21 Februari 2017

Sikap PAS Terhadap Laporan Fenn-Wu Dipertegaskan Di Majlis Undangan Persekutuan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perubahan dasar pendidikan sangat penting dalam membentuk kemajuan masyarakat, terutama bagi masyarakat pra merdeka. Dalam sejarah pendidikan negara, perkembangan pendidikan yang berlaku sejak abad ke-19 adalah berasaskan pendidikan vernakular di mana wujudnya sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris, selain sekolah agama yang berpengantar bahasa Arab. Kebanyakkan sekolah bukan sahaja berkiblat negara masing-masing, tetapi juga mengalami masalah infrastruktur yang sangat daif, selain masalah kewangan. Selepas PAS ditubuhkan pada 1951, isu pendidikan ini adalah antara aspek yang sangat diberikan perhatian oleh PAS, terutama dalam pembentukan dasar pendidikan.

Setelah British membentuk Negeri-negeri Selat sebagai tanah jajahannya pada 1826, pada akhir 1860-an, barulah isu pendidikan mendapat perhatian. Laporan Woolley 1870 telah melaporkan bahawa perkembangan pendidikan sangat perlahan di tanah jajahan British kerana ia tidak mendapat perhatian pihak pentadbiran Negeri-negeri Selat. Sebelum itu, laporan Jawatankuasa Isemonger 1869 telah mempertegaskan keperluan kerajaan memperuntukkan bajet untuk pendidikan di Negeri-negeri Selat, terutama kepada sekolah mubaligh Kristian. Dengan pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1895, Education Code 1899 telah diwujudkan sebagai lanjutan kepada perlantikan Federal Inspector of Schools for the Malay States pada 1896. Education Code ini dipinda pada 1908 untuk memajukan pendidikan dengan diwujudkan sistem perperiksaan dan geran bantuan. Laporan Cheesement 1938 pula telah mencadangkan supaya kurikulum sekolah Inggeris dan vernakular memberikan fokus kepada pendidikan kemahiran hidup atau vokasional.

Rancangan Cheesement telah dilaksanakan oleh British selepas Perang Dunia Kedua tetapi menghadapi masalah dengan sistem vernakular sehingga Jawatankuasa Barnes dibentuk pada 1950 untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk melalui pendidikan. Selain mencadangkan tambahan bantuan kewangan, Jawatankuasa Barnes juga mencadangkan diwujudkan satu sistem sekolah di peringkat rendah berasaskan bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi dibantah oleh orang Cina. British kemudiannya membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu pada 1951 untuk mengkaji semula laporan Jawatankuasa Barnes. Dr William Fenn, seorang rakyat Amerika dan Dr Wu Teh-yao, seorang pegawai PBB dari China telah mengetuai kajian tentang pendidikan Cina di Malaya dan mengeluarkan laporan mereka pada 1952 yang bertajuk “Chinese Schools and the Education of Chinese Malayans: The Report of a Mission Invited by the Federation Government to Study the Problem of the Chinese in Malaya” yang mencadangkan supaya sekolah vernakular dikekalkan tetapi bahasa Melayu dan Inggeris turut diajar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil.

Laporan Jawatankuasa Fenn-Wu telah dijadikan asas penggubalan Ordinan Pelajaran 1952 yang dibentangkan di Majlis Undangan Persekutuan pada 20 November 1952. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang merupakan Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Persekutuan turut membahaskan dasar pelajaran yang dikemukakan berasaskan laporan Jawatankuasa Fenn-Wu ini. Beliau bercakap mewakili suara PAS tentang pendidikan nasional, terutama menghadapi masalah perpaduan nasional. Terdahulu, beberapa Ahli Majlis Undangan Persekutuan seperti Dato’ Abdul Razak Hussein, Datin Puteh Mariah, Raja Musa Raja Mahadi, Tengku Mahmood Mahyudien dan Mohd Yusof Ahmad turut membahaskan penyata ini dengan menyentuh soal kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam arus perdana pendidikan kebangsaan, pendidikan wanita dan pendidikan agama. Persoalan pendidikan vernakular tidak mendapat perhatian Ahli-ahli berbangsa Melayu sama ada mewakili Umno, IMP atau PAS kerana isu sekolah Cina dan Tamil telah diberikan kedudukan oleh laporan ini, sebaliknya kedudukan bahasa Melayu sebagai pengantar tidak dipertegas kerana ia hanya menjadi pilihan yang diajar di sekolah Cina, Tamil dan Inggeris.

PAS memberikan perhatian yang berbeza terutama kepada dua isu iaitu kedudukan sekolah agama dan sekolah al-Quran yang dijangka akan terjejas kerana ia tidak termasuk dalam kelompok sekolah vernakular yang diiktiraf oleh dasar pelajaran yang baru ini. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan juga turut menekankan kedudukan pelajaran agama dan Jawi yang hanya diperuntukkan masa selama setengah jam sehari di sekolah Melayu yang dianggap tidak memadai untuk membentuk kefahaman anak-anak tentang agama, terutama pelajar yang tidak belajar di sekolah agama atau sekolah al-Quran. Walaupun wakil-wakil Umno berpandangan bahawa sekolah Melayu bukan tempat belajar agama, tetapi wakil PAS mahukan waktu belajar agama dan Jawi lebih lama diberikan kepada sekolah vernakular yang mempunyai pelajar Islam seperti mana mereka dikehendaki belajar bahasa Melayu. PAS juga mencadangkan supaya kerajaan menyediakan guru-guru agama yang berkelayakan dan berkebolehan bagi mengisi waktu setengah jam tersebut. Dalam menyokong pandangan Yang Dipertua Agung PAS ini, Mohd Yusof Ahmad, Ahli Tidak Rasmi yang mewakili Umno berpandangan bahawa pendidikan agama perlu diperluas kepada golongan remaja dan orang tua juga.

Tiada ulasan: