15 Februari 2017

“Rahsia Kemenangan Islam” - Karya Motivasi Perjuangan Ustaz Amaluddin Darus

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kemenangan merupakan matlamat bagi perjuangan Islam, kerana dengan kemenangan ini Islam dapat ditegakkan. Oleh kerana usaha untuk mencapai kemenangan adalah sangat berat, terutama setelah runtuhnya kekhalifahan Islam pada 1924, umat Islam perlu dirangsang untuk menggapai kemenangan. Sejak jatuhnya Khilafah Othmaniyah, keyakinan manusia kepada Islam telah merosot dengan mendadak, sedangkan gerakan Islam berkerja membina semula kesedaran dan keyakinan ini sehingga Islam kembali tertegak.

Salah satu usaha yang dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Amaluddin Darus ialah menghasilkan sebuah buku berjudul “Rahsia Kemenangan Islam”. Buku ini telah membina keyakinan pembaca bahawa umat Islam akan bangkit semula untuk mencapai kejayaan setelah ia jatuh akibat penjajahan. Buku bercorak motivasi Islam ini menggariskan beberapa perkara termasuk janji-janji Allah terhadap kemenangan Islam dan masa depan Islam yang optimis. Buku yang diterbitkan oleh Pustaka Islam, Kota Bharu ini mengandungi empat bab iaitu “Perjanjian Allah”, “Fajar baru menyinsing”, “Mega mendung selama ini” dan “Umat yang satu”. Buku ini siap ditulis pada awal 1963 dan diterbitkan pada tahun itu juga.

Buku Rahsia Kemenangan Islam ini merupakan karya kedua yang ditulis oleh Ustaz Amaluddin Darus setelah karya pertamanya “Umat Islam di Antara Dajjal dan Yakjuj wa Makjuj” berhasil diterbitkan pada 1962. Selepas 1963, Ustaz Amaluddin mula menulis buku-buku tentang perjuangan Islam dan isu-isu semasa umat Islam sehingga meletakkan beliau antara penulis yang prolifik dalam PAS, di mana karyanya berjumlah lebih 30 puluh buah. Pada 1956, Ustaz Amaluddin Darus telah dilantik sebagai Penolong Pengarang “Suara Islam,” lidah rasmi PAS yang terbit antara 1956 hingga 1962, sebelum beliau menubuhkan Pustaka Islam sebagai penerbit buku-buku Islam di Kota Bharu pada 1962.

Karya kedua buah tangan Ustaz Amaluddin Darus ini pada asasnya menjawab beberapa perkara tentang kelemahan yang dialami oleh umat Islam setelah sekian lama dijajah, terdedah dengan ideologi-ideologi barat, meninggalkan cara hidup Islam, mengalami kemunduran, perpecahan atas semangat bangsa dan akhirnya kehilangan khilafah. Mendung yang meliputi umat Islam telah mula menampakkan masa depannya apabila bangsa-bangsa Islam mencapai kemerdekaan dan peranan yang dimainkan oleh gerakan Islam dalam merangsang kesedaran umat. Penyatuan umat Islam atas nama aqidah akan menjadi sumber kekuatan utama orang yang beriman sehingga tercapai semua janji Allah untuk memberikan kemenangan kepada agama-Nya.

Penulis buku ini, Ustaz Amaluddin Darus adalah tokoh PAS yang dilahirkan pada 24 Disember 1927 di Kulim, Kedah tetapi berkhidmat sebagai pegawai bomba di Kelantan sejak 1951. Beliau yang menyertai PAS pada 1952 merupakan pengasas PAS Kelantan di mana dengan jasa beliau tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953 sebagai cawangan PAS yang pertama di Pantai Timur. Beliau mendapat pendidikan agama di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang sebelum Perang Dunia Kedua dan merancang menyambung pengajian di Mekah dan Indonesia, tetapi memasuki Pusat Latihan Bomba di Kuala Kubu Baru 1947. Beliau memulakan khidmatnya sebagai anggota bomba di Kota Bharu pada 1950.

Penghasilan buku Rahsia Kemenangan Islam ini merupakan terjemahan keyakinan tinggi beliau terhadap perjuangan Islam. Beliau yang merupakan Setiausaha PAS Pasir Mas (1953-1954), Yang Dipertua PAS Kota Bharu (1954-1959), Setiausaha PAS Kelantan (1954-1959), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1957-1962), Pengarah Pilihan Raya PAS (1959) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1962-1964), merupakan antara pemimpin muda PAS yang lantang dan terkehadapan dalam memacu perjuangan Islam. Menerusi buku ini, beliau mengungkapkan harapannya, “Saya telah cuba menggambarkan suatu mengenai umat Islam yang saya harap mereka akan dapat bersabar mengikutinya. Akan tetapi saya juga telah membayangkan suatu di mana saya berharap umat Islam tidak berputus asa di dalam perjuangan di dunia ini”.

Tiada ulasan: