteri Besar dengan Dato’ Onn Jaafar sebagai pemimpin de factonya, serta National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra. Kedua-dua gabungan politik ini saling bersaing membentuk pengaruh masing-masing.

PAS sebagai sebuah parti yang baru muncul pada akhir 1951 dengan mendukung dasar Islam telah mendapat perhatian kedua-dua badan ini dalam memaut sokongan orang Melayu. National Conference menggunakan hubungan rapat Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dengan Dato’ Onn Jaafar untuk memancing PAS, sedangkan National Convention memanfaatkan pengaruh Umno dalam PAS yang diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah untuk menarik dukungan PAS. Sedangkan PAS berpendirian akan menyokong mana-mana badan politik yang menawarkan pilihan terbaik dalam tuntutan pilihan raya segera ini.

Tindakan Umno yang menarik diri dari National Conference selepas sidang pada 12 Februari 1953 telah menyebabkan PAS muncul sebagai wakil tunggal Melayu dalam persidangan tersebut mulai 27 April 1953. PAS mendukung cadangan National Convention supaya pilihan raya diadakan pada 1956. Tercabar dengan gerakan National Conference, Umno berusaha menarik sokongan PAS menerusi Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu pada 14 Ogos 1953, sebelum mereka menubuhkan National Convention yang turut disertai oleh PAS pada 23 Ogos 1953. National Convention mencadangkan pilihan raya diadakan pada 1954, satu tarikh yang popular di kalangan rakyat, tetapi PAS melihat ia sukar dilaksanakan kerana Pilihan Raya Bandaran belum selesai dan Pilihan Raya Negeri belum diadakan.

Bertolak dari penglibatan PAS dalam kedua-dua badan ini, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 memutuskan supaya perkara ini dibawa ke Mesyuarat Agung Khas PAS. Ekoran ini, PAS telah mengadakan mesyuarat agung khas pada 26 September 1953 di Bukit Mertajam untuk menentukan sama ada PAS menyokong National Conference atau National Convention. Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS ini, satu garis panduan dikemukakan oleh wakil Pasir Mas untuk memandu keputusan tentang kerjasama politik atau tahaluf siyasi ini. Garis panduan ini merangkumi tiga perkara:

I. Kerjasama politik sama ada dengan National Conference mahupun National Convention hendaklah menguntungkan Islam, memberi kesan positif terhadap usaha PAS menegakkan Islam dan membolehkan Islam menjadi sistem hidup bernegara;

II. National Conference dan National Convention kedua-duanya didalangi oleh penjajah. PAS perlu mengambil sikap berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan pelan politik penjajah; dan

III. Hasrat utama rakyat adalah menyegerakan kemerdekaan. Kelewatan mengadakan pilihan raya akan menyebabkan kelewatan dalam mencapai kemerdekaan. Cadangan mengadakan pilihan raya pada 1954 adalah lebih menguntungkan rakyat berbanding 1956.

Berasaskan tiga prinsip ini, kemudiannya Mesyuarat Agung Khas PAS telah memutuskan supaya PAS bersama National Convention dan tidak lagi bersama National Conference. Apa yang terpenting dalam memutuskan sikap PAS terhadap kerjasama politik ini ialah keupayaan PAS memberikan keuntungan kepada Islam terutama dalam rangka menegakkan negara Islam. Adapun sokongan PAS kepada National Convention adalah langkahan politik bagi mempercepatkan proses kemerdekaan negara. Kerana itu, apabila PAS melihat pendirian National Convention pada 11 Oktober 1953 merugikan Islam dan orang Melayu, pada 25-26 Disember 1953, PAS segera memutuskan hubungan dengan National Convention yang ditaja Umno-MCA itu.

Tiada ulasan: