07 Februari 2017

Penubuhan PAS Perlis Sebagai Cawangan PAS Kelima

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perlis adalah bekas wilayah Kedah yang dijajah oleh Siam pada 1821 dan dijadikan sebuah negeri yang berasing pada 20 Mei 1943 dengan Syed Hussein Syed Harun Jamalullail dilantik menjadi Raja Perlis yang pertama. Negeri Perlis terkenal dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu kerana wujudnya gerakan pembaharuan sejak 1915 yang akhirnya menjadikan Perlis sebagai negeri Ahli Sunnah wal Jamaah. Selepas Perang Dunia Kedua, seorang tokoh agama di Perlis yang juga bekas Guru Besar Madrasah Alawiyah, Ustaz Salleh Othman, seorang lulusan Darul Ulum, Mesir yang berasal dari Kuala Lumpur, telah dilantik mengetuai Pejabat Perkara-perkara Agama dan Pelajaran Umno. Perlis turut melahirkan tokoh-tokoh PAS yang terkenal seperti Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (pengasas PAS Kedah), Ustaz Abu Bakar al-Asy’ari (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis), Ustaz Abu Bakar Hamzah (bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS) serta dua orang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Prof Dato’ Dr Haji Haron Din dan Tuan Guru Haji Hashim Jasin.

Sejarah PAS di Perlis bermula sejak wujudnya Pejabat Perkara-perkara Agama dan Pelajaran Umno pada 11 Mei 1946, dengan Ustaz Salleh Othman sebagai ketuanya. Pada 1949, pejabat ini dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Pada 21-22 Februari 1950, Bahagian Agama dan Pelajaran Umno telah menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar. Dalam persidangan yang mencadangkan supaya sebuah badan dakwah ditubuhkan oleh ulamak ini, satu-satu wakil Perlis yang hadir ialah Ustaz Salleh Othman sendiri yang mewakili Bahagian Umno Perlis. Sedangkan dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur, Bahagian Umno Perlis diwakili Ustaz Mokhtar Ismail. Dalam persidangan inilah Pertubuhan Ulamak Se-Malaya (kemudiannya Persatuan Islam Se-Malaya – PAS) ditubuhkan. Pada peringkat ini, belum ada tokoh agama yang menonjol dalam kepemimpinan ummah dari Perlis, walaupun terdapat tokoh-tokoh reformasi di sana.

Keputusan ulamak untuk menubuhkan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya yang berasingan dari Umno telah menyebabkan Umno Perlis tidak menghadiri Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951. Namun begitu, Perlis diwakili oleh Perikatan Imam-imam Perlis dengan dua wakil ialah Yang Dipertua Perikatan Imam-imam Perlis, Ustaz Haji Ahmad Long dan Imam Besar Masjid Alawiyah, Sheikh Abu Bakar al-Asy’ari, yang mana kedua-dua tokoh ini adalah ahli Umno Perlis. Walaupun mereka tidak terlantik sebagai pimpinan PAS dalam persidangan ini, pada 3 April 1952, Jawatankuasa Kerja PAS telah bersetuju dengan cadangan Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan untuk melantik Ustaz Haji Ahmad Long sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS bagi sesi 1951-1953. Jawatankuasa Kerja PAS juga memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangannya di seluruh Tanah Melayu.

Selepas tertubuhnya Cawangan-cawangan PAS di Bandar Pulau Pinang (9 Mac 1952), Bukit Mertajam (20 April 1952) dan Perak (26 April 1952), usaha-usaha untuk menubuhkan cawangan PAS di Perlis mula digerakkan. Antara tokoh awal yang menggerakkan usaha penubuhan PAS di Perlis ialah Tuan Guru Haji Adnan Abdullah atau Lebai Adnan dan Tuan Guru Haji Ismail Naim Salim, selain Ustaz Haji Ahmad Long sendiri. Selepas penubuhan PAS di Perak, mereka segera mengaturkan penubuhan PAS di Perlis pula, di mana pada awal Mei 1952, mereka telah mengiklan satu perjumpaan umat Islam di Kangar bagi tujuan menubuhkan PAS di Perlis. Akhbar Warta Negara pada 2 Mei 1952 telah menyiarkan rancangan ulamak-ulamak Perlis itu.

Sebagai mana yang telah dirancang, pada 8 Mei 1952, satu perjumpaan yang dihadiri oleh 30 orang umat Islam di Sekolah Perempuan Melayu, Kangar telah berhasil menubuhkan PAS Cawangan Perlis sebagai cawangan PAS yang kelima. Perjumpaan yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis ini telah melantik Lebai Adnan Abdullah, Mudir Pondok Sungai Padang sebagai Yang Dipertua PAS Perlis, manakala Syed Omar Syed Hussein dan Syed Ahmad Syed Alwi al-Hadad masing-masing dilantik sebagai Setiausaha dan Penolong Setiausaha PAS Perlis. Mudir Madrasah Islahiyah, Bohor Mali, Tuan Guru Haji Ismail Naim Salim turut terlantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Perlis. Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis ketika membuka perjumpaan ini, menganggap PAS sebagai sebuah pertubuhan yang mempunyai kesedaran untuk memajukan bangsa dan agamanya.

Pergerakan PAS Perlis pada peringkat awal ini banyak tertumpu di pondok-pondok termasuk Pondok Sungai Padang dan Pondok Bohor Mali, di mana Madrasah Islahiyah Bohor Mali menjadi pusat operasi PAS. Pada 1954, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan PAS Daerah Kedah/Perlis dengan melantik Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Mudir Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar, Kedah sebagai pesuruhjayanya. Pada 1955, perkembangan PAS semakin baik di Perlis apabila dua tokoh reformis, Sheikh Abu Bakar al-Asy’ari (Imam Masjid Alawiyah) dan Ustaz Abu Bakar Hamzah (Ketua Pemuda Umno Perlis) menyertai PAS, diikuti oleh Cikgu Taharim Arifin, seorang guru besar di Sanglang dan Ustaz Ibrahim Yasin, seorang ulamak muda turut menyertai PAS. Dalam Pilihan Raya Negeri Perlis 1955, PAS Perlis telah berjaya meletakkan lima orang calon iaitu Lebai Adnan Abdullah (Sanglang), Syed Kassim Syed Othman (Kuala Perlis), Shafie Omar (Utan Aji), Haji Ghazali Mohamad (Paya) dan Haji Rajab Mohamad (Beseri). Walaupun PAS tidak memenangi sebarang kerusi, pengaruh PAS mulai berkembang di Perlis selepas 1955 di bawah pimpinan Ustaz Haji Ahmad Long sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis.

Tiada ulasan: