17 Januari 2017

Darul Arqam - Kumpulan Serpihan PAS Pimpinan Ustaz Ashaari Muhammad

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Ketidakpuasan hati terhadap beberapa aspek dalam jemaah menjadi punca berlakunya serpihan. Antara kumpulan serpihan terawal dalam PAS berlaku pada akhir 1960-an apabila sekumpulan ahli PAS yang dipimpin oleh Ustaz Ashaari Muhammad telah membentuk kumpulan mereka sendiri yang dikenali sebagai Darul Arqam atau al-Arqam pada 1968. Pada awalnya, Ustaz Ashaari Muhammad tidak berpuas hati dengan sikap PAS yang terlalu memberikan fokus kepada politik sehingga mengabaikan aspek ekonomi dalam perjuangannya. Kumpulan al-Arqam dalam kegiatannya selepas itu menjadikan ekonomi sebagai agenda utama, sebelum terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang menyebabkan mereka diharamkan oleh kerajaan pada 21 Oktober 1994 dan pemimpin utamanya ditahan ISA.

Sejarah pergerakan Darul Arqam bermula selepas Ustaz Ashaari Muhammad tewas dalam Pilihan Raya Umum di Bangsar, Kuala Lumpur pada 1964. Sejak itu, beliau mula memberikan fokus terhadap kegiatan ekonomi sehingga dilantik sebagai Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat pada 1968. Walau bagaimanapun, sejak 1968 itu, beliau mula membentuk halaqah usrahnya sendiri yang berpusat di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Oleh kerana markaz mereka adalah sebuah rumah berwarna putih di Datuk Keramat, Kumpulan mereka mula dikenali sebagai “Usrah White House” atau “Usrah Rumah Putih.” Selepas dua tahun bergiat, wujudnya tuduhan bahawa mereka adalah kumpulan ajaran songsang. Maka pada 28 Februari 1971, mereka telah membentuk jemaah mereka secara rasmi dan menamakan kumpulan mereka dengan nama baru, Darul Arqam. Sebahagian dari mereka turut terlibat serentak dengan kumpulan dakwah seperti ABIM dan juga Jemaah Tabligh pada awal 1970-an.

Ustaz Ashaari Muhammad, pengasas dan pemimpin Darul Arqam adalah seorang bekas guru agama kerajaan yang dilahirkan di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan pada 30 Oktober 1937. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1952 dan belajar di Madrasah Hishamuddin, Kelang sehingga 1958. Setelah itu beliau belajar agama dengan Ustaz Mohd Khairillah bin Muhammad sehingga menerima Aurad Muhammadiyah dari anak Kiyai Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu. Hubungan beliau yang rapat dengan Pesuruhjaya PAS Singapura, Ustaz Mohd Taha bin Sheikh Fadhlullah as-Suhaimi sejak 1958 telah membawa beliau aktif dalam PAS di Selangor sehingga beliau menamatkan kerjayanya sebagai guru agama kerajaan di Sekolah Melayu Kampung Teluk Udang, Kelang pada 1964 kerana menjadi calon PAS dalam pilihan raya di Bangsar. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat pada 1968.

Gerakan politik PAS yang sangat terarah kepada isu-isu politik telah menimbulkan ketidakpuasan hati beliau. Sedangkan realiti politik sejak selepas merdeka adalah berkisar tentang perjuangan kemerdekaan (1951-1960) dan pembentukan Malaysia (1961-1965), di mana PAS memperjuangkan tertegaknya negara Islam, perlaksanaan syariat, hak ketuanan orang Melayu dan menolak kerakyatan jus soli, sebelum isu percantuman yang menghangatkan isu Melayu Raya. Keadaan ini menyebabkan isu-isu pembangunan ekonomi organisasi PAS tidak menjadi fokus. Sedangkan Ustaz Ashaari Muhammad berpegang bahawa gerakan dakwah perlu mempunyai dana ekonomi yang kukuh. Kecewa dengan kegagalan pemimpin PAS untuk memberi perhatian kepada pandangan beliau, dalam tahun 1968, beliau mula membentuk halaqah usrah beliau sendiri di Datuk Keramat. Perubahan politik pasca tragedi 13 Mei 1969 yang sekali lagi menyebabkan gagasan beliau terabai, pada 28 Februari 1971, beliau menubuhkan Darul Arqam.

Pergerakan Darul Arqam yang popular pada akhir 1970-an dan 1980-an telah berpusat di Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang dijadikan Perkampungan Arqam pada 1975. Darul Arqam dipimpin oleh Majlis Syuyukh yang diketuai oleh Ustaz Ashaari Muhammad sendiri sebagai Amir atau Sheikhul Arqam, dan dibantu oleh dua Timbalan Amir. Pergerakan utama dakwah Darul Arqam adalah dalam bidang ekonomi, sebelum ia berkembang dalam bidang pendidikan, media, kebajikan sosial dan kesenian. Secara umum, sepanjang pergerakan Darul Arqam, mereka dikatakan mempunyai lebih 10,000 orang pengikut, selain mempunyai cawangan di 16 buah negara di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, pada 1986, pihak berkuasa agama mulai memberikan perhatian terhadap pergerakan Darul Arqam kerana didakwa menyeleweng dari aqidah Islam. Mereka didakwa mengajar dan mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan menyeleweng, dan keadaan menjadi lebih sukar apabila Ustaz Ashaari Muhammad mendakwa dia akan menguasai politik Malaysia. Darul Arqam kemudiannya didakwa menubuhkan kumpulan tentera yang dipanggil Tentera Bandar yang berpusat di Thailand. Akibatnya, dalam bulan September 1994, 18 orang pemimpin Darul Arqam telah ditahan di bawah ISA, termasuk Ustaz Ashaari Muhammad yang ditahan di Thailand. Selepas beberapa ketika ditahan, pemimpin utama Darul Arqam itu dikenakan tahanan kediaman terhad di Labuan selama 10 tahun dan Darul Arqam diharamkan pada 21 Oktober 1994.

Tiada ulasan: