12 Februari 2017

Bendera PAS - Sang Saka Merah Putih “Allah Muhammad”

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Bendera adalah panji-panji perjuangan yang menjadi pembakar semangat dan wahana yang menggambarkan simbol sebuah negara atau entiti, termasuk parti politik. Pada masa dahulu, bendera atau panji-panji berfungsi sebagai alat untuk penyelarasan di medan tempur, kini menjadi alat penyatuan fikrah, matlamat dan hala tuju sesebuah perjuangan. PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam juga mempunyai bendera tersendiri yang wujud sejak awal 1953 lagi. Bendera PAS ini menterjemahkan perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu di Nusantara yang berteraskan Islam demi menegakkan syariat Allah dan rasul-Nya.

Sejarah bendera PAS bermula apabila draf Undang-undang Tubuh Pertubuhan Ulamak Se-Malaya 1951 pada Fasal 17 menetapkan supaya PAS “hendaklah mempunyai bendera khas” dan mencadangkan supaya Jawatankuasa Kerja PAS menetapkan rupa benderanya, tetapi Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951 telah menyerahkan kuasanya kepada Mesyuarat Agung PAS berdasarkan Undang-undang Nombor 20 Undang-undang Tubuh PAS. Maka atas asas ini, Jawatankuasa Kerja PAS telah mengusulkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pertama pada 3 Januari 1953 untuk mewujudkan bendera PAS dengan berasaskan bendera “Sang Saka Merah Putih,” iaitu bendera perjuangan bangsa Melayu di Nusantara.

Sang Saka Merah Putih pada asalnya merupakan bendera asas bagi kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara terutama sebagai bendera dan umbul-umbul Empayar Majapahit (1293-1527), kemudian bendera Merah Putih diangkat menjadi bendera perjuangan bangsa Melayu di Indonesia dalam menentang penjajah dan dianggap oleh penjajah sebagai bendera golongan kiri. Pada 1938, Sang Saka Merah Putih telah dijadikan bendera bagi Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Haji Yaakub, sebelum ia menjadi lebih terkenal pada 1945 apabila ia dijadikan bendera Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy yang mewar-warkan perjuangan Melayu Raya. Apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1945, mereka menjadikan Sang Saka Merah Putih sebagai bendera negara Indonesia, sekali gus menyemarakkan perjuangan seluruh bangsa Melayu Nusantara dengan Sang Saka Merah Putih. Parti-parti politik Melayu di Tanah Melayu selepas 1945 hingga 1957, termasuk Umno, Hizbul Muslimin, Parti Melayu Semenanjung (PMS) dan lain-lain telah menjadikan Sang Saka Merah Putih sebagai bendera mereka. Pada 11 November 1947, gabungan PUTERA-AMCJA telah menerima Sang Saka Malaya berasaskan warna Merah Putih dengan 12 bintang sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Selain Indonesia dan Malaysia, negara Singapura yang ditubuhkan pada 1965 juga menggunakan asas Sang Saka Merah Putih pada bendera mereka, manakala Filipina dan Thailand juga mengekalkan warna merah putih di samping warna-warna lain.

Apabila PAS melakarkan bendera perjuangannya pada awal 1953 itu, PAS telah mengambil semangat perjuangan bangsa Melayu di Nusantara dengan Sang Saka Merah Putih sebagai asasnya. Bagi membezakan dasar perjuangan PAS dengan parti-parti lain yang turut menggunakan Sang Saka Merah Putih tetapi berideologi kebangsaan atau sosialis, PAS memasukkan unsur Islam pada benderanya. Dua ciri unsur Islam pada bendera PAS iaitu terdapat satu bulan hijau (warna Islam) di hujung sebelah atas (dalam warna merah) dan tertulis perkataan “Allah Muhammad” dalam bulatan hijau itu dengan tulisan Jawi berwarna putih. Rupa bendera ini telah ditetapkan dalam Undang-undang Nombor 20 Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1953. Sang Saka Merah Putih Allah Muhammad ini menjadi panji-panji perjuangan Islam di Tanah Melayu sehingga 1967.

Pada 24 Ogos 1967, PAS telah menerima arahan dari Pendaftar Pertubuhan Malaysia supaya kalimah “Allah Muhammad” dipadamkan dari bendera PAS kerana “agama hendaklah tidak dimasukkan ke dalam politik,” dan membuang warna merah putih yang didakwa menyerupai bendera negara asing (Indonesia). Tindakan Pendaftar Pertubuhan ini mempunyai kaitan dengan isu Konfrantasi Indonesia dan isu kafir-mengkafir yang dibangkitkan oleh Umno pada tahun 1960-an. Ekoran itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-16 dan 17 pada 20-22 April 1968 menetapkan supaya perkataan “Allah Muhammad” dipadamkan pada bendera PAS tetapi elemen lain – Sang Saka Merah Putih dan bulatan hijau – dikekalkan. Mesyuarat Agung Tahunan PAS itu juga telah menetapkan supaya bulan hijau itu terus kosong dengan tidak diganti oleh sesuatu yang lain sehingga PAS mencapai kemenangan!

Ekoran pindaan yang dibuat oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS 1968 ini, Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973, Fasal 34(1) telah menetapkan bahawa “bendera PAS ialah berwarna merah terletak di atas warna putih yang sama lebarnya dan dipangkalnya sebelah atas satu bulatan hijau.” Sehingga hari ini, PAS mengekalkan bendera ini dengan satu cita-cita bahawa perkataan “Allah Muhammad” akan dimasukkan semula pada bulatan hijau itu setelah PAS mencapai kemenangan dalam menegakkan agama Allah di Alam Melayu ini.

Tiada ulasan: