29 Januari 2017

Ittihad Muhammadi - Kebangkitan Terhadap Gerakan Melumpuhkan Khilafah Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kekhalifahan Othmaniyyah yang menggantikan Daulah Abbasiyah pada 1512 telah terancam oleh gerakan Freemason yang menubuhkan gerakan Turki Muda (The Young Turks) pada 1860. Bermula dengan penguasaan mereka ke atas Dewan Menteri pada era Sultan Abdul Majid I (1839-1861), gerakan Freemason telah membolehkan mereka melakukan pembaharuan Perlembagaan Othmaniyah 23 Disember 1876, tiga bulan selepas Sultan Abdul Hamid II (1842-1918) berkuasa. Era ini telah mengubah Khilafah Othmaniyah dari sebuah kekhalifahan mutlak kepada khalifah berperlembagaan mulai 1876.

Penubuhan Parlimen (Tanzimat) Othmaniyah melalui perlembagaan baru telah membolehkan golongan muda yang sekular menguasai khalifah yang semakin hilang kuasa. Mereka kemudiannya menubuhkan parti Ittihad wat Taraqqi (Perpaduan dan Kemajuan) yang melancarkan Revolusi Turki Muda pada 24 Julai 1908. Akibat dari revolusi yang dipengaruhi oleh Freemason ini, pada 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid II telah diturunkan takhta, sekali gus menandakan berakhirnya era Khalifah Othmaniyah. Khalifah berikutnya, Sultan Mohamad V (1909-1918), Sultan Mohamad VI (1918-1922) dan Sultan Abdul Majid II (1922-1924) adalah khalifah yang bukan sahaja tidak mempunyai kuasa langsung, tetapi menjadi sekular.

Antara kesan terbesar kejatuhan Sultan Abdul Hamid II pada 1909 ialah berakhirnya zaman pemerintahan Islam apabila Ittihad wat Taraqqi menjadikan sekular sebagai dasar negara yang baru. Dasar, undang-undang, mahkamah dan budaya telah diubah dari Islam kepada sekular. Perubahan dasar negara oleh Ittihad wat Taraqqi ini telah membangkitkan kemarahan umat Islam, sehingga mendorong mereka menubuhkan sebuah parti politik Islam yang berjuang menegakkan semula syariat Islam dalam perlembagaan Othmaniyah. Parti Islam ini dikenali sebagai Ittihad Muhammadi Cemiyeti (Kesatuan Umat Islam) yang ditubuhkan pada 5 April 1909, menjelang kejatuhan Sultan Abdul Hamid II.

Gagasan yang telah berbangkit sejak 1908 ini dipimpin oleh seorang ulamak hafiz dari Cyprus, Sheikh Darvish Vehdati. Beliau asalnya adalah pemilik dan pengarang Volcano (Vulkan Gezzate), sebuah tabloid pro khalifah, telah menyuarakan pandangan keras terhadap sekukarisme yang dibawa oleh Ittihad wat Taraqqi. Tabloid yang mula diterbitkan pada 10 November 1908 telah membangkitkan keagungan kerajaan Islam dan menentang keras sekularisme yang sedang berkembang dalam pentadbiran kerajaan. Dari gagasan-gagasan yang diperjuangkan oleh Vulkan Gezzate, Sheikh Darvish Vehdati telah menganjurkan keperluan menubuhkan parti politik Islam sebagaimana golongan sekular menubuhkan parti Ittihad wat Taraqqi untuk menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II. Ketika ini Ittihad wat Taraqqi dan akhbar pro mereka, Tanim sedang mempropagandakan sekularisme dan mendesak supaya Islam diubah seperti mana Kristian untuk disesuaikan dengan perubahan zaman.

Selepas perjumpaan pertama di Masjid Aya Sophia pada 3 April 1909, Sheikh Darvish Vehdati al-Hafiz telah melancarkan penubuhan parti Islam, Ittihad Muhammadi Cemiyeti pada 5 April 1909, 22 hari sebelum Sultan Abdul Hamid II diturunkan takhta dalam Revolusi Turki Muda. Parti Islam ini mendapat sokongan kuat daripada Sheikh Said Nursi Badiuzzaman, pemimpin gerakan sufi an-Nur. Parti ini mendesak supaya perlembagaan Othmaniyah digantikan dengan “Seriat” (syariat Islam), selain mendesak supaya Islam dijadikan asas pemodenan Othmaniyah. Sultan Abdul Hamid II turut memberi sokongan terhadap tuntutan Ittihad Muhammadi dan Vulkan Gezzate. Vulkan Gezzate mula melancarkan kempen menentang kerajaan sekular Ittihad wat Taraqqi dengan mendesak mereka melaksanakan semula syariat, mengamalkan syura dalam pentadbiran kerajaan dan mengembalikan sistem mahkamah dan pendidikan Islam.

Ketika desakan Ittihad Muhammadi semakin lantang, pada 13 April 1909, askar dari tentera pertama telah memberontak terhadap kerajaan Ittihad wat Taraqqi kerana menuntut perlaksanaan Islam. Ia dikatakan diaturkan oleh musuh politik Ittihad wat Taraqqi termasuk Sheikh Darvish Vehdati. Tetapi ada banyak kajian mendakwa pemberontakan ini ditaja secara sulit oleh Ittihad wat Taraqqi untuk mencipta alasan menjatuhkan sultan. Pada 24 April 1909, tentera Harikat Urdusu (Tentera Bertindak) yang diketuai oleh Mahmud Syaukat telah berjaya mematahkan pemberontakan dan mengisytiharkan undang-undang tentera di Istanbul sekali gus memulakan Revolusi Turki Muda. Akibatnya, Ittihad Muhammadi telah diharamkan oleh tentera dan Sheikh Darvish Vehdati dijatuhkan hukuman gantung. Pada 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid II diturunkan takhta yang menandakan bermulanya sekularisme secara rasmi dalam kerajaan Othmaniyah.

Tiada ulasan: