20 Januari 2017

Kolej Islam Malaya - PAS Anjur Minggu Kolej Islam Kutip Dana Penubuhan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Rancangan untuk menubuhkan Kolej Islam di Malaya telah disuarakan sejak Januari 1927 ekoran ketiadaan pusat pengajian tinggi Islam di Tanah Melayu. Lepasan sekolah agama dan pondok tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa ke luar negeri jika ingin menyambung pengajian mereka. Pada 16 Januari 1927, Za’ba telah menyuarakan pandangannya supaya Tanah Melayu mempunyai kolej Islam seperti Aligarh Muslim University di India. Pada peringkat awal, Maahad al-Ehya as-Syariff telah menubuhkan kelas Kuliah selepas Perang Dunia Kedua tetapi gagal kerana ketiadaan pelajar.

Pada 20 Mac 1949, sebuah Jawatankuasa Penaja Kolej Islam ditubuhkan dengan Maulana Mohamad Abdul Alim Siddiqi dan Syed Ibrahim Omar al-Saqqaf sebagai pemimpinnya. Walaupun mendapat sokongan Sultan Selangor dan Sultan Pahang, kolej ini tidak dapat dijalanka kerana masalah kewangan. Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950, cadangan penubuhan kolej ini menjadi satu resolusi, sehingga Umno mencadangkan pada 1952 supaya kolej ini dibuka di Skudai, Johor. Kolej Islam Malaya kemudiannya hanya dapat didirikan pada 4 April 1955 di Kelang, Selangor setelah Sultan Hishamuddin Alam Shah mewakafkan istananya untuk dijadikan kolej, dengan Ustaz Ismail Omar Abdul Aziz sebagai pengetuanya.

Oleh kerana penubuhan Kolej Islam Malaya adalah salah satu agenda Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar, pada 27 Mac 1954, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan peranan PAS terhadap penubuhan kolej ini. Antara aspek yang penting mendapat perhatian PAS ialah dari aspek kewangan. PAS berpendapat “sudah tentu (kolej ini) menghendaki perbelanjaan yang tidak sedikit” dan PAS telah memulakan kutipan derma Kolej Islam ini sejak 1953 lagi. Sepanjang tahun 1954, PAS membuat kutipan derma untuk Kolej Islam ini pada setiap programnya, sehingga PAS menjadi antara penyumbang utama kepada dana kolej tersebut.

Salah satu langkah terbesar yang dibuat oleh PAS ialah menganjurkan “Minggu Kolej Islam” dalam bulan Mei 1954. Sepanjang Minggu Kolej Islam ini, semua Cawangan PAS dan ahli PAS diarahkan supaya mengadakan kutipan derma besar-besaran untuk mengisi dana Kolej Islam. Kutipan derma juga dibuat dalam semua program penerangan PAS di seluruh Tanah Melayu sepanjang Mei 1954. Bagi menunjukkan kesungguhan PAS untuk menjayakan penubuhan Kolej Islam ini, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga di Parit Buntar pada 12-14 Ogos 1954, mereka telah meluluskan cadangan Jawatankuasa Kerja Agung PAS supaya program Minggu Kolej Islam ini terus diadakan bagi mengumpul dana tersebut.

Selain mengumpulkan dana melalui Minggu Kolej Islam, sumbangan terbesar PAS terhadap Kolej Islam Malaya adalah melalui Prof Zulkifli Mohamad yang ketika itu menjadi Setiausaha Kolej Islam selain menjadi pensyarah. Tokoh lain yang turut terlibat termasuklah Ustaz Hassan Salleh dari Kelantan sebagai pensyarah dan Ustaz Abu Bakar Hamzah dari Perlis sebagai pustakawan Kolej Islam. Walaupun Kolej Islam Malaya hanya wujud sehingga 1967 sahaja, tetapi ia berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar PAS termasuklah Prof Dato’ Dr Haron Din (bekas Mursyidul Am PAS) dan Dr Daeng Sanusi Mariok (bekas Naib Presiden PAS yang kini Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS).

Tiada ulasan: