13 Februari 2017

Pilihan Raya Negeri Kelantan 1955 - Permulaan Langkah PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Negeri Kelantan adalah antara negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri 1954-1955 selepas Pilihan Raya Umum Federal 1955, setelah ia bermula dengan negeri Johor pada 10 Oktober 1954. Kelantan mengadakan Pilihan Raya Negeri bagi memilih 16 orang ahli Majlis Undangan Negeri (State Legislative Council) pada 19 September 1955, iaitu setelah Pilihan Raya Persekutuan selesai pada 27 Julai 1955. Pilihan Raya Negeri diadakan secara berperingkat ekoran desakan parti-parti politik termasuk gabungan National Conference pimpinan Dato’ Onn Jaafar dan National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, yang kedua-duanya pernah disertai oleh PAS untuk menuntut diadakan pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. PAS telah menyertai Pilihan Raya Negeri dengan bertanding di Perlis, Perak, Selangor dan Pahang, selain Kelantan.

Penubuhan PAS di Kelantan bermula dengan majlis penerangan di Pasir Puteh pada 9 September 1952, diikuti oleh tertubuhnya cawangan PAS yang pertama di Pasir Mas pada 23 Julai 1953, kemudian Machang (21 September 1953), Pasir Puteh (1 Oktober 1954) dan Kota Bharu (18 November 1954). Apabila Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad menyertai PAS pada 1954, diikuti oleh penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat pada 25-27 Disember 1955 di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, para ulamak dan umat Islam di Kelantan mula berduyung-duyung menyertai perjuangan PAS. PAS Daerah Pantai Timur yang dipimpin oleh Mohd Asri Haji Muda selaku pesuruhjaya sejak akhir 1954 telah bergerak cergas mengembangkan organisasi bagi membolehkan mereka terlibat dalam pilihan raya ini dengan berkesan.

Walaupun PAS Kelantan tidak menyertai Pilihan Raya Bandaran Kota Bharu pada 1953, tetapi PAS Kelantan meletakkan tiga calon dalam Pilihan Raya Persekutuan pada 27 Julai 1955, masing-masing di Kelantan Timur (Mohd Asri Haji Muda), Pasir Mas (Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad) dan Kelantan Selatan (Haji Mohd Noor Yusof). Ketika hari penamaan calon pada 15 Jun 1955, selain menamakan tiga calon untuk Majlis Undangan Persekutuan, PAS turut meletakkan empat calon dari 16 kerusi Majlis Undangan Negeri iaitu Cikgu Abdullah Ahmad (Pasir Mas Tengah), Haji Mohd Noor Yusof (Machang), Haji Othman Minal (Ulu Kelantan) dan Haji Awang Saad (Pasir Mas Utara). Hari pilihan raya bagi kawasan Majlis Undangan Negeri Kelantan diadakan pada 19 September 1955, iaitu selepas hari pembuangan undi untuk Pilihan Raya Majlis Undangan Persekutuan pada 27 Julai 1955. Walaupun semua calon PAS tewas pada 27 Julai 1955, tetapi PAS tetap berkeyakinan tinggi untuk mencabar Perikatan dalam pilihan raya peringkat negeri.

Selepas pembuangan undi berlangsung pada 19 September 1955, calon PAS di Pasir Mas Tengah, Cikgu Abdullah Ahmad telah berjaya memungut 2,738 undi tetapi gagal mengalahkan calon Perikatan, Abdul Rahman Daud yang mendapat 4,868 undi. Di Pasir Mas Utara, Haji Awang Haji Saad pula telah kalah kepada calon Perikatan, Che Omar Ali dengan majoriti 4,016 undi setelah beliau hanya memperolehi 1,595 undi. Di Machang, Yang Dipertua PAS Machang, Haji Mohd Noor Yusof yang dicalonkan oleh PAS tewas kepada calon Perikatan, Tuan Yaakub Engku Yunus dengan majoriti 6,636 undi. Calon Perikatan itu mendapat 8,838 undi, calon PAS (2,202 undi), manakala calon Parti Negara, Abdul Majid Noh hanya mendapat 1,406 undi. Haji Othman Minal yang mewakili PAS di Ulu Kelantan pula hanya memungut 225 undi, sedangkan calon Perikatan, Mohamad Ali Abdullah dan calon Parti Negara, Mohd Yusof Bangs masing-masing mendapat 5,908 dan 973 undi membolehkan Perikatan menguasai Ulu Kelantan dengan majoriti 4,935 undi. Perikatan mengaut bersih semua 16 kerusi yang dipertandingkan, di mana lapan daripadanya dimenangi tanpa bertanding.

Ekoran kemenangan Perikatan ini, Tengku Seri Maharaja, Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin telah dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan untuk tempoh 1955-1959. Setelah kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957, empat orang Ahli Majlis Undangan Negeri dari Perikatan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri mulai 1 September 1957 iaitu Hassan Yaakub (Kota Bharu Utara), Usman Mohd Udin (Tumpat Selatan), Mohamad Idris (Pasir Puteh Utara) dan Yaakub Awang (Pasir Mas Selatan). Walaupun PAS tidak memenangi sebarang kerusi di Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri 1955, menjelang kemerdekaan pada 1957, Ahli Majlis Undangan Negeri Pasir Mas Tengah, Abdul Rahman Daud yang tidak berpuas hati dengan sikap Umno dalam tuntutan kemerdekaan telah menyertai PAS, sekali gus membolehkan PAS mempunyai kerusi tunggal di Majlis Undangan Negeri Kelantan.

Tiada ulasan: