12 Januari 2017

Pendirian PAS Sebelum Kemerdekaan - PAS Sertai Kongres Kebangsaan Melayu Kedua

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perjuangan menuntut kemerdekaan telah sampai ke kemuncaknya apabila British menetapkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, di kalangan parti-parti politik Melayu yang mengemukakan tuntutan kepada Suruhanhaya Bebas Reid tidak berpuas hati dengan Penyata Reid yang didedahkan oleh media sejak Februari 1957. Yang paling tidak berpuas hati ialah di kalangan pemimpin Umno di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Kedah, Seberang Perai dan Kota Bharu, walaupun 80 peratus cadangan dalam Penyata Reid adalah saranan dari Perikatan (Umno-MCA-MIC). Oleh kerana pemimpin Umno Kuala dan Negeri Sembilan menganggap Umno telah mengalah kepada MCA dalam tuntutan ini, mereka telah menyusun satu Kongres Kebangsaan Melayu Kedua untuk membincangkan semula cadangan Perlembagaan ini.

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua yang diadakan pada 4-7 Mei 1957 ditaja oleh pemimpin Umno Kuala Lumpur, Haji Yahya Sheikh Ahmad. Dalam tempoh seminggu pengumuman penganjuran kongres ini, ia telah mendapat sokongan besar daripada orang Melayu, termasuk parti-parti politik Melayu. Pemimpin politik bukan Umno seperti Dr Burhanuddin al-Helmy (PAS), Dato’Onn Jaafar (Parti Negara) dan Ahmad Boestamam (Parti Rakyat) telah turut memberikan sokongan kepada kongres ini kerana kepentingan bangsa Melayu. Lebih-lebih lagi ketika itu orang-orang Cina telah menuntut diberikan hak setaraf dengan orang Melayu. Empat buah parti politik Melayu yang utama – PAS, Parti Negara, Parti Rakyat dan Parti Melayu Semenanjung (PMS) – telah mengesahkan untuk menyertai kongres ini kerana bertindak balas terhadap tuntutan orang Cina yang dianggap mencabar hak ketuanan orang Melayu, sedangkan Umno tersepit dalam Perikatan. Kongres ini akhirnya dihadiri oleh sekitar 1,000 orang peserta mewakili 22 buah pertubuhan Melayu.

PAS menyertai kongres ini dengan wakil rasmi terdiri dari Dr Burhanuddin al-Helmy (Yang Dipertua Agung PAS), Ustaz Othman Abdullah (Setiausaha Agung PAS) dan Mohd Asri Haji Muda (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Turut hadir ialah dua lagi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan Hassan Noor. Dalam kongres ini, Dr Burhanuddin al-Helmy telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres, manakala Dato’Onn Jaafar sebagai Bendahari dan Ahmad Boestamam sebagai Setiausaha Kehormat. Kongres selama empat hari ini telah membahaskan 14 aspek daripada keseluruhan Penyata Reid, di mana lima usul dasar telah dipersetujukan.

Pertama, usul dasar yang dikemukakan oleh PAS iaitu “bahawa Malaya merdeka hendaklah dikenali sebagai Persekutuan Negeri-negeri Melayu.” Kedua, usul dasar dari Parti Negara untuk mengiktiraf Melayu sebagai kebangsaan tunggal negara ini; dan ketiga, usul dasar yang mencadangkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Parti Negara kemudiannya mencadangkan usul dasar yang keempat supaya Islam dijadikan agama rasmi Tanah Melayu, tetapi kongres memutuskan supaya usul ini dibentang semula oleh PAS dalam satu kertas kerja rinci tentang kedudukan Islam di negara ini. PAS kemudiannya mengemukakan usul dasar kelima yang mempertegaskan supaya hak keistimewaan baka Melayu dipelihara sesuai dengan kedudukan mereka sebagai tuan punya negeri ini.

PAS yang mengemukakan kertas kerja tentang sebagai agama rasmi telah menggariskan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan; bahawa dengan kerasmian agama Islam ini, al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan pemerintahan negara, sebuah Majlis Islam Pusat ditubuhkan untuk memusat dan menyelaraskan pentadbiran agama, menubuhkan mahkamah syariah di setiap negeri, membentuk majlis fatwa, menubuhkan universiti Islam dan mewajibkan pendidikan Islam semua sekolah kerajaan; serta menjamin kebebasan agama lain untuk dipegang dan diamalkan oleh penganutnya. Cadangan yang diangkat oleh PAS ini telah diterima oleh kongres dan berjaya meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang berkesan ke atas pentadbiran negara dan juga kehidupan rakyat yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Pada akhir kongres ini, PAS telah mencadangkan dengan pindaan oleh PMS supaya semua persetujuan dan ketetapan kongres ini diperjuangkan terus-menerus oleh anggota kongres melalui apa jua jalan yang halal dan damai sehingga ia berhasil dilaksanakan. Kongres kemudiannya melantik Dr Burhanuddin al-Helmy dan Dato’ Onn Jaafar untuk mewakili Kongres Kebangsaan Melayu Kedua bagi menyampaikan semua keputusan ini kepada rombongan Kerajaan Perikatan yang akan bertolak ke London untuk rundingan terakhir sebelum perisytiharan kemerdekaan. Malangnya, Yang Dipertua Agung Umno yang juga Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra enggan bertemu wakil kongres ini dan menolak semua cadangan tersebut atas alasan kongres tidak mewakili rakyat, sedangkan Perikatan dipilih oleh rakyat. Sebenarnya Tunku Abdul Rahman Putra tidak mahu disaingi oleh pemimpin PAS dan Parti Negara dalam tuntutan kemerdekaan, selain terikat dengan MCA dan MIC, sekutunya dalam Perikatan. Walau bagaimanapun, wakil kongres ini telah menemui Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Mustafa al-Bakri untuk menyampaikan tuntutan kongres kepada wakil Raja-raja Melayu, dan beliau berjanji untuk menyatakan secara lisan kepada kerajaan British tentang tuntutan kongres tersebut.

Tiada ulasan: