27 Januari 2017

Penubuhan PAS Kawasan Sebagai Pengukuh Akar Umbi PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Sewaktu PAS menggubal Undang-undang Tubuhnya pada 24 November 1951, telah ditetapkan supaya parti ini mengukuhkan akar umbinya melalui pengwujudan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu. Mengikut Undang-undang Nombor 15 Undang-undang Tubuh PAS, cawangan PAS boleh ditubuhkan di mana-mana kawasan yang difikirkan patut dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS, dengan syarat mempunyai tidak kurang 50 orang ahli PAS. Setiap Cawangan PAS akan diketuai oleh “Yang Dipertua PAS Cawangan.” Undang-undang Tubuh PAS 1951 ini sebenarnya telah meminda cadangan draf Undang-undang Tubuh PAS yang asalnya mencadangkan setiap cawangan perlu mempunyai minimum 100 orang ahli dengan diketuai oleh seorang “Penasihat”.

Sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pertama pada 3 Januari 1951, PAS telah berjaya menubuhkan 13 buah cawangan di seluruh Tanah Melayu. Ia adalah hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS pada 3 April 1952 yang memutuskan supaya PAS membuka cawangan-cawangannya di seluruh Tanah Melayu dengan sasaran 20 buah cawangan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pertama. Cawangan pertama yang ditubuhkan ialah PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang pada 9 Mac 1952, diikuti oleh Bukit Mertajam (20 April 1952), Perak (kemudiannya Kuala Kangsar) (26 April 1952), Kerian (6 Julai 1952), Perlis (8 Mei 1952), Kuala Lumpur (13 Julai 1952) dan Bukit Besar (6 September 1952). Cawangan yang lain ialah Rembau (Negeri Sembilan), Hilir Perak (Perak), Bayan Lepas dan Pokok Sena (Pulau Pinang), Singapura (Singapura), Sentul dan Sungai Penchala (Selangor). PAS juga mula dikembangkan ke Kelantan pada 9-11 September 1952, tetapi hanya berjaya menubuhkan cawangan pertama di Pasir Mas pada 23 Julai 1953.

Dengan kewujudan semakin banyak Cawangan PAS di seluruh Tanah Melayu pada 1953, PAS mula mengubah gelaran untuk pemimpin tertingginya dari “Yang Dipertua PAS” kepada “Yang Dipertua Agung PAS” untuk membezakannya dengan “Yang Dipertua PAS Cawangan.” Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26-27 Ogos 1953 memutuskan pemimpin tertinggi PAS dikenali sebagai “Yang Dipertua Agung PAS,” sedangkan pemimpin cawangan sebagai “Yang Dipertua PAS Cawangan.” Pemimpin lain di peringkat cawangan ialah seorang Setiausaha, seorang Penolong Setiausaha, seorang Bendahari dan lina orang Ahli Jawatankuasa Kerja. Oleh kerana PAS tidak menetapkan sempadan kawasan bagi sesebuah PAS Cawangan, maka terdapat Cawangan PAS ditubuhkan mengikut sempadan negeri seperti PAS Cawangan Perak, Perlis dan Singapura. Sedangkan di tempat lain mengikut lokaliti seperti Bukit Mertajam dan Pokok Sena di Seberang Perai. Asas mereka ialah mempunyai 50 orang keahlian.

Memandangkan kewujudan Cawangan PAS yang tidak mengikut sempadan ini, Undang-undang Tubuh (Pindaan) 1963 telah menghadkan kawasan sesuatu Cawangan PAS adalah mengikut daerah (atau jajahan di Kelantan) di mana hanya boleh ditubuhkan satu Cawangan PAS sahaja bagi satu daerah. Syarat ini kemudiannya diperkemaskan lagi apabila PAS mendapati gangguan kepada jentera pilihan raya seperti yang berlaku di Kelantan. PAS Cawangan Kota Bharu dalam Pilihan Raya Umum 1969 misalnya, terpaksa mengendalikan tiga kawasan parlimen dalam Jajahan Kota Bharu iaitu Kota Bharu Hulu, Kota Bharu Hilir dan Kelantan Hilir. Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 telah menetapkan supaya PAS Cawangan dibentuk mengikut sempadan daerah (atau jajahan) atau kawasan pilihan raya parlimen sehingga membolehkan PAS Cawangan wujud di setiap kawasan parlimen.

Bagi menyusun semula organisasi PAS mengikut keperluan semasa, Perlembagaan PAS (Pindaan) 1978 telah menamakan PAS Cawangan sebagai “PAS Kawasan” dengan sempadan mereka kekal mengikut daerah atau kawasan parlimen, manakala nama PAS Cawangan bertukar menggantikan PAS Ranting, iaitu struktur terkecil PAS yang diwujudkan sejak 1954. Kini, PAS Kawasan dianggotai oleh minimum 200 orang ahli dengan dipimpin oleh seorang Yang Dipertua PAS Kawasan, seorang Timbalan Yang Dipertua, seorang Naib Yang Dipertua, seorang Setiausaha, tiga orang Penolong Setiausaha, seorang Bendahari, seorang Ketua Penerangan, seorang Pengarah Pilihan Raya dan tidak lebih 24 orang Ahli Jawatankuasa Kerja. PAS Kawasan boleh dianggap nadi yang menghubungkan PAS Pusat dengan akar umbi parti yang berada dalam PAS Cawangan, selain berfungsi menggerakkan parti menerusi Badan Perhubungan PAS Negeri.

Tiada ulasan: