16 Februari 2017

Pergolakan Kaum Muda Dan Kaum Tua Pecahkan Kesatuan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pergolakan khilafiyah menjadi salah satu punca perpecahan gerakan Islam di seluruh dunia dan ia dijadikan senjata ampuh oleh musuh dalam menghadapi kebangkitan Islam. Di Alam Melayu, pengalaman Sarekat Islam sejak 1912 yang mengalami perpecahan kerana isu Kaum Muda yang membentuk Muhammadiyah dan Kaum Tua di bawah Nahdatul Ulamak sangat menguntungkan Belanda, bahkan perpecahan itu berlarutan hingga kini. Isu-isu khilafiyah telah dijadikan alat untuk memecahkan umat Islam yang asalnya bersatu atas perkara kewajipan menuntut kemerdekaan, menegakkan negara Islam dan melaksanakan syariat.

Kebangkitan Islam di Tanah Melayu yang ditandai oleh penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947, diikuti oleh terbentuknya Hizbul Muslimin (1948) dan PAS (1951) sangat mendapat perhatian penjajah. Setelah berjaya melumpuhkan Hizbul Muslimin dengan Ordinan Darurat 1948 atas isu keganasan komunis, isu Kaum Muda-Kaum Tua dijadikan alat untuk memecahkan PAS. Penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951 telah didukung oleh ulamak dari kedua-dua aliran kerana kesepakatan mereka tentang kewajipan menegakkan negara Islam dan melaksanakan syariat, di samping perjuangan menuntut kemerdekaan. Penyatuan ini telah berjaya mengukuhkan tapak perjuangan Islam sehingga penubuhan PAS dianggap ancaman kepada penjajah.

Penubuhan PAS pada awalnya dipelopori oleh ulamak Kaum Tua seperti Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Sheikh Fadhlullah as-Suhaimi, Sheikh Abdullah Fahim dan lain-lain. Kerana dasar dan matlamat PAS yang mahu menegakkan Islam, ulamak Kaum Muda seperti Sheikh Ibrahim Aqibi juga turut menyertai PAS. Pada 9 Mac 1952, Sheikh Ibrahim Aqibi telah mengetuai penubuhan PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang, manakala pada 3 April 1952, PAS telah melantik Sheikh Abdullah Fahim sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS, sedangkan dalam bulan Mei 1952, Dewan Ulamak PAS telah menganjurkan Perjumpaan Sekolah-sekolah Agama Rakyat yang menyatukan ulamak kedua-dua aliran. Menyedari perkembangan positif ini, mula wujud usaha melaga-lagakan ulamak PAS dengan membangkitkan isu-isu khilafiyah seperti bilangan rakaat terawih, cara penetapan permulaan puasa dan hari raya, cara bayaran zakat, jumlah minimum solat Jumaat dan lain-lain sehingga timbulkan perdebatan dan polemik antara ulamak-ulamak PAS pada separuh kedua 1952. Media massa menjadi wahana yang menghangatkan polemik ini sehingga wujud keretakan dalam PAS.

Menyedari fenomena yang tidak menguntungkan kebangkitan Islam ini, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah mengambil langkah menganjurkan Muzakarah Ulamak Se-Malaya di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas pada 4 Januari 1953 untuk membincangkan 16 perkara khilafiyah antara kedua-dua aliran. Malangnya, muzakarah ini tidak dihadiri oleh ulamak Kaum Muda yang menyebabkan objektif muzakarah tidak tercapai. Dalam pada itu, tokoh Kaum Muda terkenal, Sheikh Tahir Jalaluddin telah menuliskan sebuah buku, “Risalah Penebas Bid’ah di Kepala Batas” yang menghangatkan lagi perselisihan. Pada 2-3 Mei 1953 pula, ulamak Kaum Muda yang dipimpin oleh Sheikh Ibrahim Aqibi telah menjemput Sheikh A Hassan Bandung, tokoh Kaum Muda terkenal di Indonesia untuk mengadakan Muzakarah Ulamak di Chung Long School, Pulau Pinang yang tidak disertai pula oleh ulamak Kaum Tua PAS.

Perselisihan yang tidak berkesudahan ini akhirnya menyebabkan PAS berpecah. PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang dipimpin oleh Sheikh Ibrahim Aqibi telah mulai tidak aktif dan akhirnya terbubar kerana tidak bersetuju dengan Ketua Dewan Ulamak PAS, Sheikh Abdullah Fahim yang juga Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai. PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang tidak menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua di Bagan Datuk pada 26-27 Ogos 1953. Berlanjutan dari konflik ini, pada 1956, ulamak-ulamak Kaum Tua telah menubuhkan Nahdatul Ulamak Malaya di Perak, diikuti oleh penubuhan Muhammadiyah oleh Kaum Muda di Pulau Pinang pada 1957. Penyatuan semula kedua-dua aliran ini hanya dapat diwujudkan semula dalam PAS setelah Dr Burhanuddin al-Helmy dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada akhir 1956.

Tiada ulasan: