24 Februari 2017

Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS - Merungkai Konflik Kepemimpinan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perletakan jawatan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 26 September 1953 telah menimbulkan krisis kepemimpinan PAS beberapa ketika. Ini kerana PAS baru sahaja mengadakan pemilihan parti sebulan sebelumnya, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953. Tambahan pula Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias yang baru dipilih berada di Mekah kerana memimpin pasukan perubatan jemaah haji. Keadaan menjadi semakin sukar kerana Undang-undang Tubuh PAS 1953 tidak memperuntukkan tentang “Pemangku Yang Dipertua Agung PAS” jika berlaku sebarang insiden melibat jawatan tertinggi PAS itu.

Faktor ketiadaan Dr Haji Abbas Alias dalam negara dan ketiadaan peruntukan undang-undang untuk memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS telah mendorong Jawatankuasa Tadbir PAS (hari ini Jawatankuasa Harian PAS) pada 30 Oktober 1953 membincangkan langkah-langkah untuk merungkai masalah ini. Dua keputusan penyelesaian dicapai iaitu; pertama, bersetuju supaya Dr Haji Abbas Alias diangkat sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS tetapi ia mesti dipersetujui sebelum 15 November 1953; atau kedua, jika Dr Haji Abbas Alias menolak, Setiausaha Agung PAS akan membuka pencalonan kepada semua Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan semua Cawangan PAS. Kemudian nama calon-calon akan diedar untuk dipilih oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan semua Cawangan PAS, di mana calon yang terpilih akan disahkan sebagai Pemangku Yang Dipertua Agung PAS.

Pada 15 November 1953, sebaik sahaja pulang dari Mekah, Dr Haji Abbas Alias telah dikunjungi tiga pimpinan PAS iaitu Ustaz Othman Abdullah (Ketua Dewan Pemuda PAS), Tuan Guru Haji Mohd Nor Mahyuddin dan Haji Abdullah Akin (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) untuk memaklumkan keputusan Jawatankuasa Tadbir PAS itu. Melihat krisis ini, Dr Haji Abbas Alias dilaporkan “dengan penuh keikhlasan dan keinsafan sanggup memimpin PAS ini sehingga Mesyuarat Agung yang ketiga.” Pada 17 November 1953, Dr Haji Abbas Alias mengesahkan penerimaannya untuk memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS. Beliau kemudiannya secara rasmi menjadi Pemangku Yang Dipertua Agung PAS mulai 27 November 1953.

Pada 25 Disember 1953, buat pertama kali Dr Haji Abbas Alias memimpin Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Beliau menegaskan, “Saya mengambil tempat ini (jawatan Yang Dipertua Agung PAS) kerana saya ingin melihat persatuan yang berdasarkan agama ini maju dan berkekalan….” Dalam mesyuarat pertama yang dipimpin oleh Dr Haji Abbas Alias ini, PAS memutuskan supaya penglibatan PAS dalam National Convention tajaan Umno-MCA ditamatkan kerana dasar-dasar mereka yang merugikan agama Islam dan orang Melayu. Walau bagaimanapun PAS mengambil pendirian untuk menyokong usaha menuntut pilihan raya segera diadakan ke arah berkerajaan sendiri.

Dalam tempoh antara Januari hingga Mei 1954, PAS terpaksa berhadapan dengan isu-isu yang besar dalam soal kenegaraan yang memerlukan kepemimpinan yang berkesan. Antaranya ialah penghantaran Rombongan ke London pada 21 April 1954 setelah kerajaan British sedia berunding tentang tuntutan pilihan raya segera, dan pada hari yang sama berlangsung Muktamar Islam Asia Tenggara di Kuala Lumpur kerana membincangkan hukum penyertaan umat Islam dalam pilihan raya. Ini ekoran terbitnya Kertas Putih Bilangan 21 pada 1 Februari 1954 tentang cadangan mengadakan pilihan raya. Perkembangan politik Tanah Melayu sepanjang awal 1954 terfokus kepada persoalan pilihan raya yang akan diadakan dan PAS sangat memerlukan pemimpin yang berkesan, sedangkan Dr Haji Abbas Alias yang berkhidmat sebagai Pegawai Kesihatan di Pejabat Kesihatan Malaya di Kelang menghadapi masalah perhubungan dengan Pejabat Agung PAS yang terletak di Kepala Batas, Seberang Perai.

Di sebalik usaha keras Dr Haji Abbas Alias mengemudi dan mengembangkan pengaruh PAS, pada Jun 1954, rombongan haji 1337 Hijriyah dari Tanah Melayu akan bertolak ke Mekah dan Dr Haji Abbas Alias sekali lagi akan memimpin pasukan perubatan jemaah haji. Ini memaksa beliau meninggalkan PAS antara Jun hingga November 1954, yang sekali gus memberi kesan buruk kepada kepemimpinan parti dalam menghadapi perubahan politik yang sedang berkembang ketika itu. Bagi menghadapi kelompangan kepemimpinan untuk tempoh lima bulan ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Mei 1954 telah memutuskan untuk membentuk dan melantik sebuah “Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS” untuk memimpin PAS.

Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS ini ditugaskan untuk mengendali dan memimpin PAS dalam tempoh pemangkuan sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga yang dijangka diadakan dalam bulan Ogos 1954 melantik seorang Yang Dipertua Agung PAS yang baru. Tiga tokoh yang diberikan amanah untuk memimpin PAS dalam Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS ini ialah Cikgu Ahmad Awang (Setiausaha Agung PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin (Bendahari Agung PAS) dan Haji Mansor Hassan JP (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Mereka berfungsi sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pads 12-14 Ogos 1954, di mana Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada pembukaan mesyuarat agung itu, sebelum Dr Haji Abbas Alias dipilih secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 14 Ogos 1954 yang sekali gus merungkai masalah kepemimpinan PAS.

Tiada ulasan: