17 Februari 2017

Perlantikan Dato' Ishak Lotfi Omar Sebagai Menteri Besar Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pilihan Raya Umum Kali Pertama 24 Jun 1959 telah menyaksikan PAS berjaya merampas negeri Kelantan dari Perikatan setelah parti perkauman itu menguasai Kelantan sejak 1955. PAS berjaya menguasai 28 dari 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan membolehkan PAS membentuk kerajaan yang pertama selepas merdeka. PAS kemudiannya telah menamakan bekas pegawai kanan Majlis Agama Islam dan Adat Ustiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga ADUN Kota Bharu Selatan, Ustaz Ishak Lotfi Omar sebagai sebagai Menteri Besar Kelantan yang pertama selepas merdeka.

Menteri Besar Kelantan sebelum ini, Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah Tengku Zainal Abidin menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1953. Sebelum itu Menteri Besar Kelantan ialah Dato’ Che Hassan Salleh (1900-1920), Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud Ismail (1921-1944), Dato’ Seri Setia Raja Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud (1944-1953). Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perlantikan Menteri Besar Kelantan dibuat berdasarkan sistem demokrasi di mana parti yang menguasai DUN Kelantan akan membentuk kerajaan dengan diketuai oleh seorang Menteri Besar. Kejayaan menguasai 28 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri 1959, telah membolehkan PAS melantik pemimpin mereka menjadi Menteri Besar Kelantan.

Kemenangan PAS ke atas 28 dari 30 kerusi DUN Kelantan pada 24 Jun 1959 telah menyebabkan Badan Perhubungan PAS Kelantan memilih Ustaz Ishak Lotfi Omar, seorang ulamak lulusan Mekah sebagai Menteri Besar Kelantan, bersama Haji Mohamad Nasir (Machang Utara) selaku Timbalan Kepada Menteri Besar serta Tengku Mohamad ibni Sultan Mohamad Ke-IV (Pasir Puteh Utara), Ustaz Abdullah Yusof (Tok Uban), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (Pasir Puteh Tengah), Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Meranti), Mohd Yusof Noor (Machang Selatan), Abdul Rahman Daud (Rantau Panjang) dan Cikgu Mohd Daud Jamil (Tanah Merah Timor) sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, manakala Mohd Asri Haji Muda (Kota Bharu Tengah) sebagai Speaker DUN Kelantan. Mereka telah menangkat sumpah untuk membentuk kerajaan pada 9 Julai 1959 sekali gus menjadi negeri kedua yang dikuasai oleh PAS selepas Terengganu.

Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar yang dilahirkan pada 1917 merupakan anak saudara kepada Mohd Asri Haji Muda dan berpangkat cicit kepada bekas Menteri Besar Kelantan 1890-1894, Dato Maha Menteri Che Saad Ngah (Dato’ Che Ha’) yang terkenal itu. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Majlis (Madrasah Muhammadiyah) dan Sekolah Melayu Jalan Post Office Lama, selain belajar di Masjid Muhammadi, sebelum ke Mekah pada 1927 selama 10 tahun. Pada 1937, beliau pulang ke Kelantan dan menubuhkan Matba’ah al-Maarif sebelum menerbitkan majalah ar-Riwayah pada 1938. Beliau yang menjadi pegawai MAIK telah terlibat aktif dalam pergerakan politik di Kelantan sejak 1937 melalui Setiawan Belia dan Dewan Bahasa Melayu, selain turut terlibat dengan Pemuda Asuhan Bekerjasama (PAB) dan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum Perang Dunia Kedua. Pada zaman Jepun, beliau menyertai Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK), kemudian menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) sejak 1945, terlibat mengasaskan Umno pada 1946 dan akhirnya beliau menyertai PAS pada 1952.

Dengan terbentuknya Kerajaan PAS Kelantan pada 9 Julai 1959, ia menjadi kerajaan yang kedua ditubuhkan oleh PAS selepas pembentukan Kerajaan PAS Terengganu 29 Jun 1959. Kerajaan yang dibentuk ini bertahan selama 18 tahun sehinggalah ia tewas dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978 setelah Kelantan didaruratkan sejak November 1977. Datuk Bentara Jasa Haji Ishak Lotfi Omar yang merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-11 dalam kerajaan Dinasti Long Yunus sejak 1775 telah menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga Pilihan Raya Umum 1964, sebelum digantikan oleh Dato’ Mohd Asri Haji Muda.

Tiada ulasan: