05 Januari 2017

Muktamar Islam Tenggara Asia - Putuskan Keperluan Umat Islam Meyertai Pilihanraya

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Muktamar Islam Tenggara Asia merupakan perhimpunan penting umat Islam dan para ulamak di Tanah Melayu sebelum merdeka kerana ia membincangkan strategi umat Islam dalam menghadapi perubahan politik pasca Perang Dunia Kedua. Antara desakan penting yang dihadapi oleh umat Islam adalah hukum penyertaan mereka dalam pilihan raya secara demokrasi yang diperkenalkan oleh penjajah. Penjajah dalam rangka memerdekakan negara-negara jajahan mereka termasuk Tanah Melayu dan Indonesia telah mewujudkan sistem demokrasi berpilihan raya sebagai cara membentuk kerajaan rakyat.

PAS sendiri melalui Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 25-26 Ogos 1953 telah memutuskan supaya diadakan Muktamar Islam Se-Malaya bagi membincangkan kedudukan politik umat Islam di Malaya dan Singapura pasca perang, dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25-26 Disember 1953 telah membincangkan cadangan untuk menganjurkan Kongres Ulamak Se-Malaya. Tujuan utamanya adalah untuk menentukan sikap umat Islam dalam soal pilihan raya, hak mengundi, populasi bukan Islam dan persediaan menghadapi kemerdekaan. Salah satu langkah untuk berkerajaan sendiri yang disusun oleh PAS melalui National Conference dan National Convention ialah mengadakan pilihan raya umum segera di peringkat bandaran, negeri dan persekutuan.

Kongres Ulamak Se-Malaya menurut rancangan awal PAS akan menjadi titik kepada penubuhan Dewan Ulamak PAS yang berperanan untuk menasihati pergerakan PAS supaya selaras dengan al-Quran dan Sunnah dalam perjuangan kemerdekaan, sekali gus bergerak seperti yang dirancang dalam Program Politik PAS. Namun begitu, kerana keadaan politik yang tidak mengizinkan, PAS telah menangguhkan kongres ini sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga.

Pergerakan PAS dalam menuntut pilihan raya segera telah bermula dengan penyertaan PAS dalam National Conference anjuran 16 orang kenamaan termasuk tujuh Menteri Besar pada 27 April 1953, sebelum PAS menyertai pula National Convention anjuran Perikatan Umno-MCA pada 23 Ogos 1953. Kedua-dua badan ini bertujuan untuk mendesak British mengadakan pilihan raya segera bagi seluruh Malaya sebagai persiapan ke arah berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan.

Selain isu tuntutan pilihan raya supaya diadakan di Malaya antara 1954 hingga 1956, di Indonesia, Pemilihan Umum (Pemilu) akan diadakan pada 29 September 1955. Persoalan hukum penyertaan umat Islam ini telah dibahas oleh alim ulamak Indonesia. Pada 11-15 April 1953, Muktamar Alim Ulamak dan Muballigh Se-Indonesia di Medan telah mengeluarkan fatwa mewajibkan penyertaan umat Islam dalam pilihan raya di negara tersebut, diikuti oleh fatwa serupa dari Majlis Syura Pusat Masyumi pada 24 Februari 1953.

Bagi membincangkan isu yang sama, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26-27 Mac 1954 telah memutuskan supaya PAS menyertai Muktamar Islam Tenggara Asia di Kuala Lumpur dengan diwakili oleh Haji Sulaiman Basri, Ustaz Haji Zabidi Ali dan Mohamad Hanif. Beberapa pimpinan PAS yang lain seperti Abdul Hamid Sharif, Haji Ahmad Ali, Kiyai Yassin, Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Othman Abdullah hadir sebagai pemerhati. Muktamar yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 April 1954 ini telah dihadiri oleh alim ulamak dari pelbagai negeri seluruh Malaya dan mengambil pendirian berkait hukum penyertaan umat Islam dalam pilihan raya di Indonesia.

Berita APB pada 22 April 1954 telah melaporkan bahawa:

 “… alim ulamak Malaya dari berbagai-bagai tempat telah memutuskan bahawa penyertaan umat Islam Indonesia di dalam pilihan raya umum yang akan diadakan di Indonesia nanti adalah fardhu ain hukumnya, dan adalah haram jika umat Islam Indonesia tidak ikut serta dalam pilihan raya itu nanti.”

Ekoran daripada keputusan muktamar ini, PAS juga telah mengambil pendirian supaya umat Islam menyertai Pilihan Raya Umum Malaya yang diadakan pada 27 Julai 1955.

Tiada ulasan: