01 Januari 2017

Politik Dan Kepartian : Mengapa Kita Perlu Mengambil Tahu?

Politik (dalam konteks kenegaraan) adalah sebuah disiplin ilmu mengenai urustadbir negara, dalam usaha meraih kuasa pemerintahan secara bersistem (seperti pilihanraya ataupun mesyuarat pemilihan). Namun, perilaku menginginkan kuasa pemerintahan ini kebiasaannya dilihat jelik oleh kebanyakan daripada kita (khususnya mereka yang tidak gemar akan perbezaan pendapat) kerana ia dilihat mampu membawa kepada pepecahan masyarakat.

Walaupun begitu, suatu kuasa pemerintahan yang diperolehi melalui penglibatan politik mampu memastikan Islam sentiasa dimartabatkan ke tahap yang tertinggi (sama ada di dalam undang-undang ataupun budaya sesebuah komuniti). Ini menjadikannya sebagai satu tanggungjawab muslim yang perlu dipenuhi secara tidak langsung, sekaligus menjawab persoalan mengenai keperluan kita untuk mengambil tahu mengenai isu politik dan kepartian.

Dengan justifikasi ini, dapatlah kita simpulkan berberapa asbab sebagaimana berikut:

1. Memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah seorang muslim dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Islam di Malaysia sentiasa terbela dan terpelihara;

2. Mengetahui tujuan sebenar pelaksanaan atau pendirian sesuatu parti politik bagi tujuan penilaian terhadap ideologi dan budaya politik yang dibawa;

3. Menjadi individu yang prihatin terhadap nasib diri dan masyarakat yang diperintah oleh sesuatu parti politik agar tidak ditindas;

4. Mengambil tindakan yang difikirkan perlu terhadap mana-mana parti politik yang melaksanakan perkara-perkara yang melampaui batas;

5. Menjiwai peranan diri sebagai seorang pemilih (pengundi) mana-mana parti politik dalam menentukan tampuk pemerintahan negara;

6. Memastikan ketepatan pemilihan parti politik yang layak mentadbir negara sebagai sebuah kerajaan yang telus dan beretika; dan

7. Membantu mana-mana parti politik yang konsisten dalam mensejahterakan masyarakat secara berprinsip melalui gerak kerja umum atau khusus.

Kesimpulannya, peranan di atas haruslah dimainkan oleh kita sebagai seorang ahli masyarakat Islam, biarpun tidak terlintas di dalam fikiran kita untuk memerintah negara dengan tangan sendiri. Usahlah kita membiarkan politik dikuasai oleh bangsa yang korup dan menentang Syariat Islam, kelak ia akan memberi kemudaratan yang amat besar di kemudian hari.

Tiada ulasan: