23 Januari 2017

PAS Bertanding Dalam Pilihan Raya Umum Singapura 1959

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Singapura, Tanah Jajahan Mahkota British telah mengamalkan demokrasi dalam pentadbiran mereka sejak pilihan raya bandaran mula diadakan pada 1889. Walau bagaimanapun, selepas Perang Dunia Kedua, Singapura telah mula mengadakan Pilihan Raya Umum Majlis Undangan (Legislative Council) pada 1948 dan 1951, sebelum ia dikenali sebagai Pilihan Raya Umum Perhimpunan Undangan (Legislative Assembly) pada 1953 sebagai reformasi ke arah berkerajaan sendiri. Pilihan Raya Umum Perhimpunan Undangan Singapura yang pertama diadakan pada 1955.

PAS yang mula ditubuhkan di Singapura pada 1952 tidak dapat menyertai Pilihan Raya Umum Singapura 1955 kerana pendaftaran PAS Singapura telah ditolak oleh kerajaan pada 8 Mei 1954. Pada 24 Februari 1957, PAS Singapura telah ditubuhkan semula dan berjaya didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Ogos 1958. PAS mula mengorak langkah di Singapura apabila mereka berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Singapura Kali Pertama pada 20 November 1958, sekali gus menyusun persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Perhimpunan Undangan Singapura yang dijangka berlangsung pada 1959. PAS Singapura yang pada asalnya dipimpin oleh Ustaz Mohd Taha Suhaimi, telah diambil alih oleh Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah sebagai Ketua PAS Singapura (setaraf Pesuruhjaya PAS Negeri).

Pada 31 Mac 1959, Perhimpunan Undangan Singapura telah dibubarkan dan satu pilihan raya umum akan diadakan. Dalam penamaan calon yang diadakan pada 25 April 1959, PAS telah mengemukakan tiga orang calon untuk bertanding di kerusi Geylang Serai, Kampung Kembangan dan Siglap, iaitu kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu Islam. Keseluruhan kerusi yang dipertandingkan ialah 51 kerusi, di mana parti-parti utama seperti Parti Tindakan Rakyat (PAP), Persatuan Cina Malaya (MCA), Liberal Socialist Party (LSP), Singapore People’s Alliance (SPA), Labour Front (LF), Malay Union (MU), Kongres India Malaya (MIC), Umno, Parti Rakyat (PR), Citizens’ Party (CP), Workers’ Party (WP) dan Katong United Residents’ Association (KURA) telah meletakkan calon-calon mereka, selain 24 orang calon Bebas.

Dalam Pilihan Raya Umum yang berlangsung pada 30 Mei 1959 ini, calon-calon PAS iaitu Ustaz Syed Ahmad Dahlan bin Syed Hussein (Geylang Serai), Yahiya Mohamad Ghause (Kampung Kembangan) dan Wanjor Abu Bakar (Siglap) telah tewas dalam perebutan banyak penjuru. Di Geylang Serai, calon PAS Ustaz Syed Ahmad Dahlan mendapat 460 undi, berbanding Abdul Hamid Jumat (Umno) dengan 7,940 undi, Roslan Hassan (PAP) 3,832 undi, Cikgu Harun Mohd Amin (PR) 353 undi. Kerusi ini dimenangi oleh Umno dengan majoriti 4,108 undi.

Di kerusi Kampung Kembangan, calon Umno, Mohd Ali Alwi yang mendapat 4,443 undi telah mengalahkan calon PAP, Othman Wok dengan majoriti 224 undi. Calon-calon lain iaitu Mohamad Yaakob (SPA) mendapat 2,028 undi, Yahiya Mohamad Ghause (PAS) 317 undi, Abdul Latif Ibrahim (PR) 231 undi dan Jaafar Abdul Ghani (MU) 215 undi. Calon PAS di kerusi Siglap, Wanjor Abu Bakar pula telah mengutip undi terendah di kerusi tersebut dengan 234 undi, sedangkan calon PAP, Sahorah Ahmet mendapat 4,407 undi mengalahkan calon Bebas, Koh Tee Kin yang memperoleh 3,408 undi, John Anthony Snodgrass (LSP) 1,511 undi, Mohd Sidik Abdul Hamid (Umno) 1,418, Abdullah Masood (Bebas) 1,267 dan Pang Toon Tin (PR) 587.

Walaupun PAS tidak membuat pencapaian yang besar dalam Pilihan Raya Umum Perhimpunan Undangan Singapura 1959, kemunculannya dalam pilihan raya ini menunjukkan PAS telah mula mempunyai tapak yang semakin kukuh di pulau Jajahan Mahkota British itu. Dalam Pilihan Raya Umum berikutnya pada 1963, PAS meletakkan dua orang calon, sebelum Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, sekali gus menyebabkan PAS Singapura bertukar menjadi Angkatan Islam (AI) mulai 1966 yang hanya menyertai semula pilihan raya pada 1984.

Tiada ulasan: