26 Januari 2017

Nama PAS - Nama 'Persatuan' Islam Ditukar Ke Nama 'Parti' Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kelahiran PAS dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 adalah dengan nama Pertubuhan Ulamak Se-Malaya yang dicadangkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Ulamak Se-Malaya, beliau turut menggunakan nama ini dalam draf Undang-undang Tubuh PAS yang dikemukakan kepada Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951. Walau bagaimanapun nama tersebut telah berubah apabila persidangan di Bagan Tuan Kechil ini telah mencadangkan nama baru yang lebih inklusif iaitu Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), sebelum akhirnya bertukar menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 1972.

Dalam Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya itu, selain nama asal, enam nama lain telah dicadangkan antaranya Perikatan Ulamak Umno Se-Malaya, Persatuan Muslimin Tanah Air (PERMATA), Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA), Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), Nahdatul Ulamak Malaya (NA’AM) dan satu nama lain. Nama PAS asalnya adalah cadangan wakil Persatuan al-Ehya as-Syariff, Ustaz Othman Hamzah, tetapi dicadangkan secara rasmi oleh Ustaz Mohd Ma’asum Abdul Kadir dari Jemaah Masjid Telaga Air, Butterworth, sebelum ia terpilih sebagai nama rasmi persatuan ini. Sejak 24 November 1951, nama Pertubuhan Ulamak Se-Malaya telah dikenali sebagai Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS. Walaupun akronim PAS telah digunakan sejak hari pemilihan nama ini lagi, tetapi akronim PAS hanya diterima secara rasmi dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26-27 Ogos 1953. Perkataan PAS ini diambil dari akronim abjad Jawi “Fa Alif Sin”.

Nama Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS telah didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaya dan diluluskan pada 31 Mei 1955. Nama ini kemudiannya menjadi isu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat pada 26-28 Disember 1955 kerana perkataan “Malaya” adalah berbau penjajah, sedangkan PAS memperjuangkan kebangsaan Melayu, lalu wakil PAS Kota Bharu mencadangkan nama baru, “Persatuan Islam Semenanjung (PAS)”, tetapi gagal mempengaruhi Mesyuarat Agung Tahunan PAS itu. Selepas merdeka, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh pada 25-27 Disember 1958, sekali lagi isu nama ini timbul apabila menerima dua cadangan nama baru iaitu “Persatuan Islam Se-Tanah Melayu” dan “Persatuan Islam Seluruh Tanah Melayu,” tetapi cadangan pertama yang diterima. Mulai 12 Mei 1959, secara rasmi nama baru PAS ialah Persatuan Islam Se-Tanah Melayu, setelah Pendaftar Pertubuhan meluluskannya.

Sepanjang tempoh antara 31 Mei 1955 hingga merdeka, nama Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan telah diterjemahkan oleh kerajaan British sebagai “Pan-Malayan Islamic Party (PMIP)”, tetapi ia bukan nama rasmi dalam bahasa Inggeris yang diputuskan oleh PAS. Selepas PAS menetapkan nama barunya, “Persatuan Islam Se-Tanah Melayu” pada 25-27 Disember 1958, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Januari 1959 telah menetapkan nama rasmi PAS dalam bahasa Inggeris ialah “Islamic Party of Tanah Melayu” bukannya PMIP dengan menggugurkan perkataan “PAN” pada namanya. Nama bahasa Inggeris ini bertukar kepada “Islamic Party of Malaysia” mulai 1972.

Pada 30 Ogos 1965, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mencadangkan supaya nama PAS ditukar dari “Tanah Melayu” kepada “Malaysia” setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, tetapi tidak mendapat tindak balas positif dari Pejabat Agung PAS. Selepas tregedi perkauman pada 13 Mei 1969, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-17 pada 17-19 Jun 1971 telah bersetuju menggugurkan perkataan “Tanah Melayu” pada PAS dan ia dikenali sebagai “Parti Islam” sahaja. Namun begitu, nama ini telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan kerana tidak dijelaskan di negara mana parti ini bergerak. Lalu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 telah memilih nama.”Parti Islam Se-Malaysia” sebagai nama baru mengalahkan dua cadangan lain iaitu “Parti Islam Malaysia” dan nama lamanya, “Persatuan Islam Se-Tanah Melayu.” Sejak itu. Nama baru parti ini ialah “Parti Islam Se-Malaysia (PAS)” yang digunakan hingga hari ini.

Tiada ulasan: