28 Januari 2017

Seruan Bersekutu Alim Ulamak Ancam Perikatan Dalam Pilihan Raya Umum 1955

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pilihan Raya Umum 1955 yang berlangsung pada 27 Julai 1955 telah menyaksikan pertembungan di antara parti-parti perkauman – Umno, MCA dan MIC – yang bergabung dalam Perikatan dengan parti-parti kiri dan parti Islam, PAS. Turut mengambil bahagian ialah calon-calon Bebas, yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang tidak berpuas hati dengan parti masing-masing, termasuk Umno. Walaupun secara umumnya hanya Perikatan yang membuat pakatan politik, sedangkan parti-parti lain bertanding secara bersendirian, tetapi sekelompok ulamak dari pelbagai parti telah membuat pakatan dalam pilihan raya ini untuk menyaingi Umno. Oleh kerana kumpulan ulamak ini dipimpin oleh ulamak bekas pemimpin Umno, Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution, gerakan ini sedikit sebanyak telah menggugat Umno di kawasan pengundi Melayu.

Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution, Mudir Pondok Maahad Ehya al-Ulum ad-Diiniyah, Tanjung Pauh, Jitra, Kedah merupakan pemimpin Umno Kedah Utara yang juga salah seorang pengasas dan bekas Setiausaha Persatuan Ulamak Kedah (PUK). Beliau dilahirkan pada 1 Mac 1912 di Langgar, Alor Setar dan mendapat pendidikan di Pondok Tok Kenali, Pondok Masjid Muhammadi dan Pondok Bunut Payung di Kelantan antara 1928 hingga 1940. Beliau mengajar di Pondok Pulau Pisang dan Pondok Titi Besi, Kepala Batas sebelum membuka pondoknya sendiri di Tanjung Pauh pada akhir 1940. Beliau juga aktif menulis dan menterjemah buku-buku agama dan perjuangan kemerdekaan sehingga jumlahnya mencecah 100 buah. Kerana tidak berpuas hati dengan sikap Umno terhadap para ulamak, beliau bertanding sebagai calon Bebas pada 1955, sebelum menyertai PAS seusai pilihan raya ini.

Walaupun sebelum ini beliau aktif dalam Persatuan Sahabat Pena Malaya (PASPAM), Kesatuan Melayu Kedah (KMK), PUK dan Umno, tetapi kerana tidak berpuas hati terhadap layan Umno kepada para ulamak, beliau bertindak menentang calon Umno / Perikatan, Syed Ahamad Shahabuddin di kerusi Kedah Utara. Beliau mendakwa Umno telah mengamalkan politik kronisme dan sering meminggirkan para ulamak dalam organisasi mereka, selain mengabaikan ulamak-ulamak pondok. Beliau menerima kecaman hebat dari Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra kerana serangan beliau ke atas Umno itu mempengaruhi pengundi Melayu. Bagi menjayakan gerakan yang dibuat oleh Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution ini, beliau telah berusaha menyatukan ulamak-ulamak pondok yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum 1956 tanpa mengira parti.

PAS pada asalnya tidak terlibat dengan gerakan yang dibuat oleh Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution, telah melihat isu-isu yang dibangkitkan ini mempunyai kebenaran dan wajar disokong. Pada 9 Julai 1955, Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution telah melancarkan kempen supaya umat Islam hanya menyokong dan mengundi ulamak yang bebas sahaja. PAS pada mulanya menafikan terlibat dengan kempen ini, tetapi oleh kerana gerakan ini boleh melemahkan Umno, maka beberapa ulamak PAS menyertai pakatan ulamak bebas tersebut. Pakatan ulamak bebas ini telah menamakan gerakan mereka sebagai Seruan Bersekutu Alim Ulamak Bebas 7 Negeri. Antara ulamak yang terlibat ialah Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution (Bebas), Ustaz Haji Zabidi Ali (PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (PAS), Ustaz Abu Bakar al-Baqir (Perak Malay League – PML), Ustaz Abdul Wahab Nor (PAS), Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad (PAS), Ustaz Othman Abdullah (PAS), Ustaz Salleh Shafie (PAS), Haji Mohd Nor Yusof (PAS), Prof Zulkifli Mohamad (PAS), Mohd Yassin Salleh (PAS) dan Ustaz Che Mat Che Kassim (Bebas).

Seruan Bersekutu Alim Ulamak Bebas 7 Negeri ini bertujuan untuk membela kejatuhan Islam, selain mendesak parti yang memerintah agar menghargai alim ulamak. Di kalangan calon-calon yang terlibat dengan gerakan ini, hanya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, calon PAS di kawasan Kerian sahaja yang memperolehi kemenangan. Walaupun gerakan ini merupakan satu pakatan politik yang longgar, ia telah berjaya menggugat Umno / Perikatan sehingga memaksa Tunku Abdul Rahman Putra mengecam tindakan para ulamak tersebut. Pilihan raya ini telah memberikan pendedahan kepada para ulamak tentang kerjasama politik sesama mereka tanpa mengira parti politik.

Tiada ulasan: